Perang ideologi ganti fitnah, 'buku lima' pada pilihan raya

Perang ideologi ganti fitnah, 'buku lima' pada pilihan raya
Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my

Hilang adab, maki hamun bila emosi memuncak ketika berkempen

KADANG-KADANG kita susah hati bila ada pilihan raya, terutama pilihan raya kecil di mana seluruh perhatian negara akan tertumpu di sesuatu kawasan.

Kebimbangan ini bukan kerana calon atau parti yang disokong kalah, tetapi kerana kempen yang semakin hari semakin berani. Berani bukan dalam erti kata memperjuangkan ideologi politik, tetapi lebih berani melangkaui ukur adab dan tata susila.

Segala sumber parti-parti politik pun akan tertumpu ke tempat yang selalunya kebanyakan kita tidak pernah dengar pun. Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manik Urai, Batang Air dan kini Permatang Pasir akan dipenuhi kenderaan dari luar dan untuk lebih seminggu orang di situ akan ditatang dengan janji dan dihidangkan kata-kata manis.

Adakalanya dalam keghairahan berkempen terlalu banyak cerita yang dikeluarkan, yang mana sahih yang mana tidak sedikit yang tahu.

Hidup kita bukan saja dikawal oleh undang-undang, tetapi lebih penting ialah tata susila dan kebudayaan kita. Undang-undang boleh membuat kita menjadi rakyat yang patuh, tetapi tatasusila dan budi bahasa akan menjadikan kita rakyat yang baik.

Namun bila pilihan raya datang, segalanya dilupakan. Mungkinkah saingan politik yang menyebabkan kita lupa akan budi bahasa kita?

Maknanya, jika dulu kita berdebat menonjolkan dan menjual ideologi kita, kini kita cari jalan mudah dengan memburukkan lawan. Selalu juga diselangi dengan maki hamun dan fitnah.

Jika dulu kita hanya bawa sepanduk kini kita tambah dengan membawa kayu dan batu. Ada yang datang berkempen bukan untuk menaikkan semangat dan menjulang partinya, tetapi sebaliknya mengapi-apikan kemarahan terhadap lawan.

Ini mungkin boleh masuk kategori politik kehancuran, di mana untuk menang apa saja sanggup dilakukan.

Sejak bila pilihan raya kita menjadi ganas dan tegang? Sejak bila orang macam hendak bergaduh saja bila berkempen pilihan raya?

Yang jelas kebanyakan yang terlalu emosional di dalam pilihan raya adalah orang Melayu, yang tahan bas, yang koyak bendera, yang bertumbuk dan yang memaki hamun dan mengejek orang lain. Boleh kata semuanya tabiat orang Melayu yang dikatakan baik, tewas dengan virus demam pilihan raya.

Mungkin sebab orang Melayu lebih ramai, maka kita mungkin nampak hanya orang Melayu yang menunjuk perasaan di jalan raya. Antara beribu-ribu mengiringi calon di hari penamaan, yang menjerit-jerit dan menunjuk buku lima antara satu sama lain adalah orang Melayu.

Pada masa berkempen, yang berarak ke sana-sini bawa bendera dengan motosikal adalah orang Melayu.

Mungkin juga orang Melayu memang suka perkara-perkara macam ini kerana tidak payah banyak berfikir. Dengar saja cakap orang politik, lagi petah pidatonya, mestilah lebih betul isi kandungannya.

Kenapakah, jika bangsa kita dikatakan berbudi bahasa, apabila pilihan raya, segalanya bertukar? Bahasa dan kelakuan yang dianggap tidak sesuai menjadi satu kebiasaan.

Kita perlu berhati-hati supaya yang jarang-jarang tidak menjadi kebiasaan dan yang biasa menjadi lumrah.

Satu fenomena di pilihan raya kini ialah kecenderungan untuk menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Selepas pilihan raya ada saja yang tidak kena dan syak wasangka ditimbulkan terhadap keupayaan dan integriti suruhanjaya.

Tidak kira menang atau kalah, tujuannya seolah-olah ingin mempengaruhi pandangan orang ramai terhadap institusi itu.

Jika menang dikatakan undi mungkin lebih banyak kalau SPR tidak pincang. Jika kalah, sudah tentulah kerja tidak baik SPR.

Bahayanya kenyataan seperti ini ialah ia akan menghancurkan institusi itu di kaca mata rakyat, sedikit demi sedikit. Jadi bila kita ada pilihan raya umum nanti, mungkin kepercayaan rakyat sudah terhakis dan keputusan akan lebih mudah ditolak, sama ada betul atau tidak.

Jika SPR diragui tiada pihak yang untung nanti, baik kerajaan atau pembangkang. Menang kalah mereka akan diragui dan rakyat akan keliru yang mana wakil yang sah dan yang mana yang dianiaya.

Kita ada antara dua hingga tiga tahun untuk menentukan SPR menjadi satu badan yang boleh dianggap sebagai pengadil bebas di dalam perjalanan proses demokrasi kita. Apa yang perlu dilakukan ialah memantapkan SPR dan memperbaiki kelemahan yang ada, serta menaik taraf proses-proses yang ada.

SPR perlu mengadakan satu kempen penerangan di mana ia menjemput semua lapisan melihat bagaimana ia berfungsi. Selak semua langsir yang menutup segala operasinya, buka semua tingkap dan pintu supaya rakyat boleh menjengok bagaimana ia bekerja.

Jemput pengkritiknya yang paling lantang untuk berdialog dan mengkaji operasinya. Besar kemungkinan pengkritik akan enggan datang kerana jika segalanya telus dan teratur, habislah satu modal kempen.

Di dalam dua tiga tahun ini jadikan hubungan awam satu misi utama SPR.

Rasanya, walaupun tidak sedap di hati, kita patut menjemput pemerhati luar untuk mengkaji sistem pilihan raya kita daripada pendaftaran pengundi, kempen dan kepada proses pengundian kita. Segala isu yang berbangkit ketika pilihan raya seperti pengundi hantu, undi pos, media massa, jentera kerajaan harus dibuka untuk tontonan dan kajian semua.

Tugas utama kerajaan ialah meyakinkan rakyat bahawa sistem pemilihan wakil mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri adalah tulus dan adil. Ini penting kerana sudah tentu ada cubaan ingin menimbulkan syak wasangka terhadap institusi pengendalian pilihan raya.

Mula-mula bawa pemerhati ke pilihan raya kecil dan kemudian di pilihan raya umum. Ini penting kerana ia mempunyai dua serampang � membuat sistem pemilihan kita lebih mantap dan mengurangkan sangsi dan syak terhadap proses demokrasi kita.

Ini penting kerana bila rakyat yakin tentang proses pilihan raya kita, tidak mudah ia akan dijadikan modal politik. Kita lihat di beberapa negara apabila rakyat tidak yakin, maka kerajaan yang dipilih akan sentiasa diganggu-gugat.

Apabila rakyat yakin juga dengan sistem pilihan raya kita, masa itulah peperangan ideologi akan menggantikan maki hamun dan buku lima di pilihan raya kita.

0 comments: