Kerjasama strategik KL-Canberra

Kerjasama strategik KL-Canberra


Najib Tun Razak mengiringi Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.


Persetujuan Malaysia-Australia dalam memperkukuhkan kawalan di sempadan dan kesungguhan untuk memberi perhatian dalam isu penyeludupan manusia pada 6 Julai 2009 telah membawa satu lagi kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam aspek keselamatan.

Keputusan ini berlandaskan perspektif kedua-dua negara yang bimbangkan fenomena ketidakstabilan dalaman di beberapa buah negara di rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara yang menjadikan kedua-dua negara sebagai destinasi untuk mendapatkan tempat perlindungan.

Kerjasama Malaysia-Australia dalam aspek keselamatan ini secara tidak langsung telah menggamit persoalan mengenai adakah Australia benar-benar boleh dipercayai dalam aspek keselamatan? Dan apakah kepentingan Australia kepada Malaysia dalam aspek keselamatan sehingga kini?

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang melihat hubungan Malaysia-Australia khususnya dalam aspek keselamatan sebagai satu bentuk hubungan yang 'rapuh' berdasarkan tindakan Australia yang sering mengayakan tindakannya sebagai 'polis rantau' yang mendapat mandat daripada 'polis dunia' - Amerika Syarikat (AS).

Perdebatan dan ketidakyakinan terhadap Australia timbul apabila ia dikaitkan dengan pelbagai tindakan yang sering mencetuskan 'ketidakselesaan' kepada negara jirannya. Sebagai contoh, Australia pernah menolak untuk menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Persahabatan (TAC) yang diutarakan oleh ASEAN semenjak tahun 2002. ASEAN sekali lagi mencadangkan Australia agar menandatangani TAC dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-10 di Vientiane, Laos pada Disember 2004 dan Australia masih menolak sehinggalah negara itu menyatakan hasrat untuk menandatangani TAC dengan ASEAN pada 14 April 2005.

Selain itu, keputusan bekas Perdana Menteri John Howard pada Disember 2002 yang menyatakan bahawa Australia akan mengambil tindakan pre emptive strike atau serangan awal ke atas mana-mana negara yang mengancam kepentingan nasionalnya telah menimbulkan kebimbangan kepada negara serantau dengan pengamalan doktrin yang akan menafikan kedaulatan sesebuah negara lain. Keputusan Canberra yang cuba mewujudkan zon pengawasan maritim meliputi lingkungan 1,000 batu nautika pada tahun 2004 telah menjadi isu yang menimbulkan persoalan mengenai apakah pendirian sebenar Australia terhadap negara di rantau Asia Tenggara.

Sikap Australia yang telah campur tangan dalam hal ehwal Indonesia khususnya yang berkaitan dengan masalah Timor Leste yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan adalah satu lagi isu yang sering menjadi pertimbangan dalam memperkatakan mengenai dasar Australia.

Di sini timbul persoalan apakah kepentingan Australia kepada keselamatan Malaysia? Dalam aspek ini, kepentingan Australia kepada Malaysia amat berkait rapat dengan penubuhan Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang turut dianggotai United Kingdom (UK), Australia, New Zealand dan Singapura.

Walaupun ada sesetengah pendapat yang melihat pertubuhan FPDA yang dibentuk semenjak tahun 1971 ini tidak lagi relevan selepas tamatnya Perang Dingin (1945-1991), namun Malaysia melihat FPDA sebagai satu 'aset' pertahanannya. Kepentingan dan kerelevanan FPDA sering didebatkan kerana FPDA adalah satu bentuk perjanjian persefahaman dalam pertahanan dan bukannya berbentuk pakatan pertahanan seperti mana Southeast Asia Treaty Organization (SEATO) atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Satu lagi aspek yang sering diperdebatkan adalah ancaman perluasan kuasa komunis telah tamat pada tahun 1991 dan FPDA tidak lagi relevan. Sama ada kita sedar atau tidak, FPDA masih lagi menjadi sandaran dalam sistem pertahanan Malaysia sehingga hari ini. Malah FPDA juga merupakan 'aset' pertahanan negara yang termaktub dalam Dasar Pertahanan Negara yang bertanggungjawab melindungi keselamatan Malaysia sehingga kini.

Dari perspektif Malaysia, kepentingan Australia dalam FPDA ini amat penting kerana Australia sememangnya mempunyai rekod yang baik dalam kerjasama pertahanan dan menghulurkan bantuan pertahanan kepada Malaysia semenjak tertubuhnya FPDA pada tahun 1971. Malaysia sememangnya menyedari bahawa di kalangan negara Britain, Australia dan New Zealand, Australia adalah negara yang memberi perhatian serius dalam kerjasama pertahanan.

Britian yang pada satu ketika pernah menjadi sandaran pertahanan Malaysia (Tanah Melayu) melalui pertubuhan Anglo-Malayan Defense Agreement (AMDA) pada tahun 1957 telah mencatatkan rekod yang tidak baik apabila telah menarik diri daripada tanggungjawabnya dalam perjanjian AMDA apabila kepentingannya terancam.

Walaupun Britain kembali menghulurkan tangan melalui FPDA pada 1971, namun Britain lebih mengharapkan Australia untuk mengambil berat mengenai keselamatan Malaysia dan Singapura. New Zealand pula lebih suka 'berdiam diri' dan sering akur dengan apa yang diusahakan oleh Australia.

Menyedari peranan, kemampuan dan kesungguhan Australia dalam menghulurkan bantuan pertahanan dan keselamatan, maka pada tahun 1992 kedua-dua negara telah bersetuju membentuk Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) yang bersifat kerjasama pertahanan dua hala antara negara.

Australia telah menampakkan peranan dan kesungguhan dalam FPDA berbanding Britain dan New Zealand. Ini kerana Australia sering mempunyai masalah dengan beberapa negara Asia Tenggara khususnya Indonesia. Walaupun Indonesia dan Australia merupakan negara 'sahabat' kepada AS, namun ia tidak bermakna hubungan dan perspektif antara kedua-dua negara adalah stabil.

Hubungan Indonesia-Australia seringkali turun-naik apabila ia melibatkan aspek keselamatan dan kedaulatan. Kedua-dua negara pernah terbabit dalam krisis apabila ia melibatkan soal sempadan dan campur tangan Australia dalam isu Timor Leste pada tahun 1999 sehinggakan Indonesia hilang salah satu daripada wilayahnya.

Dari perspektif Australia, Indonesia merupakan sebuah negara yang menghadapi ketidakstabilan dalaman (rough states) dan mampu mengambil tindakan di luar jangkaan. Ia juga merupakan faktor yang mempengaruhi Australia terus menyokong pertubuhan FPDA dan mengekalkan penempatan tenteranya di ibu pejabat FPDA di Butterworth, Pulau Pinang sehingga kini.

Walaupun ancaman tradisional telah pun dianggap 'tamat' pada tahun 1991 berikutan dengan keruntuhan Kesatuan Soviet, ia tidak bermakna ancaman tradisional telah tiada. Ini kerana ancaman tradisional masih ada cuma ia merupakan ancaman yang jelas atau tidak.

Ini kerana, risiko wujudnya peperangan, konflik dan krisis tetap relevan sehingga kini. Suasana ketidakstabilan politik di rantau Asia Timur dan Asia Selatan adalah perkembangan yang mampu membawa ancaman peperangan.

Di Asia Tenggara, isu-isu dua hala yang melibatkan negara serantau termasuk dengan kuasa besar China adalah satu aspek yang mampu mencetuskan konflik bersenjata sekiranya ia gagal ditangani. Ini bermakna Malaysia memerlukan sokongan dari negara luar rantau khususnya Australia bagi memastikan keselamatannya terjamin.

Kerjasama Malaysia-Australia telah diperkembangkan dengan meluaskan lagi ruang lingkup kerjasama keselamatan dalam menangani ancaman bukan konvensional khususnya keganasan. Ini kerana kedua-dua negara menyedari rantau Asia Tenggara yang diduduki satu pertiga daripada masyarakat muslim dunia mempunyai risiko berkembangnya masalah pengganas seperti Al-Qaeda, Jemaah Islamiah, MILF, MNLF, Kumpulan Abu Sayaf, Daulah Islamiyah, Kumpulan Militan Malaysia dan sebagainya.

Justeru pada 2 Ogos 2002, Malaysia dan Australia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memerangi keganasan antarabangsa secara bersama. Ia adalah seiring dengan keperluan Malaysia yang turut diancam dengan ancaman pengganas. Dalam menghadapi masalah ini, Malaysia sememangnya memerlukan kerjasama dengan Australia dan negara anggota FPDA yang lain bagi mendapatkan latihan, kepakaran teknikal dan pertukaran maklumat perisikan yang akhirnya mampu menjamin kestabilan dan keamanan negara.

Kesediaan Australia untuk menerima pandangan negara anggota FPDA khususnya Malaysia dapat dilihat apabila Australia bersama semua negara anggota telah bersetuju untuk tidak melancarkan serangan awal antara satu sama lain pada 2 Jun 2003.

Isu ini timbul apabila bekas Perdana Menteri Australia, John Horward pada Disember 2002 telah menyatakan untuk mengambil tindakan serangan awal ke atas mana-mana negara sekiranya kepentingannya terancam. Pendirian Australia ini telah menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan negara anggota khususnya Malaysia yang mana berpendapat sekiranya negara anggota bersetuju dengan pendirian ini, maka ia diibarat telah memperjudikan kedaulatan negara sendiri.

Isu ini telah ditentang dengan lantang oleh Malaysia yang akhirnya Australia telah berjanji tidak akan mengambil tindakan ini ke atas negara anggota.

Ancaman lanun yang semakin berkembang khususnya yang mengancam keselamatan 50,000 buah kapal perdagangan yang melalui perairan Selat Melaka turut mendapat perhatian negara anggota FPDA. Dalam isu ini, AS telah cuba menempatkan tenteranya di perairan Selat Melaka dengan alasan bagi menghapuskan pengganas dan pelanunan, namun cadangan ini telah ditentang oleh Malaysia.

Kuala Lumpur berpendirian untuk mengambil inisiatif sendiri daripada membenarkan kemasukan kuasa asing ke Selat Melaka dan telah mencadangkan FPDA untuk mengambil tempat bagi menangani isu ini. Cadangan ini telah dipersetujui oleh kesemua negara anggota FPDA pada 8 Jun 2004 dan Australia amat menyokong cadangan yang diutarakan oleh Malaysia.

Sehingga kini, kepentingan Australia kepada Malaysia dalam aspek keselamatan dilihat masih lagi relevan dan amat diperlukan. Walaupun hubungan dan kerjasama Malaysia-Australia dilihat bersifat kebergantungan, namun ia masih tertakluk kepada sejauh mana kesediaan kedua-dua negara untuk saling menghormati antara satu sama lain.

Ini bermakna keakraban kerjasama keselamatan kedua-dua negara perlu dipelihara dan ia mampu runtuh sekiranya wujudnya unsur campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara masing-masing.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

0 comments: