Memikul harapan untuk bawa perubahan

Memikul harapan untuk bawa perubahan

DI Manek Urai, dikatakan bahawa ‘batang tubuh’ calon lebih menjadi perhitungan, namun calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, tidak banyak disentuh dan dijadikan sasaran lawan.

Tentunya akan ada ukuran perbandingan tentang siapa yang lebih wajar dipertimbangkan menjadi wakil untuk berkhidmat dan memperjuangkan kepentingan masyarakat setempat.

Pengharapan umum tentunya lebih besar dan Tuan Aziz tahu tanggungjawabnya akan pasti lebih mencabar.

Namun beliau sanggup menawarkan diri dan berharap masyarakat dapat memberi kepercayaan kepadanya untuk membuktikan bahawa apa yang dikatakan akan tetap dikota.

Wartawan Utusan Malaysia, WAN ZULKFILI WAN YAACOB dan AZRAN FITRI RAHIM menyelami perasaan Tuan Aziz.

UTUSAN MALAYSIA: Sebelum ini ada yang mengatakan bahawa saudara tidak berhasrat untuk menjadi calon?

TUAN AZIZ TUAN MAT: Ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu saya pikul walaupun pada asasnya saya memang suka untuk membantu memenangkan mana-mana calon yang ditetapkan oleh parti dan saya memang mencadangkan pemimpin-pemimpin lebih senior untuk bertanding di Manek Urai.

Tetapi setelah pucuk pimpinan parti memberi amanah untuk saya laksanakan, maka saya perlu memikulnya dengan baik dan berusaha serta berikhtiar untuk merubah suasana di Manek Urai.

Sebelum ini saudara berada pada kerjaya yang baik sebagai pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), jadi tidak terfikirkah risiko apabila tewas?

Memang apa-apa pekerjaan terpaksa hadapi risiko namun akan ada titik peralihan dalam hidup. Biarpun ia suatu yang sukar, namun bagi saya tentunya ia memberi kepuasan kepada saya untuk turut berada dalam kedudukan menterjemah apa yang difikirkan baik melalui khidmat kepada pengundi di Manek Urai.

Ketika diumumkan sebagai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, bagaimana perubahan hidup selepas diumumkan sebagai calon?

Saya agak terkejut dan tergamam namun saya tidak harus berpaling. Saya pikul amanah ini untuk menyumbang kepada parti dengan cara lebih besar dan saya harapkan rakyat memberikan kesempatan.

Sebagai seorang pemimpin muda, pemilihan saudara mewakili BN dikaitkan dengan usaha untuk menarik sokongan 25 peratus pengundi muda. Bagaimana?

Insya-Allah dari segi sambutan yang kita terima menunjukkan golongan muda berkeyakinan kepada BN. Mereka mempunyai harapan kepada calon muda untuk memudahkan mereka mendekati dan menangani isu yang mereka hadapi sekarang.

Berapa ramaikah anak muda yang menetap di sini dan bagaimana cara hidup mereka. Apakah masih ada banyak ruang yang boleh dibaiki?

Kebanyakan muda mudi tidak berada di sini, yang tinggal adalah lepasan sekolah meneruskan pekerjaan tradisi keluarga sebagai pekebun, pekerja kontrak atau pekerja sendiri dan mengambil upah kerja kampung. Sebilangan lagi golongan muda lepasan universiti yang masih mencari pekerjaan.

Saya akan membantu dengan peluang-peluang yang disediakan kerajaan dan mengangkat permintaan pengundi kepada Kerajaan Pusat, tambahan pula Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjanji sekiranya kita menang, Manek Urai akan dijadikan sebagai anak emas.

Memandangkan saudara sememangnya rapat dengan penduduk di sini dan mengenali mereka terutama golongan muda yang menyokong Pas. Adakah mereka mula mendekati saudara?

Secara sulit ada yang mula mendekati dan memberi pengharapan, cuma mereka dari keluarga Pas tegar dan kita memahami situasi mereka. Kita tidak lakukannya secara terbuka.

Berbalik kepada latar belakang saudara, kenapa saudara begitu tertarik untuk mendekati UMNO?

Sebenarnya UMNO telah banyak memberi sumbangan secara langsung kepada saya sendiri, keluarga dan rakan-rakan sejak kita dilahirkan. Budi dan jasanya cukup besar.

Sumbangan UMNO tidak terkira khususnya dari segi bantuan pendidikan, asas kepada usaha membangunkan bangsanya agar setanding dengan bangsa lain, namun ia tetap berpegang kukuh kepada agamanya.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada saya yang menerima faedah perjuangan UMNO untuk turut terlibat memberi sumbangan kembali kepada parti dan rakyat yang telah memberi kepercayaan sekian lama.

Merenung kembali ke zaman persekolahan, apa yang mengingatkan saudara kepada UMNO pada ketika itu?

Saya lihat kepada kesusahan kawan-kawan saya untuk belajar yang mana ramai kawan saya yang sepatutnya boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tetapi tercicir kerana masalah kewangan.

Tetapi dengan usaha-usaha yang dikemukakan kepada parti ini, UMNO telah mewujudkan pelbagai kemudahan khususnya biasiswa dan kini kemudahan semua telah diwujudkan kerajaan bagi membantu pelajar daripada kalangan tidak berada.

Ayah saudara seorang pesara guru dan adakah beliau mempengaruhi saudara mendekati UMNO?

Sememangnya penglibatan ayah dalam UMNO menyebabkan saya terdedah kepada parti itu dan mengambilnya sebagai satu perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air, ‘alif ba ta’.

0 comments: