5,012 murid sangat lemah dalam UPSR

PUTRAJAYA 16 Nov. – Sebanyak 5,012 calon atau 1.0 peratus daripada 500,786 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini memperoleh keputusan sangat lemah iaitu Gred E bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

Jumlah tersebut adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu 3,437 pelajar atau 0.7 peratus mencatat keputusan sangat lemah manakala bagi tahun 2005 pula sebanyak 5,151 calon atau 1.0 peratus.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, keseluruhan calon yang memperoleh Gred D dan E iaitu tidak menguasai tahap pencapaian minimum semua mata pelajaran dalam peperiksaan UPSR ini ialah 20,856 orang atau 4.2 peratus.

Katanya, berbanding tahun lalu, jumlah pelajar yang mendapat Gred D dan E ialah 19,960 atau 4 peratus calon manakala pada 2005 pula ialah 21,033 orang (4.2 peratus).

‘‘Kita tidak berdiam diri, pelbagai program telah diatur dan juga akan memastikan guru-guru pemulihan memberikan pengajaran terbaik dengan mengasingkan pelajar ini dan memberikan mereka pengajaran khusus.

‘‘Kementerian Pelajaran amat berharap masalah kemahiran membaca dan menulis ini dapat dikurangkan tetapi ia memang tidak dapat dielakkan kerana terdapat calon yang tidak mencapai tahap yang kita harapkan,” kata Alimuddin kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan analisis UPSR 2007 di sini hari ini.

0 comments: