Pas-UMNO ibarat lelaki, wanita bukan mahram

KOTA BAHARU, 7 Nov. – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, penggabungan antara parti itu dan UMNO adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai kerana percantuman itu ibarat pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram, sesuatu yang ditegah oleh agama.

“Macam laki-laki dengan perempuan tak boleh bertemu. Hendak gabung tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan cawangan East Computech System Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Menurut Nik Aziz antara faktor lain yang menyebabkan penggabungan itu sukar adalah UMNO pernah menyingkirkan anggotanya yang kemudian menubuhkan Pas.

“Boleh jika nak gabung, tapi UMNO perlu ubah dasar dia... daripada kebangsaan kepada Islam,” katanya.

Dalam ucapannya, Menteri Besar Kelantan itu meminta umat Islam mengubah cara penyampaian tradisi seperti berceramah di masjid dan surau kepada penggunaan teknologi dalam menyebarkan agama Islam.

“Sampai bila hendak guna cara ini. Kita berdakwah ini macam berniaga, bukan orang cari kita tapi kita cari orang,” katanya.

Beliau berkata dengan kecanggihan teknologi sekarang, satu daripada caranya ialah menggunakan Internet untuk berdakwah kepada kaum lain.

“Contohnya (ialah) menggunakan bahasa Cina di dalam Internet dengan menulis artikel-artikel yang mudah difahami untuk menarik minat mereka terhadap Islam,” kata Nik Aziz.

– Bernama

0 comments: