Tarif baru elektrik diumum esok

KUALA LUMPUR 23 Mei - Kerajaan dijangka mengumumkan kenaikan sekurang-kurangnya 10 peratus tarif elektrik esok yang mungkin berkuatkuasa pada bulan depan.

Pengumuman itu akan dibuat dalam satu sidang akhbar khas yang akan diadakan oleh Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik selepas mesyuarat Kabinet, esok.

Sumber-sumber berkata, jika kenaikan tarif itu diumumkan, kerajaan pastinya akan memegang pada janji bahawa kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat.

Selain itu, kata mereka, struktur kadar baru itu juga akan menawarkan tarif khas bagi industri-industri yang kritikal terutamanya pertanian dan penternakan haiwan.

Sebilangan penganalisis ekonomi sebelum ini, telah mengunjurkan bahawa kerajaan akan membenarkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menaikkan tarif secara minimum, pada paras 10 peratus sahaja.

Kenaikan tarif itu amat penting kepada TNB dalam usaha memastikan syarikat milik kerajaan itu mampu terus berdaya maju.

Syarikat utiliti itu perlu mendapat dana baru bagi meningkatkan keluaran tenaganya, memperbaiki infrastruktur elektrik, menangani kesan kenaikan kos bahan api dan melegakan beban hutang hampir RM30 bilion.

“Jika kenaikan itu diluluskan, ia adalah yang pertama sejak sedekad lalu. Kali terakhir, tarif elektrik dinaikkan oleh kerajaan adalah pada tahun 1997 sebanyak 8.3 peratus,” kata sumber-sumber itu.

Mengikut struktur tarif semasa, purata kadar bayaran bagi keseluruhan kegunaan domestik ialah 23.45 sen bagi setiap 100 kiloWat sejam (kWj) yang pertama.

Mengikut pecahannya, kegunaan 100 kWj yang pertama bagi kediaman ialah 21.8 sen, komersial 27.5 sen dan industri 21.25 sen.

TNB telah mengemukakan kenaikan tarif bagi pengguna yang bil bulanannya melebihi RM33 dan syarikat itu menjamin pengguna daripada kumpulan berpendapatan rendah iaitu 45 peratus daripada 6.2 juta pelanggannya, tidak akan terjejas.

CIMB Securities menganggarkan setiap kenaikan bersih satu peratus dalam harga tenaga akan meningkatkan perolehan sesaham TNB antara tujuh peratus hingga lapan peratus.

Pada 13 April lalu, TNB mencatatkan kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion apabila mengumumkan hasil kewangan bagi tempoh enam bulan berakhir 28 Februari 2006.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dilapor menyatakan, syarikat utiliti itu menghadapi cabaran kenaikan perbelanjaan operasi yang melebihi pertumbuhan permintaan elektrik berikutan lonjakan harga sumber tenaga sedunia.

Katanya, keadaan itu membimbangkan kerana kedudukan kewangan TNB sehingga akhir tahun ini tidak akan dapat dipertahankan jika permintaan supaya tarif elektrik dikaji semula tidak dilayan.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: