Antara Jasmin, Natrah dan sejarah

Antara Jasmin, Natrah dan sejarah

Oleh Ku Seman Ku Hussain

SELEPAS menonton filem Jasmin (1985) arahan Datuk Jamil Sulong, saya bertanya kepada Tan Sri Kamarul Ariffin yang menerbitkan filem itu, adakah Jasmin diilhamkan daripada kisah rusuhan Natrah tahun 1950-an?

Tetapi Kamarul tidak menafikan atau mengiyakan. Beliau sekadar mengingatkan saya supaya menonton Jasmin sebagai sebuah filem.

Kecenderungan Kamarul menerbitkan filem yang berselera “lain” daripada fenomena filem sezaman yang menumpukan komedi yang basi mendekatkan saya dengan Kamarul.

Ketika itu, walaupun Kamarul tidak memberikan jawapan sama ada diikhamkan daripada kisah Natrah atau sebaliknya, saya pasti Jasmin adalah Natrah yang dilahirkan semula. Malah saya sangat pasti Kamarul bukan mahu membuat filem sejarah tentang Natrah tetapi memanfaatkan isu daripada tragedi Natrah.

Dari perspektif sejarah, tragedi rusuhan Natrah berlaku pada 12 Disember 1950 apabila orang Melayu di Singapura bangun menentang undang-undang British yang memurtadkan Natrah.

Natrah atau nama sebenarnya Bertha Hertogh telah meninggal dunia Khamis lalu pada usia 72 tahun. Kisah hidup Natrah penuh dramatik, dia dikahwinkan pada usia 13 tahun oleh ibu angkatnya Aminah dengan lelaki Melayu, Mansor Adabi yang telah meninggal dunia 15 Oktober 1988 di Singapura.

Mengikut undang-undang British, Natrah ketika itu di bawah usia dan segala keputusan boleh dibuat oleh kedua-dua ibu dan bapanya. Keluarga Natrah menang dalam perbicaraan itu tetapi pada perspektif orang Melayu adalah penghinaan kepada agama Islam kerana membenarkan Natrah dikembalikan kepada keluarga asal yang bukan beragama Islam.

Saya tetap percaya Jasmin adalah Natrah dan Kamarul membuat perhitungan bijak untuk meminjam sejarah secara longgar dengan membina satu lingkaran kisah baru. Tetapi isu dalam Jasmin sama dengan isu Natrah iaitu kebangkitan orang Melayu menentang undang-undang British dan memperjuangkan Islam. Kerana itu yang penting Natrah bagi Kamarul bukanlah sejarah tetapi isunya.

Mengimbas kembali pengalaman menonton Jasmin, menyusuri kisah Natrah dalam laporan bersiri majalah Dewan Masyarakat oleh Fatini Yaacob dan menerima berita pemergian Natrah membuktikan isu Natrah perlu dilihat dalam konteks patriotik dan sosiobudaya orang Melayu.

Ini memberi isyarat kepada kita bahawa jangan sewenang-wenang membangkitkan isu yang menghina Islam dan orang Melayu.

Kita tidak perlu lagi mencari kepastian adakah Jasmin itu Natrah. Tetapi yang perlu diambil iktibar daripada kedua-duanya, Jasmin dan Natrah adalah isu yang menyentuh tentang agama perlu ditangani secara bijaksana. Ini adalah sumbangan filem Jasmin yang orang banyak tidak nampak kerana mereka hanya mahu Kamarul memaparkan “sejarah” bukan iktibar daripadanya.

Walaupun Jasmin bukan filem box office pada zamannya tetapi Jasmin tidak basi kerana Jasmin relevan dengan semua zaman, apa lagi dalam konteks orang Melayu sekarang. Maka penanda aras filem yang baik kepada masyarakat bukanlah yang sekadar mengembungkan poket penerbitnya.

E-mel: cp@galaxystudio.tv

0 comments: