Kabinet tangguh pelaksanaan aplikasi eKesihatan

Oleh Saufi Hamzah, Shamshul Azree Samshir dan Hanneeyzah Bariah Baharin

PUTRAJAYA: Kabinet semalam membuat keputusan menangguhkan pelaksanaan aplikasi eKesihatan yang mewajibkan semua pemandu kenderaan komersial menjalani pemeriksaan kesihatan dan ujian air kencing di klinik panel yang diperakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Ahmad Mustapha Abdul Rashid dalam kenyataan satu perenggan mengumumkan aplikasi eKesihatan yang sepatutnya dilaksanakan 1 Oktober ini, ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kenyataan kepada Bernama pula menjelaskan Kabinet berpendapat Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu dirujuk sebelum projek penswastaan itu dilaksanakan.

"EPU kemudian akan menyelaras pelaksanaannya dengan pelbagai agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan," katanya.

Minggu lalu, JPJ mengumumkan semua pemandu kenderaan komersial yang hendak memperbaharui atau memohon Lesen Memandu Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barang (GDL) diwajib menjalani pemeriksaan kesihatan serta ujian air kencing di 611 klinik panel yang diperakui jabatan itu, mulai 1 Oktober ini.

Peraturan baru yang turut mewajibkan pemandu mendaftar dan menjelaskan bayaran RM80 di Pejabat Pos sebelum membuat pemeriksaan di klinik panel, bagaimanapun menimbulkan kontroversi apabila dibantah pelbagai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendakwa pelantikan klinik panel itu melanggar Akta Perubatan 1971.

Selain itu, bayaran RM80 itu dianggap terlalu mahal dan Supremme Systems Sdn Bhd yang menerima kontrak bagi mengendalikan aplikasi berkenaan, didakwa akan meraih keuntungan 'atas angin' hampir RM400 juta dalam tempoh 15 tahun.

Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Supremmne Systems, Datuk Nordin Yahya, kelmarin menafikan dakwaan itu kerana syarikat berkenaan hanya menerima kontrak untuk tempoh lima tahun saja.

Ketika dihubungi Berita Harian semalam pula, Nordin berkata, Supremme Systems akan mematuhi keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan aplikasi berkenaan.

Nordin berkata, syarikat itu akan menghubungi JPJ bagi mengadakan perbincangan dan mendapatkan maklumat terperinci mengenai pelaksanaan sistem berkenaan.

"Malah, sehingga kini kita belum mendapat surat rasmi mengenai tawaran projek ini," katanya.

Ahmad Mustapha ketika dihubungi Berita Harian menjelaskan sementara pengumuman baru dibuat, JPJ kembali memproses pengeluaran lesen PSV dan GDL sama ada permohonan baru atau memperbaharuinya melalui kaedah lama yang menggunakan borang JPJL8/JPJL8A.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Teksi, Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Yusof Lahir, mempersoalkan penswastaan urusan pemeriksaan kesihatan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia hanya membebankan pemandu.

"Apa yang kita pertikaikan ialah kenapa pemandu perlu menjalani pemeriksaan kesihatan melalui syarikat itu? Bukankah lebih baik jika ia dibuat di klinik yang diselia Kementerian Kesihatan?

"Penggunaan orang tengah hanya menyebabkan kos pemeriksaan kesihatan lebih mahal," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ketika ini, pemandu yang membuat permohonan baru PSV dan GDL dikenakan bayaran RM50 untuk laporan perubatan dan RM20 bagi mengemas kini laporan perubatan sebelum memperbaharui lesen.

Yusof berkata, Petekma yang mempunyai lebih 100,000 ahli juga bimbang pelaksanaan eKesihatan di klinik panel yang berdaftar dengan Supremme System, disalahgunakan sesetengah pihak.

"Sebelum ini pemandu yang ingin memohon PSV perlu menghadiri kursus di JPJ melalui agensi yang dilantik, tetapi apa yang berlaku sebahagian besar pemandu hanya membayar sejumlah wang kepada agensi itu untuk mendapatkan sijil kursus," katanya.

Presiden MMA, Datuk Dr Khoo Kah Lin dalam satu kenyataan semalam pula berkata, pihaknya mahu JPJ dan Supremme Systems merujuk persatuan itu sebelum melaksanakan eKesihatan.

"MMA sudah menghubungi JPJ dan Supremme Systems baru-baru ini, tetapi dimaklumkan pegawai yang berkenaan tiada di dalam negara dan mesyuarat hanya akan diadakan minggu depan," katanya.

0 comments: