Empat lelaki asing ditahan -- Bantu siasatan kes rogol, bunuh Preeshena

Oleh TAN MING WAI

GOMBAK 7 Nov. - Polis menahan empat lelaki warga asing untuk membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan, Preeshena Varshiny, 9, yang dirogol dan diliwat sebelum dicampak dari tingkat dua sebuah kondominium di Jalan Bukit Idaman, Batu Caves dekat sini Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC) I Mohmad Salleh berkata, kesemua suspek yang merupakan pekerja di kedai serbaneka kondominium itu ditahan sehari selepas kejadian.

Menurut beliau, mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an direman sehingga 9 November ini untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah di negara ini,” kata Mohmad yang ditemui di Majlis Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya tampil memberikan maklumat untuk membantu siasatan polis.

“Polis menyeru kepada saksi-saksi kejadian ini supaya tampil menyalurkan maklumat kerana ia penting dalam usaha polis menyelesaikan kes ini,” jelasnya.

Pada Khamis lalu, Preeshena, seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan St. Mary, Selayang ditemui mati dalam longkang di kawasan perumahan berkenaan kira-kira pukul 4 petang.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian baju T dan berseluar pendek getah tetapi tidak memakai seluar dalam.

Preeshena dikatakan tinggal bersendirian ketika kejadian kerana ibu bapanya bekerja.

Polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut kemudiannya dikesan mempunyai unsur jenayah ekoran laporan bedah siasat menunjukkan mangsa turut diliwat dan dirogol.

Kes terbaru penderaan seksual terhadap Preeshena merupakan satu tamparan besar berikutan penjenayah yang bertanggungjawab ke atas kes Nurin Jazlin Jazemin, 8, masih belum berjaya diberkas polis.

Sementara itu, dalam majlis itu, Mohmad turut menyerahkan cek sumbangan kepada keluarga mendiang Lans Koperal J. Jaya Balan yang terkorban ketika serbuan antidadah di sebuah rumah di Sungai Buloh, dekat sini bulan lepas.

0 comments: