Tarif Elektrik Naik Pada Purata 12 Peratus Dari 1 Jun

BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Mei (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menaikkan tarif elektrik pada purata 12 peratus berkuatkuasa 1 Jun.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, yang mengumumkannya hari Rabu, berkata bagaimanapun isi rumah berpendapatan rendah yang menggunakan 200 kilowatt-jam (kWh) elektrik sebulan tidak akan terjejas dengan kenaikan itu.

Beliau berkata kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan berkenaan kekal tidak berubah.

Mengenai kira-kira satu juta isi rumah atau 18 peratus pengguna yang menggunakan antara 201 dan 300kWh elektrik sebulan dengan bil elektrik antara RM44 dan RM70 akan hanya mengalami kenaikan bulanan minimal antara tiga sen dan RM3.10, katanya pada sidang media di sini.

Dr Lim berkata kerajaan juga memperkenalkan tarif pertanian spesifik untuk membantu dan memodenkan aktiviti seperti penternakan ayam dan haiwan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dan penternakan ikan.

Tarif baru itu adalah lebih rendah daripada tarif komersil yang sektor pertanian sebelum ini diklasifikasikan di bawahnya.

Dr Lim berkata tarif khas perindustrian akan dikekalkan bagi pelanggan perindustrian yang penggunaan elektrik mewakili lima peratus atau lebih bagi kos operasi mereka.

TNB juga akan terus memberikan diskaun kepada sekolah-sekolah kerajaan, institusi pendidikan tinggi kerajaan, rumah kebajikan dan tempat ibadat, katanya.

Beliau berkata struktur tarif baru akan meningkatkan pendapatan tahunan TNB sebanyak RM1.5 bilion.

Pendapatan tambahan itu akan meletakkan TNB dalam kedudukan kewangan yang lebih baik untuk melabur semula dalam infrastruktur sedia adanya dari 2006-2010 bagi membolehkannya meningkatkan kebolehpercayaan dan kualiti bekalan dalam bidang utama seperti penjanaan, penyaluran dan pengagihan, katanya.

TNB dijangka melabur anggaran RM40 bilion untuk menaik taraf dan memperbaiki sistem bekalan elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dr Lim berkata kenaikan tarif, yang diluluskan pada mesyuarat Kabinet pagi ini "selepas perbincangan terperinci" diguna pakai untuk Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata kenaikan itu, yang pertama sejak 1997, diputuskan selepas pertimbangan sepenuhnya akan kesan cadangan TNB bagi struktur tarif baru ke atas majoriti penduduk Malaysia.

Dalam meluluskan cadangan itu, beliau berkata kerajaan telah mengambil kira kenaikan kos dan keperluan TNB untuk melabur semula dalam peralatan bekalan berikutan peningkatan permintaan dan perubahan persekitaran sosial Malaysia.

TNB telah mencadangkan kenaikan 20 peratus pada kadar tarif sedia ada bagi semua kategori pengguna dalam sektor kediaman, komersil dan perindustrian.

0 comments: