Pengajaran H1N1

Pengajaran H1N1

Pada suatu ketika, tahap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini tidaklah nampak membimbangkan kalau dibandingkan dengan negara serantau termasuk Singapura.

Namun, keadaan menjadi sebaliknya dengan peningkatan kes begitu mendadak. Singapura lebih terkawal dengan lima kes kematian sementara Malaysia mencatatkan 59 maut - berada pada tahap mencemaskan. Kadar kematian per jangkitan akibat H1N1 Malaysia dikatakan antara tertinggi di dunia dan kedua di Asia Tenggara iaitu 1 dalam 40 kes, Thailand 1 - 119 dan Indonesia 1 - 168.

Sebanyak 59 terkorban angkara wabak itu di negara ini sehingga petang semalam. Tidakkah jumlah korban itu cukup besar? Kenapa ia boleh ke tahap itu sedangkan Malaysia bukanlah negara yang mundur.

Pada ketika Awang menghargai komitmen Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak berkenaan menangani kes tersebut, ia sesungguhnya membuka ruang untuk kita menilai apa yang tidak kena. Dalam konsep keselamatan moden, wabak dan memerangi jangkitan sudah diletakkan sebagai ancaman utama kepada keselamatan. Tetapi pendekatan kita masih di takuk lama.

Antara cara termudah ialah media diminta jangan membesar-besar penularan wabak H1N1 di peringkat awal awal kononnya bimbang akan menimbulkan kegemparan dan menjejaskan sektor pelancongan. Media juga diminta elak guna istilah selesema babi sedangkan istilah itu lebih menggerunkan orang ramai. Stesen penyiaran utama dunia seperti CNN dan BBC turut menggunakan istilah dengan maksud sama (swine flu).

Lihatlah apa jadi sekarang? Bukanlah Awang mahu mencari salah sesiapa. Yang penting ambillah pengajaran daripada isu H1N1 ini. Banyak persoalan yang melingkari kita misalnya diketahui H1N1 sudah di tahap bahaya tetapi apa tindakan kita? Untuk menentukan sama ada sekolah tutup atau buka dan larangan perhimpunan ramai, juga masih tidak jelas.

Apakah kita mahu menunggu lebih ramai mati baru mengisytiharkan darurat wabak dan langkah yang lebih konkrit? Apabila kematian sudah tidak terkawal, adalah terlambat untuk bertindak dan apakah rakyat akan dipersalahkan nanti? Lakukanlah post mortem yang berani untuk mengenal pasti kelemahan kita. Jika perlu belajar daripada Singapura, belajarlah.

Kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat bahawa DAP boleh menghina Islam, mengundang bantahan pelbagai pihak dari kalangan orang Islam.

Setelah dikritik hebat kerana menentang perbincangan idea kerajaan perpaduan dan menghina UMNO ("pergi jahanam dengan UMNO" dan "UMNO lebih buruk daripada komunis"), sekali lagi masyarakat Islam membidas Menteri Besar Kelantan itu.

Rumusan yang dibuat oleh kalangan orang Islam ialah Nik Aziz tidak lagi boleh menjadi sandaran dalam menjaga kesucian agama Islam serta perpaduan ummah.

Kenyataan beliau lebih menjurus menjaga kepentingan politik dan bukan kepentingan Islam. Sudah menjadi bahan sinikal termasuk di kalangan ahli Pas, Nik Aziz dikatakan rela mengutamakan kepentingan DAP daripada menjaga kepentingan Islam. DAP dulu, Islam kemudian.

Sebab itu, tiada pemimpin Pas tampil mempertahankan kenyataan beliau kerana sedar apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz berhubung isu itu adalah salah. Awang turut menerima panggilan daripada seorang profesional yang menjadi aktivis Pas bahawa komen Nik Aziz dikhuatiri menjadi liabiliti kepada parti itu.

"Kami tidak mahu Tok Guru dilihat membawa malu kepada Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Ayah Pin (pengamal ajaran sesat yang sedang diburu pihak berkuasa)," katanya lagi.

Lalu aktivis itu menyatakan kenyataan Nik Aziz tidak mencerminkan pemikiran seluruh pemimpin dan ahli parti itu. Katanya, Nik Aziz juga manusia biasa dan tidak terlepas daripada kesilapan. Dari satu segi Awang setuju. Tetapi persoalannya sudah terlalu banyak kesilapan yang beliau lakukan, yang dikhuatiri boleh membawa mudarat kepada umat Islam dan kesucian agama.

Adakalanya Awang pelik hujah Nik Aziz selalu berbelit-belit dan tidak konsisten, dulu haram sekarang tidak. Dulu kafir tetapi kini sahabat politik. Bukan Islam luar negara tidak boleh hina Islam, anehnya DAP boleh. Memang banyak kenyataannya yang meragukan termasuk boleh bekerjasama dengan syaitan dan memperlekehkan sesama orang Islam. Sesungguhnya umat Islam mengharapkan walaupun Tok Guru adalah orang politik tetapi dapat mempertahankan kepentingan Islam mengatasi pertimbangan politik. Itulah yang dibuktikan oleh Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baru (PKR) Zulkifli Nordin, yang tidak gentar mendahulukan kepentingan Islam. Beberapa pemimpin Pas yang lain juga setidak-tidaknya berdiam dan tidak akan menyokong DAP jika menghina Islam.

Persoalannya sekarang Awang bimbang, lagi banyak Nik Aziz bersuara makin banyak kesilapan yang beliau lakukan, yang bukan sahaja merugikan umat Islam malah juga Pas. Mungkinkan beliau perlu berdiam untuk menyelamatkan imej Pas?

Awang Selamat

0 comments: