Hui Yee bagai anak saya

Oleh Mohd Zin Ali

JOHOR BAHRU: �Saya memang sedih apabila organ dalam badan dia diambil, tetapi tindakan itu juga baik kerana ia dapat membantu orang lain untuk hidup sihat,� kata Mong Soon Peng, 44, ibu kepada pemuda yang mendermakan jantungnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kelmarin.

Katanya, selepas mendapat nasihat doktor dan berbincang dengan suaminya, Chin Pak Siong, 48, beliau bersetuju untuk mendermakan organ anaknya, Chin Yoon Kiong, 20, yang sudah tidak dapat diselamatkan lagi kerana �mati otak�, akibat kemalangan jalan raya, untuk membantu orang lain.

Jantung anaknya itu diterima oleh Tee Hui Yee, 14, yang terpaksa menjalani pembedahan jantung sekali lagi semalam, selepas organ sama yang diterima daripada seorang pemuda Melayu dari Perak, kelmarin tidak sesuai dengan tubuhnya.

�Walaupun anak saya sudah mati, saya harap orang yang menerima barang (organ) itu dapat mengingatkan saya kepadanya setiap kali saya melihatnya,� katanya yang menyifatkan anak sulung daripada tiga beradik lelaki itu sebagai baik, ceria dan suka membantu orang lain.

Ketika ditemui di sini, semalam, Soon Peng berkata, anaknya yang patah kaki dan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Bandar Baru Kangkar Pulai, kira-kira jam 9 malam, Rabu lalu, tidak dapat diselamatkan.

Beliau berkata, sebaik menyatakan persetujuan untuk menderma organ kepada orang lain, doktor menamatkan alat bantuan hayat anaknya yang bekerja sebagai juruteknik di Kempas itu, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

�Saya difahamkan jantung anak saya akan diberikan kepada penerima lain selepas Tee menerima jantung daripada seorang remaja lelaki dari Ipoh. Selain jantung, organ lain yang didermakan ialah paru-paru yang dikatakan untuk penerima di Singapura, manakala buah pinggang untuk penerima di Kulai,� katanya.

Pak Siong pula berkata, beliau hanya memikirkan tindakan menderma organ berkenaan adalah baik kerana anaknya yang sudah meninggal dunia dapat membantu orang lain yang sangat memerlukan menjalani pemindahan organ.

�Kami berharap dengan bantuan berkenaan, penerima organ yang masih belum diketahui itu akan dapat hidup lebih lama dan sihat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun lagi.

�Kami juga berharap dapat menganggap penerima jantung itu sebagai anak kami. Bagaimanapun, kami tidak dapat mengunjunginya jika dia tinggal jauh daripada kami,� katanya sambil menjelaskan mayat anaknya yang dibawa pulang dari HSA, jam 9 pagi semalam akan dibakar di Taman Peringatan Ban Foo, Kulai kira-kira jam 11 pagi ini.

0 comments: