Profil DNA boleh diekstrak sesiapa saja: Ahli Forensik

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, profil asid deoksiribonukleik (DNA) seseorang individu boleh diekstrak dan disapu pada benda lain oleh sesiapa saja, dan tidak semestinya pakar saja.

Malah, Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata pelajar sekolah yang mempunyai pengetahuan mengenai proses mengambil DNA boleh melakukannya kerana ia adalah satu proses mudah dan maklumat itu boleh diperoleh menerusi internet.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dalam pemeriksaan utama, saksi itu sebagai contoh berkata, individu boleh mengambil sampel darah dan mengekstrak profil DNA daripadanya dan mengesat pada benda lain dan mengeringkannya.

Katanya, jika kesatan itu bukan daripada sumber darah, ia boleh diperoleh daripada sumber sel badan yang dikumuh atau tertanggal setiap hari seperti peluh dan sel kulit mati.

Primulapathi berkata demikian ketika menjawab soalan Noorin berhubung penemuan profil DNA wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada jaket kulit hitam milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar dan barang kemas seperti jam tangan, subang dan cincin milik wanita itu.

Terdahulu Noorin menyoal saksi itu bagaimana pengendalian seseorang individu terhadap sesuatu barang terbabit sehingga profil DNA miliknya boleh dijumpai di situ.

Primulapathi berkata, (dalam kes ini) individu terbabit (Altantuya) menggunakan barang itu secara kerap dan memegangnya dalam tempoh yang lama kerana jika hanya sekadar menyentuh ia tidak akan meninggalkan sebarang profil DNA.

Ditanya Noorin sama ada beliau menemui profil DNA individu lain pada barang kemas dan jaket kulit hitam Sirul Azhar yang dianalisa, saksi itu menjawab: “Tidak”.

Noorin: Terdahulu kamu menyatakan keturunan sebelah ibu spesimen tisu manusia dilabelkan ‘tidak diketahui identiti’ menyamai sampel darah Altansetseg Sanjaa (ibu Altantuya). Adakah kamu menggunakan sampel darah itu bagi perbandingan?

Pramulapathi: Ya.

Noorin: Dan kamu juga bergantung kepada sampel darah Altansetseg untuk mengenal pasti keturunan sebelah ibu pemilik spesimen tisu dan rambut (Altanntuya)?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Daripada hasil analisis kamu menunjukkan pemilik spesimen tisu itu adalah anak perempuan Altansetseg dan suaminya, Setev Shaariibuu?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Kamu juga membuat penemuan DNA diperoleh daripada kesan darah pada selipar, rambut dan jam tangan, subang, cincin dan jaket hitam menyamai profil DNA pada tisu itu?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Bolehkah kamu membuat kesimpulan pemilik DNA kesan darah pada selipar, rambut, jaket dan barangan kemas adalah orang sama?

Primulapathi: Saya hanya boleh merumuskan berdasarkan keputusan ujian yang saya buat, ia mungkin daripada orang sama. Seperti saya nyatakan, ujian DNA hanya dapat menentukan DNA individu memiliki keturunan sebelah ibu yang sama.

Noorin: Jika DNA itu dimiliki orang berbeza tetapi berkongsi keturunan sebelah ibu sama, apakah kemungkinannya?

Primulapathi: Saya boleh katakan sama ada individu itu adalah kakak, ibu dan nenek.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung Isnin depan.

0 comments: