Budak hiperaktif dapat 5A UPSR

Oleh Hussain Said

SEREMBAN: Seorang murid hiperaktif yang ditempatkan dalam kelas terpilih sejak tahun satu bagi memudahkan guru mengawasinya adalah antara murid yang mencatatkan keputusan cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan kelmarin.

Mohammad Aiman Bahari, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Nyior, di sini bukan saja memperoleh 5A, malah tersenarai dalam kelompok 21 murid cemerlang daripada 2,269 murid yang memperoleh 5A di seluruh Negeri Sembilan.

Mohammad Aiman yang ditemui di rumahnya di Taman Seri Pagi, Senawang dekat sini petah bercakap dan dia gembira dengan keputusan itu sekali gus memenuhi harapan ibu bapanya yang mahu melihatnya berjaya.

"Saya pun tidak sangka dapat keputusan cemerlang ini... jika tidak ibu akan hantar saya ke sekolah lebih jauh dari rumah apabila memasuki Tingkatan Satu," katanya yang bercita-cita menjadi arkitek.

Bapanya, Bahari Mohd Jadi, 43, berkata anak sulung tiga beradik itu hiperatif sejak kecil menyebabkan beliau bersama isterinya sentiasa membuat pemantauan rapi terutama di rumah.

Beliau yang bekerja dengan sebuah syarikat petroleum berkata anaknya itu diletakkan di kelas terpilih Program Khas Pembelajaran Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan sejak Tahun Satu di SK Dusun Nyior.

"Ia untuk memastikan dia tidak mengganggu murid lain ketika dalam kelas dan memudahkan pihak sekolah terutama guru mengawasi serta membuat pemantauan lebih sempurna terhadapnya,” katanya.

Bahari mengakui tidak menyangka Mohammad Aiman memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu walaupun ada menghantarnya mengikuti kelas tuisyen tetapi mendakwa anaknya itu kurang mengulangkaji pelajaran ketika di rumah dan kerap menonton televisyen.

Bagaimanapun hasil pemerhatian mendapati anaknya mempunyai daya ingatan yang kuat kerana sentiasa mengingati pelajaran yang dipelajarinya dengan cepat dan tepat.

"Bagaimanapun, dari segi percakapan dan bahasa, Mohammad Aiman sememangnya berbeza dengan murid lain sebaya," katanya yang tidak mahu menghantar anaknya ke sekolah asrama penuh walaupun mendapat tawaran.

0 comments: