Najib berusaha ubah apa yang rakyat tidak suka

Najib berusaha ubah apa yang rakyat tidak suka

SEJAK mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu, beliau banyak menampilkan kejutan demi kejutan.

Jadi, sambutan untuk meraikan 100 hari Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, Sabtu lalu cukup istimewa.

Majlis 100 Hari Perdana Menteri Bersama Rakyat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bukan sahaja untuk meraikan Najib tetapi juga rakyat daripada pelbagai peringkat.

Tidak dijangkakan Najib mengumumkan 11 'hadiah untuk rakyat.'

Kita percaya 11 hadiah itu memberi kelegaan kepada semua golongan rakyat. Najib telah membantu mengurangkan beban yang menjadi rungutan rakyat selama ini.

Masalah pengguna lebuh raya bertol, penyewa flat Dewan Bandaraya Kuala lumpur, peniaga kecil di Wilayah Persekutuan, belia India yang menganggur, penyewa permit teksi, kemudahan asas penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak, penunggang motosikal tanpa lesen - semuanya kini ditangani.

Selain itu masalah lewat mendaftar kelahiran dan proses kewarganegaraan disegerakan.

Kebimbangan rakyat tentang jenayah ragut dan curi kenderaan turut mendapat perhatian Perdana Menteri.

Cakap-cakap untuk mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah - selepas ini tidak boleh tinggal setakat di atas kertas dan laporan media sahaja.

Sebab, keenam-enam perkara itu dimasukkan oleh Najib dalam mengukur keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan lebih berkesan.

Jelas langkah-langkah yang diumumkan oleh Najib itu mencerminkan usaha 'Rakyat Didahulukan' demi menjaga kesejahteraan rakyat yang menjadi teras kepimpinannya.

Malah 11 hadiah itu adalah hasil usaha Najib merasai denyut nadi permasalahan rakyat melalui pendekatan turun padang.

Dalam ucapan pada majlis 100 Hari PM Bersama Rakyat, Najib mengulangi kata-katanya bahawa era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir. Kerajaan akan dengar pendapat rakyat sebelum buat keputusan.

Dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan beliau tidak akan membuat sesuatu secara sewenang-wenang jauh sekali secara semberono.

Pendekatan memikirkan nasib rakyat dahulu sebelum membuat sebarang keputusan perlu dicontohi oleh anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan.

Apa pun, kita tidak mahu Perdana Menteri seorang sahaja yang berubah sedangkan yang lain tidak berbuat demikian.

Oleh itu rajin-rajinlah turun padang supaya dapat memahami rintihan rakyat dan seterusnya membela nasib mereka.

Nampak jelas sejak 100 hari lalu, apa yang rakyat tidak suka, Najib berusaha mengubahnya. Beliau memperhalusi dan sanggup menyesuaikan dirinya dengan apa yang dikehendaki rakyat.

Najib begitu mengambil berat masalah rakyat dan apa yang dijanjikan akan dikotakan oleh beliau walaupun baru 100 hari menerajui pentadbiran negara.

Semua pihak digesa bersama menyokong dasar kerajaan pimpinan Najib bagi memastikan usaha membangunkan negara serta memulihkan ekonomi dapat dilakukan dengan berkesan.

0 comments: