Bukan senang jadi pemerintah adil

Bukan senang jadi pemerintah adil

PILIHAN Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sungguh istimewa sekali. Selain dari nama calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Bin Tuan Mat @ Hamat yang mirip nama Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pilihan raya ini dilihat sebagai medan untuk UMNO yang mengetuai BN dan Pas yang berada dalam pakatan pembangkang membuktikan bahawa mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk orang Melayu dan Islam.

Kemenangan besar Pas di Kelantan Darul Naim semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dilihat sebagai sebahagian 'tsunami' politik yang turut melanda Perak (kini kembali kepada BN), Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Namun tsunami telah pun reda dan selepas lebih setahun memerintah, Pas dan sekutunya turut dilanda fenomena yang dilihat sebagai bulan madu telah berakhir dan bahang sebagai pemerintah dirasai oleh kepimpinan negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Isu Kampung Buah Pala, Pulau Pinang yang didiami oleh 300 orang penduduk perlu dilihat oleh rakyat sebagai suatu kes yang menggambarkan bagaimana corak pemerintahan pakatan pembangkang.

Menuding jari kepada pihak lain dan mengharapkan pihak lain juga untuk menyelesaikannya adalah satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh rakyat terutama pihak yang terjejas.

Menjadi ketua kepada sebuah kerajaan bukanlah semudah menjadi pembangkang. Mungkin di Parlimen kita enak menjadi pembangkang tetapi di DUN giliran kita pula bersembunyi di dalam rumah kaca.

Kerajaan BN telah lebih separuh abad menghadapi fenomena sedemikian dan amat berpengalaman dalam soal menghadapi bantahan penduduk yang tanah mereka diambil semata-mata untuk memajukan majoriti penduduk yang lain dan memakmurkan ekonomi negeri dan negara.

Soal tanah yang termaktub di dalam Kanun Tanah Negara 1965 adalah di bawah pentadbiran kerajaan negeri. Begitu juga di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan secara terang dan jelas hanya kerajaan negeri yang mempunyai mandat untuk menguruskan tanah mereka di bawah konsep pemecahan kuasa dan Persekutuan. Mungkin peguam handalan dalam PKR dan DAP dapat menerangkan kepada Ketua Menteri.

Dalam membicarakan tuntutan pemaju dan rakyat, kebiasaannya kerajaan negeri berada dalam situasi dilema. Pembangunan adalah dituntut, dalam masa yang sama hati pengundi harus dijaga. Namun sebagai kerajaan, keputusan yang bijak adalah situasi menang-menang dan dalam situasi ini hanya yang ikhlas berjuang dan mencari jalan akan sampai ke destinasi yang diinginkan. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

Sesungguhnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini perlu mengambil contoh transformasi Kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak yang bukan dibentuk dalam sehari. Dalam suasana kempen di Manek Urai, rakyat yang mengundi perlu sedar bahawa untuk memerintah sebuah negara atau negeri yang majmuk dan penuh berwarna-warni seperti Malaysia memerlukan pendekatan ke arah musyawarah dan perpaduan yang tulen dan adil.

Dilema Pas dan UMNO yang majoritinya orang Melayu dan beragama Islam, ada kala dilihat perlu berubah dalam setiap tindak-tanduk demi perpaduan mereka dengan pihak-pihak lain. Inilah yang perlu dijadikan contoh dan dimengertikan.

Manek Urai sesungguhnya pilihan raya yang menjadi hala tuju hubungan perpaduan Pas dan UMNO pada masa depan.

Menang atau kalah pengundi tetap majoritinya Melayu dan Islam maka berkempen janganlah sampai menyerang peribadi calon. Apa yang penting bukan kemenangan yang hakiki menjadi buruan kerana sudah pasti ada yang kalah sebagai adat bertanding.

Pengundi di Manek Urai wajar menganalisis situasi semasa-siapa yang mampu memerintah dan mentadbir secara kolektif dan siapa yang bersikap enau di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing asalkan dia dapat menjulang tinggi tanpa mempedulikan nasib orang di bawah.

Buktikan kuasa satu undi yang mampu mengubah nasib anda. Anda juga mampu melakukan transformasi.

ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor

0 comments: