RM112b maju Pantai Timur

Oleh Azizi Othman




ECER tingkat pendapatan menerusi pembasmian kemiskinan, sedia peluang kerja

KUALA LUMPUR: Inisiatif pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang meliputi kawasan seluas kira-kira 66.736 kilometer persegi di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor, dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion.

Dimajukan dengan matlamat memacu pertumbuhan wilayah terbabit sebagai kawasan berdaya maju dan mapan, inisiatif ECER berteraskan usaha meningkatkan pendapatan rakyat menerusi pembasmian kemiskinan serta penyediaan peluang pekerjaan.

Ini sekali gus menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan kerana Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah antara negeri yang purata pendapatan isi rumah penduduknya paling rendah di Malaysia.

ECER yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuantan akhir bulan depan, adalah inisiatif pembangunan wilayah ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Petronas adalah peneraju utama yang menyediakan pelan induk pelaksanaan ECER. Wilayah seluas separuh Semenanjung itu mempunyai 3.9 juta penduduk atau mewakili kira-kira 14.5 peratus daripada keseluruhan 26.8 juta penduduk negara ini

Daripada jumlah itu, majoritinya ialah etnik Melayu dengan sejumlah 86.6 peratus, diikuti Cina (7.8 peratus), India (1.8 peratus) manakala bangsa lain (3.8 peratus). Kadar pertumbuhan penduduk di ECER disasarkan berkembang 1.4 peratus berbanding 1.7 peratus purata negara.

Bagi memastikan kejayaannya, pelaksanaan ECER yang dijadualkan mengambil masa 12 tahun sehingga 2020, akan membabitkan tiga tempoh Rancangan Malaysia, iaitu RMK-9 (2006-2010), RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11 (2016-2020).

Dengan pembangunan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, sosial dan fizikal, ECER menggariskan lima misi teras, iaitu:

  • Meningkatkan nilai tambah ekonomi.
  • Menambah keupayaan pengetahuan dan inovasi.
  • Menangani ketidakseimbangan sosio-ekonomi dengan cara membina dan produktif.
  • Memperbaiki mutu dan taraf hidup yang mampan.
  • Memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta institusi.


Presiden yang juga Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata daripada pelaburan keseluruhan RM112 bilion, sebanyak RM24 bilion akan dibelanjakan dalam tempoh RMK-9, RM60 bilion (RMK-10) dan RM28 bilion (RMK-11).

Daripada jumlah itu, 20 peratus dijangka dilaburkan oleh sektor swasta, 14 peratus oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), 27 peratus menerusi dana inisiatif pembiayaan swasta (PFI) manakala bakinya oleh kerajaan.

"Sebahagian besar daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membangunkan rangkaian pengangkutan, iaitu jalan raya dan lebuh raya serta kemudahan infrastruktur utama lain," katanya dalam taklimat kepada media di sini, kelmarin.

Mohd Hassan berkata, pembangunan infrastruktur, terutama rangkaian pengangkutan lebih meluas dan prasarana cekap adalah faktor penentu dalam pembangunan wilayah berkenaan kerana ia mampu menarik kemasukan aliran pelaburan serta menambah nilai dalam ekonomi.

Antara projek peningkatan infrastruktur yang akan dilaksanakan ialah Fasa Tiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghubungkan Kuala Terengganu dan Kota Bharu, Fasa Empat LPT (Kuantan ke Johor Bahru) dan jalan menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah.

"Pelaksanaan ECER dijangka mewujudkan 561,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan kemiskinan tegar dihapuskan sepenuhnya," kata beliau.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ECER disasarkan meningkat daripada 5.7 peratus pada 2005 kepada 7.2 peratus menjelang 2020 dengan Terengganu dan Pahang masing-masing dijangka berkembang pada kadar 7.5 peratus, manakala Kelantan (6.4 peratus).

Mohd Hassan berkata, satu daripada komponen penting dalam pelaksanaan ECER ialah strategi meningkatkan daya maju sektor hartanah di wilayah terbabit terutama dengan memanfaatkan potensi Tanah Rizab Melayu.

Antara cadangan bagi merealisasikan usaha itu ialah menubuhkan sebuah dana amanah untuk membangunkan tanah terbabit. Menerusi cadangan ini, pemilik tanah terbabit akan dilantik sebagai anggota dana amanah berkenaan.

"Usaha membangunkan tanah rizab Melayu secara teratur itu perlu dilaksanakan kerana ia mewakili 40 peratus keluasan kawasan di ECER dan nilainya mesti ditingkatkan bagi memastikan kesan limpahan dinikmati masyarakatnya.

"Bagi memastikan ECER mempunyai guna tenaga yang cukup untuk menyokong pertumbuhannya, ia akan turut membabitkan usaha memantap serta menyusun semula lebih 190 institusi pendidikan yang kini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

"Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada dua bidang utama di ECER, iaitu pertanian dan pelancongan manakala sektor lain yang akan turut dimajukan ialah minyak dan gas, petrokimia, pembuatan serta bioteknologi," katanya.

Bagi memastikan pelaksanaan ECER berjalan lancar, Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur akan diwujudkan dengan dianggotai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri besar empat negeri terbabit, dua menteri serta wakil sektor swasta.

Majlis itu juga akan mempunyai seorang ketua pegawai eksekutif dan beroperasi seperti sebuah entiti swasta. Ketika ini, rang undang-undang mengenainya sedang dirangka dan akan dibentangkan untuk kelulusan negeri terbabit pada Disember.

INFO: Lima misi teras
  • Meningkatkan nilai tambah ekonomi
  • Menambah keupayaan pengetahuan dan inovasi
  • Menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dengan cara membina dan produktif
  • Memperbaiki mutu dan taraf hidup yang mapan
  • Memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta institusi

0 comments: