Had subjek SPM tak pinggir pelajar aliran agama

Had subjek SPM tak pinggir pelajar aliran agama

LANGKAH kerajaan mengehadkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengambil hanya 10 mata pelajaran adalah wajar meskipun sesetengah pihak berbeza pendapat terutama berkaitan nasib pelajar aliran agama. Namun, majoriti termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyambut baik langkah itu bagi memastikan pelajar lebih bijak mengimbangi waktu untuk tujuan akademik serta sosial dan bukan hanya fokus kepada pelajaran semata-mata. Malah, langkah itu dianggap sebagai satu transformasi pendidikan secara menyeluruh untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum setiap pelajar. Ini kerana mengehadkan mata pelajaran akan memberi lebih banyak masa kepada pelajar untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran selain menceburi aktiviti lain. Ini selaras dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji kegiatan kokurikulum bagi menarik lebih ramai pelajar menyertai sukan dalam melahirkan pelajar cemerlang dalam semua aspek. Ia juga dapat mengelakkan pertindihan jadual ketika peperiksaan serta pembaziran wang kerana ibu bapa perlu menghantar anak mereka ke kelas tuisyen sekiranya mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran. Tahun lalu, 48,000 pelajar atau kira-kira 10 peratus daripada 500,000 calon SPM mengambil lebih 10 subjek, tetapi kita percaya angka ini menjadi lebih kecil jika mengambil kira calon yang mengambil lebih 15 mata pelajaran.

Namun, di sebalik pengumuman Kementerian Pelajaran itu, ada juga yang melahirkan kebimbangan kemungkinan pelajar sekolah aliran agama terpinggir dalam jangka masa panjang terutama pelajar yang turut meminati bidang sains. Contohnya, seseorang calon mesti mengambil enam subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains. Dengan mengehadkan 10 subjek, seseorang calon hanya boleh mengambil empat lagi subjek iaitu Bahasa Arab Tinggi, Tasawwur Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunah serta Pendidikan Syariah Islam. Ini bermakna, calon terbabit tidak lagi dapat mengambil subjek seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Ada yang berpendapat, langkah mengehadkan subjek itu bagaikan menyekat kebebasan individu yang berminat menggabungkan ilmu agama dan sains. Perkembangan ini dikatakan sudah berlaku di sekolah aliran agama apabila ramai calon mengambil lebih 15 mata pelajaran dengan menggabungkan subjek teras, agama dan sains. Kita sependapat dalam perkara ini dan harus dilihat semula oleh Kementerian Pelajaran kerana sains mampu menghuraikan inti pati yang terkandung dalam al-Quran. Asas pemahaman sains mesti dibentuk daripada awal, bukan menyekatnya pada peringkat awal. Jika pemisahan ini berlaku, pelajar Islam akan ketinggalan berbanding pelajar lain. Bagaimanapun seperti dijelaskan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, langkah mengehadkan subjek itu bertujuan membolehkan calon SPM dalam semua aliran pendidikan termasuk agama membuat lebih banyak pemilihan mata pelajaran elektif mengikut keperluan bidang pengkhususan dan minat masing-masing. Ini bermakna, calon terbabit masih berpeluang mengambil beberapa subjek elektif lain yang diminati tanpa perlu ‘mengorbankan’ pemilihan mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka.

0 comments: