Seri Melayu rai ibu bapa

Seri Melayu rai ibu bapa

Aktiviti tahunan Restoran Seri Melayu ini berjaya menarik seramai 400 orang tetamu.



PEMENANG anugerah yang disediakan pihak penganjur bergambar bersama keluarga masing-masing.


DENGAN tema 'Kasih Sayangmu Sesuci Salju', sambutan Hari Ibu dan Bapa yang dianjurkan di Restoran Seri Melayu secara serentak pada 16 Mei lalu berlangsung penuh meriah.

Majlis yang bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 3 petang itu, turut dihangatkan dengan persembahan jenaka Nabil dari Raja Lawak 2 dan nyanyian bertenaga oleh Ramlah Ram yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku.

Acara ini merupakan aktiviti tahunan Restoran Seri Melayu Sdn. Bhd. yang terkenal dengan sajian masakan Melayu Asli serta seni bina gabungan istana Kesultanan Melaka dan Perak.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Seri Melayu, Rosli Rahmat, aktiviti itu bertujuan meraikan ibu bapa serta ahli keluarga, selain mendekati pengunjung setia di Restoran Seri Melayu.

"Majlis seumpama ini merupakan salah satu tanggungjawab korporat Restoran Seri Melayu Sdn. Bhd., untuk bersama-sama berganding bahu menjayakan misi kerajaan bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang prihatin kepada nilai-nilai murni.

"Oleh itu, kami tidak mahu ketinggalan untuk meraikan insan paling istimewa iaitu ibu dan bapa sempena sambutan yang jatuh pada bulan Mei dan Jun pada setiap tahun," kata Rosli.

Pada majlis tersebut, seramai 400 tetamu hadir yang terdiri daripada ahli keluarga dan ibu bapa untuk sama-sama memeriahkan suasana sambutan kali ini.

Selain persembahan Nabil dan Ramlah Ram, pihak penganjur juga tidak ketinggalan membawakan Kumpulan Penari Canggong Production yang mempamerkan tarian selamat datang serta joget sebagai acara pembuka tirai majlis berkenaan.

Semua tetamu yang hadir turut menerima beg cenderahati berisi barangan tajaan AmBank (M) Berhad, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Nestle, produk kesihatan Rainforest Herbs dan baucer diskaun dari Kumpulan Syarikat Seri Melayu dan Lovee Boutique.

Sepanjang majlis berlangsung, tetamu dihidangkan dengan lebih 250 sajian enak secara bufet. Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan untuk 50 pemenang yang terdiri daripada barangan elektrik, tiket percutian, baucer, penginapan, hamper dan jam tangan.


GELAGAT dan telatah Nabil melayan para ibu dan anak-anak menggamatkan suasana pada majlis tersebut.


Malah, penaja utama Hafiz Jewel turut menaja tiga hadiah cabutan bertuah utama yang keseluruhannya bernilai RM5,800.

"Di samping aktiviti yang diadakan di dalam restoran, kami juga mengadakan aktiviti Halaman Buzz-R yang mana seramai 30 peniaga turut serta dalam perniagaan pasar lambak dan bazar jualan. Antara barangan yang dijual termasuklah pakaian, aksesori, kuih-muih Melayu tradisional, hasil kraftangan dan sebagainya," jelas Rosli lagi.

Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak penganjur turut menyediakan dua anugerah dan dua hadiah khas untuk ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut.

Untuk kategori Anugerah Ibu RSM 2009, ia dimenangi oleh Umay Isa yang berusia 78 tahun manakala Anugerah Bapa RSM 2009 menjadi milik Mohd. Yusuf Yaacob, 82. Masing-masing membawa pulang hadiah selempang songket bertatahkan kerongsang, sebentuk cincin permata berlian bernilai RM3,200, seutas jam tangan Roscani, baucer penginapan di The Pulai Desaru Beach Resort, hamper Rainforest Herbs dan jambangan bunga segar.


SEBAHAGIAN tetamu yang menghadiri majlis Sambutan Hari Ibu Bapa anjuran Restoran Seri Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Hadiah khas ibu bapa dengan kehadiran anak paling ramai pula, dirangkul oleh pasangan Jaharah Baset dan Mansor Haron iaitu seramai 12 orang.

Hadiah khas turut diberikan kepada keluarga berpakaian sedondon iaitu Rizal dan keluarganya yang memakai pakaian berwarna hijau. Pemenang kategori hadiah khas ini, menerima sepasang jam tangan Roscani bernilai RM996, baucer penginapan di The Heritage Station Hotel, hamper dan jambangan bunga segar.

0 comments: