Program angkasawan fardu kifayah

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Program Angkasawan Negara yang merintis sejarah anak Melayu pertama menjelajah angkasa lepas adalah tuntutan ilmu fardu kifayah yang mampu memberi manfaat besar kepada umat sejagat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Malah, katanya, program itu memiliki ciri penting pendekatan Islam Hadhari yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Islam sangat menggalakkan ilmu pengetahuan... seseorang yang memiliki ilmu akan mampu membina tamadun. Pada abad pertengahan, ramai sekali tokoh Islam lahir dalam bidang ini maka langkah ini adalah permulaan yang baik.

"Kita harapkan sains angkasa lepas berkembang dengan baik di negara kita kerana ilmu ini sangat digalakkan, ia adalah fardu kifayah," katanya pada sidang media mengenai garis panduan beribadat di ISS dan isu agama dalam Program Angkasawan Negara di pejabatnya di sini, semalam.

Dr Abdullah juga mengalu-alukan langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah di seluruh negara.

"Setiap bidang yang boleh mendatangkan manfaat kepada umat Islam seluruhnya adalah suatu tuntutan fardu kifayah yang memerlukan di kalangan kita orang-orang yang pakar dalam bidang berkenaan," katanya.

Dr Abdullah juga berkata, khutbah Jumaat bertemakan 'Misi Angkawasan Negara Anugerah Allah SWT Dalam Menjana Fardhu Kifayah Ummah' yang dibaca di semua masjid di seluruh negara semalam menjelaskan kepentingan program itu mengikut pandangan Islam.

"Ini adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam agama Islam dan ilmu itu adalah ilmu perkongsian bersama seluruh umat manusia," katanya.

Beliau berkata, selain khutbah khas, solat hajat juga dianjurkan semalam bagi mendoakan angkasawan negara sama ada Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha atau Kapten Dr Faiz Khaleed yang akan berangkat ke ISS, selamat berlepas dan pulang ke bumi.

0 comments: