Hui Yee terima jantung kedua

Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim


Tee Hui Yee

Dibedah semula selepas badan tolak organ pertama

KUALA LUMPUR: Tee Hui Yee, penerima jantung seorang remaja Melayu yang maut dalam kemalangan di Perak kelmarin, terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua awal pagi semalam selepas badannya menolak jantung pertama itu.

Keadaan Tee, 14, kini stabil selepas pembedahan selama tujuh jam mulai 1 pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata Tee bernasib baik kerana ada penderma lain bersetuju mendermakan jantung untuk membolehkan dia mendapat satu lagi organ berkenaan selepas jantung pertama dipindahkan kelmarin tidak sesuai dengan badannya.

"Penderma jantung kedua yang dipindahkan kepada Tee itu dari Johor yang juga mangsa kemalangan.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kementerian kepada penderma dan keluarganya serta berharap ia akan menjadi amalan yang akan dicontohi rakyat Malaysia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan 2007, di Putrajaya semalam.


Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti penderma kedua itu serta meminta media tidak mengganggu keluarganya.

Tee yang menggunakan jantung mekanikal, terpaksa menunggu lebih setahun sehingga kelmarin apabila beliau menjalani pembedahan pemindahan jantung daripada penderma pertama, seorang remaja Melayu dari Perak yang maut dalam nahas jalan raya.

Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas pemindahan jantung pertama di IJN itu, Tee terpaksa dibedah sekali lagi untuk mengeluarkan organ berkenaan bagi digantikan dengan yang lain selepas badannya menolak jantung pertama itu.

Beliau menjalani pembedahan lebih sepuluh jam untuk pemindahan jantung pertama, bermula jam 10.45 malam kelmarin. Pembedahan pemindahan jantung kedua, yang didermakan seorang lelaki Cina, mengambil masa tujuh jam, bermula 1 pagi.

Sementara itu, Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, pada sidang media di sini berkata, selepas pembedahan pemindahan kedua itu, pengecutan jantung dan tekanan darah Tee berada dalam keadaan memuaskan walaupun dia masih kritikal.

"Daya tahan imunisasi badan Tee menolak pemindahan jantung pertama yang kami lakukan. Ini boleh berlaku walaupun ia sepadan dengan Tee berdasarkan kumpulan darah, ketinggian dan besar badan kedua-dua mereka.

"Penolakan seperti itu memang jarang berlaku dan dianggarkan hanya lima hingga 10 peratus kes pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan dengan organ sepadan seperti ini, menolak jantung baru mereka," katanya.

Beliau berkata, pembedahan pemindahan jantung kedua terhadap Yee dijalankan oleh pasukan sama dalam pembedahan pertama kelmarin yang diketuai dirinya dan Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohd Ezani Md Taib.

Turut terbabit dalam pembedahan itu ialah enam lagi pakar bedah kardiotorasik, enam pakar bius, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Respiratori dan 30 paramedik.

Mengenai penderma jantung baru itu, Dr Mohd Azhari berkata, beliau juga adalah mangsa kemalangan berasal dari Johor Bahru tetapi identitinya terpaksa dirahsiakan atas permintaan keluarga waris.

Manakala, pesakit berusia 39 tahun yang menjalani pembedahan pemindahan paru-paru kelmarin, Dr Mohd Azhari berkata, beliau menunjukkan perkembangan positif dan sudah mampu bernafas sendiri.

0 comments: