Jangan kritik polis berlebihan

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya pasukan polis jangan terlalu dikritik kerana ia boleh menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan kepada pasukan itu.

Menurutnya, pasukan polis yang diterajui oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kadar jenayah yang hasilnya boleh dilihat sekarang.

“Jangan pukul sangat polis, nanti orang tidak percaya kepada polis lagi,” katanya yang juga Presiden UMNO dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Abdullah berkata, sebahagian kejadian jenayah yang berlaku adalah berpunca daripada penyakit dan gejala sosial serta akibat kebanjiran pekerja asing tanpa izin.

Menurutnya, kerajaan yang menyedari masalah itu telah menyediakan peruntukan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan Bajet 2008.

Bagaimanapun, katanya, orang ramai perlu memahami bahawa langkah menambah anggota pasukan keselamatan tidak dapat dipenuhi dalam sekelip mata kerana ia memerlukan masa untuk melatih anggota baru.

“Negara dan masyarakat perlu bersama menyokong anggota polis. Sementara menantikan bilangan anggota polis ditambah, jauhilah daripada perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan atas keupayaan polis mengawal ketenteraman awam dan keselamatan negara,” jelas Abdullah.

Dalam pada itu, beliau berkata, tanggungjawab memelihara keselamatan negara dapat dilaksanakan secara lebih berkesan jika kerajaan mendapat komitmen dan sokongan penuh rakyat.

0 comments: