Lantikan Senator ikut 'semangat' Perlembagaan

Lantikan Senator ikut 'semangat' Perlembagaan

MINGGU lalu banyak sejarah telah tercatat dalam Dewan Negara termasuk persaraan Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh, pelantikan Datuk Wong Foon Meng menggantikan beliau dan juga pelantikan Senator Datuk Armani Mahiruddin, wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Pelantikan Tunku Aziz Tunku Ibrahim, senator pertama DAP juga menarik perhatian umum selain pelantikan semula senator yang masih muda, Mumtaz Md Nawi dan pelantikan baharu bagi Mustafa Kamal Mohd Yusof.

Daripada nama-nama itu juga, rakyat negara ini boleh meneka setiap senator kita terdiri daripada orang politik.

Jika kita tinjau 'semangat' Perlembagaan Malaysia, Artikel 45 jelas memberi tafsiran bahawa ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan Orang Asli.

Apa yang berlaku kini, individu yang masih muda dan kurang mencapai tahap cemerlang dan mencapai keunggulan telah mengisi jawatan itu apabila setiap negeri mencalonkan wakil-wakilnya. Pencalonan setiap negeri dilihat didorong oleh faktor politik kerajaan yang memerintah.

Tidak kurang juga jawatan Senator diberikan bagi menggantikan mereka yang tidak dicalonkan sebagai wakil rakyat. Ini lebih menyedihkan kerana Dewan Negara yang mulia ini menjadi 'tempat kedua' untuk mereka yang tidak berjaya menjadi Ahli Dewan Rakyat/Dewan Undangan Negeri. Fenomena bagi melantik Senator untuk dijadikan Menteri juga kerap berlaku yang dibuat atas faktor politik.

Pendek kata, fungsi Dewan Negara yang kita ketahui sebagai tempat mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa naik oleh Dewan Rakyat sebelum akhirnya dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda kini tersasar daripada roh Perlembagaan Malaysia.

Pasti ada sebab, orang terdahulu meletakkan perkataan tertentu dalam Artikel 45 (2), Perlembangaan negara. Jika negara ketandusan individu yang boleh mewakili profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan, perkhidmatan sosial, mewakili ras minoriti, mewakili kepentingan Orang Asli sudah tiba masanya perlembagaan itu dipinda.

Biarpun Perlembagaan negara tidak menyatakan langsung tentang halangan pembabitan orang politik dalam Dewan Negara tetapi rakyat mengetahui bahawa gelanggang untuk orang politik ialah Dewan Rakyat.

Artikel 44 Perlembagaan Negara jelas menyatakan bahawa kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Tentunya juga ada sebab kewujudan dua dewan itu.

Dengan semangat 1Malaysia dan hasrat untuk memajukan negara serta memastikan undang-undang dan dasar yang dibawa ke peringkat Dewan Negara dibahas oleh mereka yang mencapai tahap cemerlang dan mencapai keunggulan, adalah dicadangkan agar kita kembalikan peruntukan dalam undang-undang tertinggi negara itu.


Tanjong Malim, Perak">

0 comments: