Sekolah projek khas catat keputusan cemerlang

BAHAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Model Khas Batu Kikir, dekat sini yang menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung mencatat keputusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Negeri Sembilan apabila 11 daripada 13 calonnya mendapat keputusan 5A.

Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yasin Mohd Yunus, berkata baki dua lagi calon mendapat 4A 1B sekali gus membuktikan keputusan penggabungan itu berkesan meningkatkan prestasi dan kematangan murid.

Beliau berkata keputusan cemerlang itu juga membuktikan pelajar luar bandar mampu mencapai kecemerlangan jika diurus dengan baik.

“Pencapaian UPSR tahun ini 84.6 peratus berbanding 7.1 peratus tahun lalu apabila hanya seorang calon yang mendapat 5A daripada 14 calon yang mengambil peperiksaan itu.

"Peningkatan prestasi adalah hasil sistem pengurusan, perancangan dan pemantauan berterusan sekolah terhadap pengembangan dan prestasi murid," katanya.

SMK Model Khas Batu Kikir yang mula beroperasi pada 2002 adalah sekolah projek khas Kementerian Pelajaran yang menggabungkan pendidikan rendah dan menengah di bawah satu bumbung.

Pemilihan murid mengikut syarat minimum pencapaian akhir tahun iaitu 3A 2B bagi kemasukan Tahun 5 dan pencapaian 2A 2B bagi Tahun 4 dengan keutamaan murid luar bandar sekitar kawasan berkenaan kerana mempunyai kemudahan asrama.

Mohd Yasin mengakui prestasi kurang menggalakkan tahun sebelumnya memberi kesan kepada sekolah apabila ibu bapa kurang berminat menghantar anak mereka menyertai sekolah itu.

"Bagaimanapun, saya yakin keputusan cemerlang kali ini akan memulihkan keyakinan masyarakat, terutama ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah ini," katanya.

0 comments: