Minda Pengarang: Isu memperdagangkan manusia perlu tindakan bersama negara serantau

Minda Pengarang: Isu memperdagangkan manusia perlu tindakan bersama negara serantau

TIADA negara mahu terbabit dalam kancah menjual dan memperdagangkan manusia kerana ia akan dipandang jijik dan bertentangan dengan hak kebebasan manusia. Namun, di negara tertentu, kegiatan penyeludupan manusia tetap berlaku. Disebabkan kedudukan geografi dan kemakmuran ekonomi yang menjadi tumpuan rakyat asing, Malaysia menjadi mangsa keadaan. Negara ini dijadikan transit kegiatan haram itu. Malaysia sudah sekian lama menjadi destinasi pendatang dari Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam, Myanmar, China, India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Afrika dan banyak lagi untuk mencari rezeki. Keadaan ini menyebabkan Malaysia terdedah kepada kegiatan penyeludupan manusia oleh sindiket antarabangsa. Baru-baru ini, Amerika Syarikat dalam laporan Pemerdagangan Manusia 2009 meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 17 negara yang mempunyai rekod buruk dalam kegiatan pemerdagangan manusia. Laporan itu menyatakan, walaupun Malaysia menguatkuasakan Akta Antipemerdagangan Orang 2007, penguatkuasaannya dilihat terhad bagi kes pelacuran, manakala kes pemerdagangan manusia dalam sektor pekerjaan dan isu pelarian Myanmar yang didakwa diperdagangkan ke Thailand dikatakan tidak diberi perhatian. Bagaimanapun, kerajaan tidak berdiam diri dan berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah ini melalui kerjasama dengan beberapa negara lain. Terbaru ialah persetujuan Malaysia dan Australia memantapkan kerjasama bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia antara kedua-dua negara, terutama dalam aspek pencegahan awal dan perkongsian maklumat risikan yang lebih kerap.

Perkara itu adalah antara yang dibincang dan dipersetujui dalam pertemuan antara Datuk Seri Najib Razak dengan rakan sejawatnya dari Australia, Kevin Rudd, di Putrajaya, kelmarin. Susulan itu, ketua pasukan keselamatan kedua-dua negara akan mengadakan perbincangan untuk mencari kaedah lebih baik mencegah kegiatan terbabit, termasuk meningkatkan keberkesanan operasi dan pemantauan yang lebih berkesan. Kuala Lumpur sudah memberi jaminan kepada Canberra bahawa Malaysia akan melakukan yang terbaik untuk menyekat kemasukan pendatang tanpa izin ke negara berkenaan dari sini. Isu kebanjiran pendatang tanpa izin menjadi kebimbangan Australia sejak kebelakangan ini kerana ramai pendatang dari Afghanistan, Iran, Iraq, Pakistan dan Sri Lanka dikatakan masuk ke negara itu dengan menggunakan Malaysia sebagai pangkalan permulaan bagi laluan jalan laut menerusi Indonesia. Laporan menyebut Australia sudah memintas dan menahan 15 bot pendatang tanpa izin baru-baru ini, manakala Malaysia menahan lebih 100 pendatang di perairan negara dan sesetengah kegiatan itu dikesan selepas bot yang membawa mereka karam di perairan negara. Apa pun, kita berharap semua negara bekerjasama terutama negara jiran seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia termasuk bertukar maklumat risikan serta rondaan lebih ketat di perairan masing-masing bagi mengekang kegiatan penyeludupan manusia itu.

0 comments: