Tujuh peta perkuat hujah Malaysia

KEGAGALAN Singapura mengemukakan sebarang peta rasmi termasuk Pulau Batu Puteh sebelum tarikh pertikaian agak ganjil dengan dakwaan republik itu mempunyai hak kedaulatan ke atas pulau berkenaan.

Peguam Malaysia, Penelope Nevill, berkata Singapura gagal menjelaskan kepada mahkamah kenapa negara itu tidak mengemukakan peta rasmi sebelum 1995, walaupun negara itu mengakui mempunyai hak milik ke atas pulau itu pada 1847 atau 1851.

Sebaliknya, Nevill memberitahu panel hakim tetap dan ad hoc Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam, tujuh peta, termasuk daripada negara ketiga seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dikemukakan Malaysia menyokong kes negara itu, selain bukti lain.

"Singapura pula menggunakan enam peta rasmi Malaysia untuk menyanggah kes Malaysia tetapi hujah dalam undang-undang tidak membantu kes republik itu, "katanya.

Antara peta yang dikemukakan Malaysia, adalah sebelum 1824, peta rantau ini menunjukkan Pulau Batu Puteh dikenali dan berada dalam Kesultanan Johor sebelum 1824.

Kedua, peta Belanda 1824 menunjukkan pemisahan wilayah pengaruh Britain dan Belanda, Pulau Batu Puteh berada dalam wilayah pengaruh Britain, sekali gus dalam Kesultanan Johor.

Ketiga, peta Singapura yang diterbitkan Britain dan pihak lain selepas 1824 secara konsisten memaparkan Singapura meliputi tanah pulau republik itu dan pulau dalam lingkungan had 10 batu, seperti dinyatakan oleh Perjanjian Crawfurd 1824.

Keempat, keadaan tidak berubah selepas 1847 atau 1851 apabila peta Singapura terbitan Britain dan Singapura tidak pernah memasukkan Pulau Batu Puteh hingga republik itu menerbitkan peta pada 1995.

Kelima, walaupun peta Johor tidak menunjukkan Pulau Batu Puteh, sebaliknya peta yang diterbitkan Johor, Britain, Tanah Melayu dan pihak berkuasa Malaysia ada menunjukkan pulau itu sebahagian Johor serta Malaysia.

Keenam, peta terbitan Malaysia secara jelas menunjukkan ketiga-tiga bentuk bumi itu (Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan) sebagai pelantar laut dan wilayah perairan Malaysia. Ia selari dengan dengan peta dalaman terbitan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 1968 yang menggunakan ketiga-tiga bentuk bumi itu untuk penghasilan wilayah perairan.

Akhirnya, peta yang diterbitkan United Kingdom dan Amerika Syarikat menggambarkan persefahaman sempadan wilayah perairan di kawasan Pulau Batu Puteh.

Nevill berkata, peta kedua-dua negara itu secara konsisten memaparkan pembahagian garis maritim yang menempatkan Pulau Batu Puteh dalam perairan Johor, Tanah Meelayu atau Malaysia dan tidak menunjukkan ketiga-tiga bentuk bumi itu.

Peguam Prof Nicolaas Jan Schrijver pula memberitahu mahkamah, amalan berterusan Malaysia dan pihak ketiga mengesahkan persepsi bahawa Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan sebahagian daripada wilayah Malaysia, dan Singapura tidak pernah mempunyai sempadan maritim sekitar kawasan Pulau Batu Puteh.

Katanya, amalan yang mengesahkan kedaulatan Malaysia membabitkan memuktamadkan perjanjian mengenai persempadanan maritim dan sumber marin, menganugerahkan konsesi minyak, memperkenalkan undang-undang berkaitan, menerbitkan peta.

Selain itu, beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang perikanan, meronda kawasan perairan terbabit dan mengukur kawasan berkenaan untuk tujuan hidrografik.

"Amalan Belanda dan Great Britain, dua kuasa penjajah sepanjang tempoh sejarah juga mencerminkan hak kedaulatan Johor dan kemudian Malaysia ke atas ketiga-tiga bentuk bumi itu," katanya.

Malah, katanya, amalan Indonesia terutama membabitkan persempadanan dengan Malaysia pada 1969 dan Singapura (1973) menunjukkan penerimaan Singapura ke atas hak kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Schrijver berhujah, Malaysia kerap mengadakan kerjasama dengan jirannya untuk memastikan pengawalan maritim dan keselamatan semua kapal, perdagangan serta melindungi marin di Selat Singapura.

0 comments: