Pengaruh video: Seks seawal usia 14 tahun

Pengaruh video: Seks seawal usia 14 tahun

INTAN, 16, (bukan nama sebenar) mengenali permainan video berunsur seks sejak berumur 12 tahun yang kemudian membawa kepada pengalaman melakukan sendiri hubungan jenis pada usia 14 tahun.

Dia mengetahui permainan video itu melalui rakan-rakan sebayanya.

"Biasanya saya main permainan video ini di kafe siber bersama kawan-kawan.

"Saya sanggup habiskan masa selama tiga hingga empat jam di kafe siber bermain permainan tersebut dengan melayari Internet," katanya.

Malah Intan turut mengakui melalui permainan itu dia mula mengenali seks walaupun tidak memahami secara jelas peranan dan fungsinya.

Ditanya sama ada dia mengetahui perbuatannya bermain video berunsur seks itu salah atau tidak, Intan berkata, pada ketika itu dia tidak menganggap permainan tersebut salah dan menganggap ia hanya untuk keseronokan.

Daripada hanya mengenalinya melalui sebuah permainan, ia bertukar kepada perasaan ingin tahu dan mula melakukan perhubungan seks seawal usia 14 tahun.

"Saya melakukan hubungan seks pertama kali dalam hidup saya ketika tingkatan dua bersama teman lelaki saya yang berusia 17 tahun.

"Memanglah, saya tak nafikan ini banyak dipengaruhi oleh permainan video seks terutama melalui Internet," katanya.

Erin, 18, (bukan nama sebenar) tidak sempat menghabiskan dunia persekolahannya akibat teruja dengan kehidupan bebas semenjak berusia 13 tahun.

Pada usia semuda itu, Erin belajar mengunjungi kelab malam di ibu negara dan berjinak-jinak dengan minuman alkohol.

Ekoran keghairahan Erin mengejar keseronokan hidup, dia mula melupakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dan berhenti sekolah ketika berada di tingkatan 4.

"Selepas berhenti sekolah, saya tinggal dengan kawan-kawan sekerja.

"Di sana saya mula mengenali permainan video seks melalui Play Station 2 yang kerap dimainkan oleh kawan-kawan selepas pulang dari tempat kerja.

"Walaupun saya sekadar memerhati namun selepas mereka selesai bermain, pasti akan ada aktiviti seks dilakukan oleh kawan saya yang kerap membawa pulang teman lelaki ke rumah sewa kami," ujarnya.

Erin mengakui rakan-rakannya menjadi ketagih dengan permainan tersebut dan gagal mengawal nafsu lalu mendorong mereka melakukan aktiviti seks.

Maria, 19, (bukan nama sebenar) merupakan seorang bekas penuntut institusi pengajian tinggi awam.

Dia dibuang daripada kolej setelah perbuatan seksnya yang dirakam oleh seorang teman melalui kamera telefon bimbit tersebar sehingga ke pengetahuan pihak pengurusan kolej.

Maria berkata, dia mula mengenali seks seawal usia 13 tahun apabila terjumpa video cakera padat (VCD) porno di dalam bilik bapanya.

"Tanpa pengetahuan papa, saya curi-curi tengok VCD itu di dalam bilik sewaktu dia keluar bekerja.

"Sejak itu, minat saya terhadap seks semakin bertambah dan selain menonton VCD lucah, saya juga gemar permainan hentai iaitu permainan animasi Jepun berunsur pornografi dengan melayari Internet," katanya.

Maria juga mengakui akibat perceraian kedua orang tuanya, dia semakin berani berkelakuan liar dan mula melakukan seks ketika berumur 14 tahun.

0 comments: