Analisis: Kempen dekati pengundi berkesan tawan Manek Urai

Analisis: Kempen dekati pengundi berkesan tawan Manek Urai

Oleh Zulkofli Jamaludin
zuljam@bharian.com.my

PILIHAN raya kecil bukan saja memberi `durian runtuh’ kepada peniaga, malah penduduk kampung boleh meraih keuntungan berganda apabila rumah kosong boleh disewakan dengan harga setanding di Kuala Lumpur. Tidak hairan sepanjang tempoh berkempen, banglo yang biasanya disewa RM300 sebulan di Kuala Krai, boleh meningkat sehingga RM3,000 untuk tempoh dua minggu, malah ada pihak sanggup menawarkan harga bilik penginapan di motel tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga yang sudah ditempah pelanggan terdahulu.

Bagaimanapun, bagi pemilik kebun durian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, pilihan raya kecil 14 Julai ini tidak menghadiahkan pendapatan lumayan kerana harga durian tidak meningkat seperti sewa rumah atau makanan berikutan lambakan raja buah itu di pasaran.

Namun, sekelompok peniaga wanita warga emas dilihat duduk bersila di bahu jalan di Kampung Laloh, dan mereka berlindung di bawah teduhan pokok getah menjual timbunan durian di laluan sibuk menghubungkan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang-Kuala Lumpur.

Seorang rakan yang menyaksikan gelagat warga emas itu berniaga, spontan berkata makan durian yang boleh dibeli dengan harga RM2 sebiji dan lemang yang dijual RM5 sebatang, terasa lebih panas berbanding kempen pilihan raya kecil ini. Pandangan rakan itu ada benarnya melihat suasana kempen Barisan Nasional (BN) mahupun Pas yang lebih banyak bertumpu kepada kelompok kecil dan kempen dari rumah ke rumah.

BN yang diwakili Tuan Aziz Tuan Mat, manakala Pas, Mohd Fauzi Abdullah, dilihat bergerak seawal Subuh bersama kumpulan kecil antara lima hingga 10 petugas untuk bertemu pengundi yang kebanyakannya pekebun dan pekerja sendiri. Masa senggang pengundi pada waktu pagi, tengah hari mahupun petang dilihat digunakan sepenuhnya oleh petugas parti untuk berkempen.

Bentuk muka bumi Manek Urai yang berbukit serta subur dengan tanaman getah, kelapa sawit dan buah-buahan dilihat mempengaruhi corak dan mood berkempen sehingga pilihan raya kecil ketujuh ini dikatakan agak hambar. Malah, ceramah Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang pada malam pertama selepas penamaan calon di Kampung Sungai Sok, hanya dihadiri tidak lebih 100 orang.

Justeru, tidak hairan apabila pemimpin yang sebelum ini lantang berpidato dan mampu menarik hadirin, kini turut memilih berkempen dalam kelompok kecil di warung dan surau.

Di sebalik kempen dalam kelompok kecil, parti bertanding menyusun program untuk menarik pengundi muda yang mengundi di saluran tiga dan empat berikutan kelompok itu mewakili 45.5 peratus atau 5,598 orang daripada 12,293 pengundi di DUN Manek Urai. Pengundi berumur antara 40 hingga 59 tahun pula seramai 4,511 orang.

Jentera kempen BN yang dikepalai Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin mendekati kumpulan sasaran dengan mengadakan bengkel memeriksa dan membaiki motosikal, kegiatan sukan, serta program gotong-royong membersihkan masjid dan surau. Malah, beberapa Exco Pemuda Umno termasuk beliau sendiri, bermalam dengan keluarga angkat di Manek Urai sambil menjalankan program yang dirancangkan.

Program bengkel motosikal yang dianjurkan menerima sambutan apabila kira-kira 300 penduduk setempat keluar bersama motosikal masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan servis percuma oleh sembilan mekanik yang disediakan Pemuda BN dengan kerjasama Waziboys yang diketuai oleh bekas Juara Cubprix Kebangsaan, Wazi Abdul Hamid.

Pas turut mendekati pengundi muda apabila calonnya yang dikatakan memakai serban sejak usia 12 tahun turut sama bermain bola sepak. Pendekatan kedua-dua parti itu dilihat antara usaha memenangi hati golongan belia atau pengundi muda. Apa yang pasti, calon BN berusia 39 tahun dilihat lebih berupaya serta mudah didekati untuk membawa lebih banyak program demi membela nasib penduduk Manek Urai.

0 comments: