Kedah intai emas pertama

ALOR STAR - Tuan rumah Sukan Malaysia Ke-11, Kedah berusaha melakarkan permulaan cemerlang bukan sahaja sebagai penganjur malah dalam saingan merebut pingat emas yang mula ditawarkan hari ini.

Tumpuan awal negeri Jelapang Padi itu sudah pasti kepada acara wusyu yang membuka gelanggang di Dewan Modenas, Kompleks Sukan Kriss Gurun dalam usaha untuk mencapai sasaran 60 emas mereka.

Dengan menganggap wusyu sebagai antara `lombong emas' utama mereka, Kedah mengharapkan `feng shui' yang baik untuk mendapat penghormatan menjadi kontinjen dan atlet pertama yang memenangi emas pada temasya kali ini.

Untuk itu, Kedah meletakkan harapan tinggi kepada pesertanya dalam acara Taijiquan lelaki, Ooi Shi Jia untuk merealisasikan impian itu.

Malah jika bernasib baik, Kedah dijangka menyapu dua daripada enam pingat emas yang ditawarkan hari ini.

Selain Shi Jia, Kedah mempertaruhkan peserta acara Changquan lelaki, Ng Say Yoke yang telah menjalani latihan di China baru-baru ini untuk meraih pingat emas kedua.

Sebanyak enam acara akhir dipertandingkan hari ini. Selain acara Taijuquan dan Nangquan lelaki, empat lagi acara ialah Nanquan dan Jianshu lelaki serta Nanquan dan Taijiquan wanita.

Sarawak, Pulau Pinang, Melaka dan Kuala Lumpur merupakan kuasa besar sukan wusyu Sukma yang dijangka menjadi pencabar utama kepada Kedah.

Turut menawarkan pingat emas hari ini ialah acara skuasy individu apabila perlawanan akhir perseorangan lelaki dan wanita berlangsung di Kompleks Sukan Muadzam Shah di sini.

Pulau Pinang sudah pun memastikan satu pingat emas berada dalam genggaman mereka apabila dua pemain wanitanya, Low Wee Wern dan Nabilla Ariffin akan bertemu sesama sendiri di akhir.

Kontinjen Pulau Mutiara juga mempunyai wakil dalam perlawanan akhir bahagian lelaki menerusi Randy Lim yang akan bertemu pemain Perak, Choong Kam Hing.

Kedua-dua pemain ini melakukan kejutan di separuh akhir semalam. Randy yang diletakkan pemain pilihan keempat mengejutkan pemain pilihan pertama dari Selangor, Yuen Chee Wern manakala Kam Hing yang merupakan pilihan ketiga menewaskan pemain pilihan kedua dari Wilayah Persekutuan, Asyraf Azan.

Acara renang juga membuka gelanggangnya hari ini dengan menawarkan lapan pingat emas di Kompleks Akuatik Gunung Keriang di sini.

Acara akhir yang dilangsungkan hari ini ialah 200 meter gaya bebas lelaki dan wanita, 100 meter kuak dada lelaki dan wanita, 50 meter kuak lentang lelaki dan wanita serta 400 meter rampaian perseorangan lelaki dan wanita.

Atas kertas, tumpuan sudah pasti kepada perenang Selangor, Sarawak dan Negeri Sembilan jika pencapaian pada Sukma 2004 lalu diambil kira.


UTUSAN MALAYSIA

0 comments: