Singapura didakwa gagal sanggah kes

SINGAPURA yang menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, gagal menyanggah kes yang dibawa Malaysia selepas tamat perbicaraan pusingan pertama di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), semalam.

Peguam Malaysia, Prof James Crawford, berhujah Singapura gagal membezakan tuntutan mereka dalam kes negara itu minggu lalu, melainkan mahkamah diberitahu dengan panjang lebar mengenai bagaimana membina dan mengurus rumah api.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia berjaya merumuskan dua persoalan mengenai kedudukan pulau itu, iaitu jika Pulau Batu Puteh mempunyai tuan iaitu Sultan Johor pada 1847 dan pulau itu tidak berada pengaruh Belanda berdasarkan Treti British-Belanda, 1824 serta pulau itu sebahagian daripada Johor.


Katanya, rumusan kedua pula jika Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Johor pada 1847 dan Sultan Johor memberi kebenaran membina rumah api, termasuk di Pulau Batu Puteh serta pentadbiran British ke atas rumah api itu bukan satu tindakan menggambarkan kedaulatan.

"Jika Pulau Batu Puteh sebahagian daripada Johor pada 1847, dengan alasan itu saja mahkamah boleh memutuskan Johor memberi kebenaran untuk membina Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Puteh. Itu saja perkara munasabah yang berlaku dalam tempoh tahun itu.

"Jika dua rumusan yang ditunjukkan Malaysia diterima mahkamah, dan jika kami (Malaysia) menunjukkan Great Britain membina rumah api di wilayah Johor dengan kebenaran Johor, sekali gus kes republik itu gagal.


"Justeru, negara itu terpaksa bergantung kepada sama ada perisytiharan, yang mana negara itu mengingkari atau surat 1953 sebagai satu penyerahan dan ini dengan jelas tidak pernah berlaku," katanya di depan 13 hakim tetap dan dua hakim ad-hoc ICJ. Hakim tetap, Bruno Shimma dari Jerman tidak hadir pada perbicaraan semalam.

Sebelum itu, mahkamah terpaksa berhenti kira-kira 30 minit bagi membolehkan peguam Malaysia, Sir Elihu Lauterpacht yang pitam daripada tempat duduknya dibawa ke bilik rehat untuk mendapat rawatan.

Crawford berhujah jika dua rumusan itu juga diterima mahkamah, Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah Singapura pada 1965 dan kawasan perairan sekitar pulau itu bukan perairan republik itu.

Katanya, Malaysia berjaya mengemukakan kepada mahkamah bahawa sebelum 1978 Singapura tidak pernah secara terbuka menuntut hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh dan kejadian dalam tempoh 1978 hingga 1980 yang menyebabkan pertikaian itu tidak mengubah kedudukan serta tindakan sejak tarikh kritikal tidak relevan dalam kes ini.

Katanya, hak kedaulatan Sultan Johor itu juga disahkan pelbagai pihak, termasuk akhbar Singapura, Free Press yang melaporkan Kesultanan Johor memasukkan Pulau Batu Puteh pada 1847 sebagai sebahagian daripada Johor.

Mengenai dakwaan Singapura bahawa Malaysia hanya berdiam diri apa yang dilakukan republik itu selama ini di Pulau Batu Puteh, Crawford menjawab: "Kenapa perlu Malaysia melakukan sesuatu. Sultan dan Temenggong Johor memberi kebenaran untuk pembinaan dan operasi rumah api itu. Mahkamah sudah diberitahu oleh ejen Malaysia sebelum ini bahawa kebenaran itu berterusan."

Peguam Prof Marcello G Kohen pula berhujah keputusan mahkamah mengisytiharkan hak kedaulatan Pulau Batu Puteh milik Malaysia akan mengekalkan kebenaran undang-undang.

Katanya, Rumah Api Horsburgh akan terus berfungsi walaupun pengawalan pelayaran berkurangan berikutan kemajuan teknologi.

Sehubungan itu, katanya, mahkamah perlu membuat keputusan negara mana yang mempunyai hak kedaulatan dan pemilik rumah api itu.

"Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau itu dan kawasan maritim yang dipertikaikan, manakala Singapura, pemilik rumah itu. Keputusan ini tidak akan menyebabkan kawasan perairan maritim di rantau ini menjadi kelam kabut, " katanya.

Singapura akan memulakan kes pusingan kedua Isnin ini.

0 comments: