Terkenang yang tulus, yang kudus

Terkenang yang tulus, yang kudus

Saranan Salleh

ANTARA detik-detik sejarah yang tidak dapat saya lupakan ialah keruntuhan saham syarikat Pan Electric yang diperdagangkan di kedua-dua bursa saham Kuala Lumpur dan Singapura pada 1985.

Keruntuhan yang membawa bersamanya beberapa anak syarikat lain ialah milik bekas Presiden MCA ketika itu, Tan Koon Swan. Sebab utama kejatuhan itu ialah suatu skim yang dipanggil "kontrak hadapan" iaitu penjualan saham pada jangka masa di hadapan pada harga yang ditetapkan hari ini dan apabila harga itu tidak tercapai, saham syarikat itu jatuh seperti domino.

Jawatankuasa Bursa Saham memanggil Koon Swan. Saya tidak boleh lupa rayuannya kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa tersebut. Kejatuhan itulah titik permulaan kejatuhan politiknya juga.

Ketika itu, kedua-dua bursa saham tidak ada sistem amaran awal yang boleh mengesan sebarang salah laku di pasaran.

Selepas itu bukan sahaja kedua-dua bursa menubuhkan Jabatan Amaran Awal malah Akta Perindustrian Sekuriti dimuatkan dengan peruntukan tambahan 87A yang mengharamkan kontrak hadapan.

Suatu lagi sejarah yang sukar dilupakan ialah apabila kesemua Ahli Jawatankuasa Bursa Saham yang dipengerusikan oleh Datuk Nik Din Datuk Nik Yusof sekitar 1995, dipecat oleh Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Nik Din berehat di rumahnya di Perth, Australia ketika itu. Semua AJK tersebut tidak tahu kenapa mereka dipecat dan masing-masing segan hendak bertanya sebabnya kepada menteri berkenaan.

Saya berkali-kali menyuruh AJK tersebut bertanyakan Daim sebab mereka dipecat.

Majalah Far Eastern Economic Review yang gemar menerbitkan rencana menghentam Malaysia, menulis tentang pembuangan tersebut dengan kata-kata sindiran pedas.

Saya memberanikan diri untuk bertemu menteri dan mengajak kesemua AJK kecuali Pengerusi kerana bercuti, ikut sama. Menteri bersetuju berjumpa kami.

Saya memulakan pertanyaan dengan menyatakan kedatangan kami bukanlah untuk mempersoalkan keputusannya tetapi ingin tahu kenapa diberhentikan. Menteri mengatakan yang cadangan beliau untuk menyusun semula struktur keahlian AJK tersebut tidak dipedulikan.

Saya membalas dengan mengatakan yang cadangan bursa sudah dihantar kepada Setiausaha Jawatankuasa Terbitan Modal beberapa bulan sebelum itu.

Ketika itu, Tan Sri Sheriff Kasim ialah wakil Kementerian Kewangan di dalam Jawatankuasa Bursa Saham dan beliau menyokong kata-kata saya. Apa lagi, Setiausaha Jawatankuasa Terbitan Modal yang hadir di pertemuan tersebut terus pucat lesi.

Menteri berpuas hati yang perkara tersebut bukanlah salah AJK Bursa. Tidak lama selepas pertemuan itu menteri pun melantik semula kesemua AJK berkenaan.

Saya kurang pasti sama ada Pengerusi sedar siapa yang mengembalikan maruah AJK tersebut kerana beliau tidak berkata apa-apa kepada saya tentang perkara itu.

Saya juga pernah dituduh mempersoalkan kuasa Pengerusi dan digantung tugas selama seminggu untuk disiasat oleh HRM, sebuah syarikat perunding, sama ada saya melanggar sebarang peruntukkan huraian tugas saya.

Siasatan mendapati tidak ada unsur-unsur pencabulan atau pelanggaran, sesuatu yang dilakukan semata-mata hendak memburukkan nama saya.

Saya juga pernah menerima satu surat yang kandungannya akan mengejutkan sesiapa sahaja dengan tuduhan yang tidak berasas dan kata-kata yang tidak wajar diluahkan. Surat itu saya simpan sehingga kini sebagai kenang-kenangan. Surat itu saya anggap sebagai "politik korporat".

Walaupun jelas ada masa-masanya hubungan saya dengan Pengerusi agak tegang, ia tidak menjejaskan perkembangan Bursa Saham. Saya lihat kembali segala-galanya dan saya mencapai keputusan yang pendekatannya dengan saya ada perbezaan walaupun hala tujunya ada persamaan.

Sejak mula Bursa Saham dibentuk sebagai syarikat tanpa modal menurut jaminan dan badan utamanya ialah jawatankuasa dan bukan lembaga pengarah. AJKnya terdiri daripada broker saham yang dipilih semasa mesyuarat agungnya. Ia bergerak seperti sebuah kelab eksklusif sehingga Kementerian Kewangan memasukkan wakil-wakilnya.

Di awal penstrukturan jawatankuasa itu, Tan Sri Ramon Navaratnam yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Kewangan menjadi wakil kementerian.

Saya juga ingat Tunku Naquiddin Tuanku Ja'afar dan Datuk Munir Majid (sekarang Tan Sri) pernah menjadi wakil-wakil bebas dilantik oleh menteri. Munir kemudian dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti. Tan Sri Sherif Kassim juga pernah menjadi wakil kementerian.

Satu perkara yang saya amat terkilan ialah apabila cadangan - sekitar 1994 - untuk melakukan usaha sama dengan Bloomberg, sebuah syarikat penyebar maklumat kewangan antarabangsa, ditolak oleh Jawatankuasa Bursa Saham.

Bloomberg ketika itu baru sahaja mula bertapak dan ingin melebarkan sayap mereka.

Saya memikirkan satu-satunya usaha sama dalam bentuk penyebaran maklumat kita kepada pelanggan mereka yang terdiri daripada pengurus dana, penganalisis dan pengamal industri sekuriti dunia akan memberikan pendedahan yang meluas kepada pasaran kita. Mereka tentu sekali akan "menjual" pasaran kita kepada beratus-ratus ribu pelanggan mereka di seluruh dunia dan semakin bertambah.

Pemiliknya, Michael Bloomberg yang kini Datuk Bandar New York sendiri datang berjumpa saya untuk menyokong penubuhan usaha sama tersebut. Beliau begitu teruja dengan cadangan tersebut.

Malangnya pihak AJK menganggap usaha itu akan merompak perniagaan mereka. Bayangkanlah kalau hari ini kita ada usaha sama dengan Bloomberg, satu-satunya syarikat penyampai maklumat pasaran terkenal, mempunyai stesen televisyen sendiri. Pasaran saham kita tentu sekali akan lebih bertenaga.

DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

0 comments: