Pengundi Manek Urai pamer kematangan berpolitik

Pengundi Manek Urai pamer kematangan berpolitik
Manja Ismail

Kempen pilihan raya secara aman antara BN, Pas satukan kembali semangat 'persaudaraan Melayu/Islam'

APAPUN keputusannya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas esok, mencatat satu perubahan ketara berbanding beberapa pilihan raya kecil pasca Mac 2008, iaitu kempen kedua-dua pihak secara keseluruhannya berjalan dalam suasana aman. Keadaan itu dikesan sejak hari penamaan calon lagi apabila penyokong kedua-dua pihak, walaupun tetap ramai dan bersemangat, tidak melakukan sesuatu yang boleh mencetuskan ketegangan seperti melempar objek, sindir menyindir atau memaki hamun secara keterlaluan. Dan sehingga semalam, belum ada laporan, termasuk tidak rasmi mengenai kekasaran penyokong kedua-dua parti seperti berlaku pada pilihan raya kecil sebelum ini.

Pilihan raya kecil Manek Urai adalah yang ketujuh sejak Mac 2008 iaitu selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Air dan Penanti serta kedua di Kelantan sejak pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005. Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, pengurus Kesedar ditentang satu lawan satu oleh calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50, pemborong ikan. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakob daripada Pas pada 22 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum 2008, Ismail menewaskan calon BN, Mohamed Zulkifli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Bagaimanapun, berbeza dengan pilihan raya kecil itu, yang dicemari oleh pelbagai kejadian angkara penyokong parti-parti bertanding, keadaan di Manek Urai jauh lebih tenang, aman dan memperlihatkan semangat 'persaudaraan Melayu/Islam' � semangat yang sudah lama dilihat hilang apabila Umno dan Pas bertembung. Apa yang berlaku di Manek Urai ialah penyokong kedua-dua calon masih boleh minum dan makan bersama di warung-warung tom yam selepas habis berkempen atau mendengar ceramah.

Di sesetengah tempat, walaupun bilik gerakan BN dan Pas terletak bersebelahan antara satu sama lain, tiada cabar mencabar di kalangan petugas parti seperti berlaku di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang. Malah, kandungan ceramah BN dan Pas kali ini tidak terlalu keras dengan kedua-dua pihak seperti mengelak daripada memfitnah peribadi calon atau pemimpin parti lawan secara keterlaluan.

Kejadian mengoyak poster yang sudah menjadi lumrah dalam pilihan raya sebelum ini, juga tidak berlaku di Manek Urai. Namun kepada orang luar, terutama petugas media yang sudah berkampung di Hulu Kelantan itu sejak lebih seminggu lalu ialah budi bahasa penduduknya. Mereka bukan saja dilihat ikhlas menyambut kehadiran orang luar, malah menjamu tetamu dengan durian yang kebetulan musimnya sekarang. Tidak ada renungan tajam terhadap orang yang tidak dikenali turun dari kereta yang bukan bernombor pendaftaran dari Kelantan.

Begitupun, kita masih belum boleh mengharapkan suasana itu menjadi budaya baru dalam pilihan raya kecil di negara ini, walaupun sebahagian besar rakyat yang berfikiran waras memang mahukan sedemikian. Menurut teman-teman di Kelantan, ketegangan tidak berlaku di Manek Urai kerana sebahagian besar kempen dan ceramah dikendalikan oleh pemimpin BN dan Pas tempatan, yang memahami budaya pengundi di negeri itu, apa lagi di kawasan pedalaman yang masih menyanjungi adab dan pekerti.

Dalam kata lain, budaya memaki hamun dan menyerang peribadi lawan dalam kempen atau ceramah tidak diterima oleh penduduk Manek Urai apalagi sebahagian besar mereka saling mengenali atau mempunyai tali persaudaraan antara satu sama lain.

"Di Kelantan, jika kempen hanya antara Umno dan Pas, ia jarang menimbulkan masalah. Pengaruh luar seperti penceramah daripada Parti Keadilan Rakyat atau penceramah Pas dan Umno dari negeri lain yang tidak tahu budaya tempatan, boleh menimbulkan ketegangan. Inilah berlaku di Pengkalan Pasir dulu.

"Kali ini kehadiran mereka, jika pun ada hanya sebagai pemerhati. Pemimpin kanan parti biasanya tidak berbuat demikian, tetapi pemimpin bawahan yang menjadi masalah. Tapi semua pihak sedar sementara penduduk di sini menyambut baik kedatangan orang luar, mereka tidak sukar orang luar mengajar mereka," kata seorang teman dari Kelantan.

Kerana kedua-dua pihak menyedari sensitiviti ini, mereka memilih isu tempatan, pembangunan dan pihak mana lebih Islam, yang masih dekat di hati pengundi Manek Urai, dalam kempen dan ceramah masing-masing. Jika ada pun serangan peribadi, ia lebih bertumpu kepada latar belakang kedua-dua calon, manakala serangan terhadap BN dalam khutbah Jumaat lebih bertumpu kepada isu lama � siapa yang memperjuangkan Islam.

Seperti biasa pada pihak BN, yang kempennya diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isu pembangunan dan membela nasib rakyat menjadi agenda utama, selain menangkis pelbagai tohmahan pembangkang.

Sama ada terlalu yakin akan menang atau bimbang pendekatan konsisten BN itu mungkin memberi kesan kepada penduduk Manek Urai, Pas semalam berkata, janji dan pengumuman mengenai projek pembangunan BN tidak akan mengubah keputusan pilihan raya kecil esok. Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, berkata pihaknya akan membuat satu pengumuman penting untuk rakyat Manek Urai hari ini. Walaupun beliau enggan memberi sebarang petunjuk mengenai perkara itu, ia mungkin mengenai hak milik tanah yang terletak di bawah kuasa kerajaan negeri.

Sama ada Pas kekal mempertahankan kerusi Manek Urai esok atau BN berjaya merampasnya, ia tidak banyak mengubah kedudukan di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Bagaimanapun, pilihan raya kecil Manek Urai memberi harapan baru kepada perjalanan pilihan raya di negara ini, yang sejak kebelakangan ini diselubungi ketegangan. Di tengah-tengah kehangatan kempen di Manek Urai, Pemuda Umno dan Pas dilaporkan mahu mengadakan dialog perpaduan, lanjutan daripada idea kerajaan perpaduan Pas yang dibatalkan kerana tentangan oleh Pakatan Rakyat. Kita tidak tahu sama ada 'ketenangan' kempen di Manek Urai itu mempunyai kaitan dengan hasrat generasi muda kedua-dua parti Melayu itu. Yang pasti, 'kematangan berpolitik' pengundi Manek Urai itu seharusnya berterusan pada pilihan raya kecil akan datang, jika ada.

0 comments: