Kurangkan makan ayam jadi lebih sihat – Pakar

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Seorang pakar pemakanan dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyarankan supaya orang ramai kurangkan memakan ayam bagi membantu menjaga kesihatan.

Menurut mereka, pengambilan ayam secara berlebihan untuk jangka panjang boleh memburukkan kesihatan.

Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E. Siong berkata, pengguna seharusnya mempelbagaikan jenis makanan yang diambil bersama daging ayam.

Menurut beliau, pengguna boleh cuba memakan lebih banyak kekacang termasuk kacang dal dan soya sebagai sumber protein memandangkan harga ikan lebih mahal daripada ayam.

“Kekacang kaya dengan protein dan serat serta tidak mengandungi lemak tepu seperti yang terkandung dalam haiwan.

“Sebenarnya, kekacang berada dalam kelompok yang sama dengan daging, ayam, ikan dan telur dalam paras ketiga Garis Panduan Makanan,’’ jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kekacang tidak boleh mengganti daging ayam kerana kualiti proteinnya adalah kurang tetapi ia boleh dimakan sebanyak empat hingga lima kali dalam seminggu untuk mendapat sumber protein yang mencukupi.

“Pengguna boleh mengurangkan pengambilan ayam dengan memakan kekacang empat kali dalam seminggu, ikan (sekali seminggu) atau ayam (sekali seminggu), mempelbagaikan jenis makanan untuk mendapat keseimbangan,’’ ujarnya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M. Mohamed Idris turut mencadangkan pengguna mengurangkan tabiat makan ayam pada musim perayaan atas faktor kesihatan.

Mohamed Idris berkata, ayam yang dikeluarkan pada musim perayaan berisiko tinggi kerana binatang ternakan itu disuntik dengan sejenis ubat bagi mempercepatkan pertumbuhan.

Katanya, ubat itu memberi kesan sampingan kepada manusia tetapi ia bergantung kepada daya ketahanan seseorang individu itu.

“Sebagai contoh, individu yang menghidap masalah alergi (alahan) mungkin akan menerima kesan daripada ubat itu.

“Difahamkan, kebanyakan ayam sebesar seminggu atau dua akan disuntik dengan ubat itu agar dapat dijual di pasaran dengan segera kerana permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan,” katanya.

Jelasnya, ubat itu memang diberi kelulusan tetapi tidak digalakkan kerana ayam itu akan menyusut selepas 42 hari.

Selain itu, tambahnya, sejenis antibiotik juga dimasukkan ke dalam makanan ayam bagi meningkatkan ketahanan terhadap jangkitan penyakit.

“Bagaimanapun, antibiotik itu tidak berbahaya kepada manusia,” katanya.

0 comments: