MB nafi air empangan punca banjir di Kedah

Oleh Johari Ibrahim dan Siti Fatimah Mohamed Anwar


TENGGELAM: Antara rumah ditenggelami banjir di Kampung Baru, Kota Kuala Muda di Sungai Petani, baru-baru ini.

Tiga takungan Mada masih di bawah paras tahap maksimum

ALOR STAR: Kerajaan negeri menolak dakwaan banjir yang melanda empat daerah di Kedah sehingga memaksa lebih 600 penduduk dipindahkan berpunca daripada air yang dilepaskan dari tiga empangan utama di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) tidak melepaskan air di Empangan Pedu, Ahning dan Muda kerana paras air di tiga empangan itu masih di bawah tahap maksimum.

Beliau berkata, paras air Empangan Pedu semalam ialah 94.2 meter berbanding tahap maksimum 96 meter.

"Paras air di Empangan Ahning pula ialah 354 kaki (106.2 meter) berbanding kapasiti maksimum 370 kaki (111 meter) dan Empangan Muda berada pada paras semasa 321 kaki (96.3 meter) berbanding tahap maksimum 370 kaki (111 meter)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini semalam.

Justeru, katanya, andaian kononnya Mada melepaskan air empangan berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat adalah tidak benar.

Mengenai bantuan kepada mangsa banjir di daerah Yan, Pendang dan Kota Star, Menteri Besar berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri serta wakil rakyat bertindak cepat menghulurkan bantuan.

"Air laut tidak lagi pasang maksimum menyebabkan air sungai dapat dialirkan keluar ke laut lebih cepat dan keadaan akan bertambah baik sehari dua ini jika cuaca terus baik," katanya.

Selain itu, katanya, Mada juga sudah mengurangkan paras air di semua terusan miliknya bagi mengelakkan limpahan.

Mengenai langkah penebatan banjir, beliau berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diberikan peruntukan keseluruhan bagi melaksanakan projek tebatan banjir di sesebuah daerah supaya lebih berkesan.

Sementara itu, 80 lagi mangsa banjir membabitkan 19 keluarga dipindahkan ke Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah Pendang menjadikan jumlah mangsa di Pendang sehingga ini 243 orang.

Sementara itu, kira-kira 40 mangsa dari 10 keluarga di Kampung Permatang Limau, Alor Star dipindahkan pagi semalam apabila air Sungai Pendang mengalir ke Sungai Kedah.

0 comments: