Tradisi konflik Asia Timur

Tradisi konflik Asia Timur


Siaran televisyen di dalam kereta api bawah tanah di Seoul menyiarkan laporan mengenai ujian nuklear Korea Utara pada 25 Mei lalu.


Sejak kebelakangan ini, banyak inisiatif diambil untuk mengurangkan konflik yang berlaku di rantau Asia Timur (yang melibatkan China, Korea Utara, Korea Selatan, Jepun dan entiti Taiwan yang wujud sebagai sebuah kerajaan).

Ini kerana, sejak tamatnya Perang Dingin, didapati rantau ini menjadi pusat utama konflik ketenteraan yang dianggap mampu mengancam kestabilan antarabangsa.

Ujian peluru berpandu yang dijalankan oleh Korea Utara pada tahun 1998, 2006 dan 2009 serta ujian nuklear pada 2006 merupakan antara contoh besar yang memperlihatkan kepada dunia bahawa rantau ini berada di ambang krisis.

Lebih menggemparkan apabila beberapa hari lepas Korea Utara sekali lagi mengumumkan bahawa ia berjaya menjalankan ujian nuklear bawah tanah yang dilihat bakal mencetuskan krisis di rantau tersebut apabila negara-negara seperti Korea Selatan dan Jepun serta Amerika Syarikat (AS) melihatnya sebagai ancaman utama kepada negara tersebut.

Keadaan ini pastinya mengundang dilema keselamatan yang pastinya akan membawa kepada perlumbaan senjata dan seterusnya mengekalkan tradisi berkonflik di rantau ini.

Beberapa usaha telah diambil sama ada oleh kuasa-kuasa besar seperti AS, Rusia dan juga negara-negara Eropah untuk mengatasi masalah ini.

Ini dapat dilihat melalui pewujudan Rundingan Enam Hala dan penubuhan Rundingan Asia-Eropah (ASEM). Selain itu, negara-negara ASEAN turut mengambil inisiatif mengurangkan masalah ini melalui platform Forum Serantau ASEAN (ARF) dan juga Sidang Kemuncak Asia Timur dengan harapan segala isu yang berlaku ini dapat dibawa ke meja rundingan.

Usaha-usaha membawa keamanan ini merupakan satu usaha murni negara-negara di dunia bagi membawa keamanan yang berkekalan di rantau ini.

Walaupun usaha-usaha ini telah dan sedang berjalan, perlu diingat bahawa keamanan di rantau itu pastinya mengambil satu jangka masa yang panjang untuk dicapai.

Oleh itu, bagi penulis dalam mencapai matlamat keamanan yang diusahakan selama ini, masyarakat antarabangsa perlu terlebih dahulu memahami ciri-ciri dan tradisi konflik yang wujud di rantau ini sejak lama dahulu sehinggalah ke hari ini.

Dengan memahami tradisi ini, maka usaha-usaha ini diharapkan akan dapat mencari jalan menyelesaikan masalah yang berlaku di rantau ini. Antara ciri dan tradisi berkonflik mewarnai sistem politik antarabangsa di Asia Timur sehingga ke hari ini adalah seperti berikut;

Pertama, ketiadaan satu sistem keselamatan yang bersifat menyeluruh kecuali perjanjian dua hala (bilateral) yang ditandatangani di antara negara-negara yang terbabit dan bersifat Collective Defence (berbeza dengan pendekatan Collective Security yang digunapakai dalam konteks Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Ini dapat dilihat melalui pakatan ketenteraan yang wujud di antara Amerika-Korea Selatan, Amerika-Jepun, Korea Utara-Soviet dan sebagainya.

Melalui pakatan-pakatan ketenteraan yang bersifat Collective Defence ini, ia melihat ancaman daripada pihak lain tetap wujud dan oleh itu setiap pakatan akan berusaha meningkatkan kemampuan ketenteraan mereka.

Di samping itu, perlu juga diakui bahawa walaupun terdapat kerjasama yang bersifat multilateral di rantau ini, namun ia bersifat sementara dan hanya diwujudkan sekiranya terdapat isu-isu yang berbangkit.

Contoh yang paling utama kepada hal ini adalah penubuhan Rundingan Enam Hala yang melibatkan negara-negara seperti Korea Utara, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia dan AS bersabit dengan isu yang berlaku di Semenanjung Korea.

Kedua, rantau ini mempunyai sejarah konflik yang panjang terutamanya berkait dengan hubungan China-Jepun, China-Taiwan, Korea Utara-Korea Selatan dan sebagainya yang setiap satunya mempunyai sejarah hitam yang mampu mengundang masalah yang besar.

Hubungan yang berkonflik ini dicirikan oleh beberapa isu besar misalnya isu Perang Dunia Kedua, pertikaian pulau-pulau, interpretasi sejarah dan sebagainya yang bertambah memburukkan keadaan.

Hasilnya setiap negara menganggap bahawa negara lain sebagai musuh yang paling utama dan mampu menggugat kestabilan negara mereka. Akibat daripada persepsi ini, China dan Jepun misalnya hanya menandatangani Perjanjian Damai di antara kedua-duanya pada awal tahun 1970-an walhal kesemua negara telah menandatangani perjanjian keamanan akibat Perang Dunia Kedua pada tahun-tahun 1950-an.

Ketiga, wujud dua buah negara kuasa ketenteraan darat iaitu China dan Rusia dan dua kuasa ketenteraan laut iaitu Jepun dan AS di Asia Timur yang bertambah menyukarkan kepada kerjasama.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kuasa-kuasa yang bersaing dan mempunyai kelebihan masing-masing ini sering mengadakan latihan ketenteraan yang dilihat oleh negara-negara lain sebagai mencabar kemampuan ketenteraan mereka.

Latihan ketenteraan Amerika-Jepun dan Amerika-Korea Selatan misalnya yang hampir diadakan setiap tahun merupakan contoh kepada hal ini. Selain itu, China dan Rusia juga telah beberapa kali menjalankan latihan ketenteraan misalnya pada tahun 2005.

Walaupun, isu latihan ketenteraan ini dianggap sebagai isu kecil, namun ia perlu dilihat berhati-hati kerana ia mampu mengundang persepsi 'ancaman' oleh negara lain.

Keempat, wujudnya negara-negara komunis iaitu China dan Korea Utara yang mempunyai pengaruh yang kuat di rantau ini dan secara tidak langsung meneruskan tradisi Perang Dingin yang telah tamat di seluruh dunia.

Malahan tradisi berkonflik yang berlaku semasa Perang Dingin masih berterusan di rantau ini dan menjadi bertambah buruk apabila sering berlaku provokasi antara negara. Contoh yang jelas adalah pencerobohan kapal selam Korea Utara di Korea Selatan dan pencerobohan kapal selam China berhampiran Okinawa, Jepun.

Begitu juga halnya apabila negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan sering melakukan aktiviti provokasi ke atas negara komunis ini menjadikan hubungan bertambah tegang.

Kelima, kehadiran AS di negara-negara ini bertambah merumitkan keadaan. Penempatan ketenteraan AS di Jepun kira-kira 42,000 orang dan di Korea Selatan seramai 36,000 orang merupakan satu masalah besar yang bertambah merumitkan keadaan.

Ini kerana, penempatan itu dilihat oleh China dan Korea Utara (serta Rusia) sebagai usaha permusuhan oleh pihak AS di rantau ini. Bukan setakat itu, AS masih menempatkan Armada Ketujuh (armada terbesar AS di Lautan Pasifik) di rantau ini.

Tindakan ini dilihat oleh negara-negara lain terutamanya China sebagai usaha untuk mengekang pengaruhnya di rantau tersebut. Persepsi China ini mungkin benar berdasarkan kepada krisis Selat Taiwan 1995/96 serta tindakan AS meletakkan Armada Ketujuh di Selat Taiwan.

Keenam, tidak terdapat satu perjanjian damai yang wujud di antara Korea Utara dan Korea Selatan lanjutan daripada Perang Korea yang berlaku pada tahun 1950-1953.

Apa yang wujud hanyalah perjanjian gencatan senjata (yang ditandatangani antara Korea Utara dan AS dan bukannya oleh Korea Selatan) dan pewujudan Zon Bukan Tentera (Demilitarized Zone) yang membahagikan kedua-dua buah negara ini di garisan Garis Lintang 38 Selari.

Ini menyebabkan hubungan kedua-dua buah negara ini dianggap sangat rapu dan boleh membawa kepada peperangan pada bila-bila masa sahaja.

Ketujuh trend pembangunan dan perlumbaan senjata yang berterusan di rantau ini bertambah memburukkan keadaan. Tamatnya Perang Dingin menyaksikan negara-negara di dunia berusaha mengurangkan bilangan senjata mereka.

Namun keadaan ini berbeza dengan situasi yang berlaku di rantau Asia Timur apabila kesemua negara menjadi pembeli senjata yang utama di dunia.

Pendekatan yang konsisten dan berterusan merupakan jawapan kepada permasalahan yang berlaku di rantau. Namun, penulis tidak berniat memperlekehkan usaha-usaha yang diambil oleh kuasa-kuasa besar cuma yang menjadi masalah ialah sikap kuasa-kuasa besar yang mementingkan diri menjadi halangan paling besar untuk mencapai matlamat ini.

Malahan salah satu alasan utama ujian nuklear Korea Utara baru-baru ini kerana sikap AS dalam isu Korea. Dalam hal ini, penulis melihat walaupun pendekatan ASEAN terutamanya melalui ARF misalnya sering dianggap sebagai talk shop oleh sesetengah pihak, namun ia merupakan usaha yang penulis rasakan paling sesuai dalam konteks semasa.

Kenyataan Hashim Djalal, sarjana undang-undang tersohor di Indonesia mengenai pertikaian di Kepulauan Spratly yang menyebut selagi negara-negara ini sedia duduk dan berunding, semua masalah akan dapat diselesaikan.

Bagi penulis, mungkin ada benarnya kenyataan Hashim Djalal ini dalam konteks pendekatan ASEAN dalam usaha menangani masalah yang berlaku di Asia Timur melalui pendekatan ARF ataupun melalui kerangka ekonomi seperti ASEAN + 3 dan sebagainya.

Penulis ialah Pensyarah, Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah.

0 comments: