Tarif elektrik naik 12 peratus 1 Jun

BERITA HARIAN

Oleh Mutazar Abd Ghani dan Shamshul Azree Samshir


PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan struktur baru tarif elektrik di Semenanjung membabitkan kenaikan pada kadar purata 12 peratus, berkuat kuasa bulan depan.

Bagaimanapun, kenaikan itu tidak membabitkan kira-kira tiga juta isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik kurang 200 kilowatt sejam (kwh) atau kadar bil bulanan kurang daripada RM43.60.

Kabinet memutuskan kadar sedia ada 21.8 sen setiap kWh bagi pelanggan kategori itu, dikekalkan.

Ketika mengumumkan struktur baru itu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencadangkan kenaikan purata 20 peratus bagi semua pengguna merangkumi sektor kediaman, komersial dan industri.

“Selepas dikaji dengan teliti dan dibincangkan mendalam, Kabinet meluluskan kenaikan 12 peratus secara purata,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Shaziman Abu Mansor; Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dan Ketua Eksekutif TNB, Datuk Che Khalib Mohamad Noh.

Di TOKYO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan kenaikan itu berpatutan kerana 59 peratus daripada 5.1 juta isi rumah di negara ini dikecualikan daripada caj baru itu.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat selepas Kabinet mengambil kira kepentingan rakyat berpendapatan rendah, TNB dan syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

“Kerajaan tidak boleh ambil sikap tidak mahu menaikkan tarif kerana apa yang berlaku kepada TNB nanti boleh memudaratkan ekonomi kita. Kerajaan juga memikirkan kebajikan dan keperluan rakyat. Kita tidak mahu rakyat terlalu susah ekoran sesuatu tindakan yang kerajaan mesti ambil.

“Saya harap rakyat terima, ini tak boleh elak lagi walaupun ia jadi tindakan tidak popular. Tindakan ini melambangkan kita bertanggungjawab kepada pihak berkaitan, iaitu rakyat, TNB dan IPP,” katanya yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun.

Beliau menjelaskan, Kabinet juga memutuskan supaya Dr Lim meneruskan perbincangan untuk mencari rumusan terbaik berhubung kontrak pembekalan tenaga antara TNB dan IPP.

“Bukanlah satu tindakan yang melanggar kontrak apabila kita mencadangkan supaya kerajaan dan IPP berbincang untuk mengatasi masalah yang dihadapi TNB,” katanya.

Sementara itu, Dr Lim berkata, kedudukan kewangan TNB dijangka bertambah baik dengan pengenalan struktur baru itu, malah syarikat berkenaan dijangka mencatat perolehan tahunan sebanyak RM1.5 bilion.

Ini adalah kali pertama struktur tarif elektrik selepas tiada kenaikan diberi sejak 1997. Menerusi penstrukturan semula itu, 18 peratus atau kira-kira sejuta isi rumah yang menggunakan tenaga elektrik pada kadar antara 201 kwh hingga 300 kwh atau bil bulanan RM44 hingga RM70, akan hanya mengalami kenaikan bulanan antara tiga sen hingga RM3.10.

Dr Lim berkata, kerajaan turut memperkenalkan tarif khusus untuk sektor pertanian, seperti penternakan ayam, penyembelihan, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pemeliharaan ikan dan penanaman padi, yang lebih rendah daripada tarif komersial.

Tarif industri khas pula dikekalkan untuk pengguna industri yang merekodkan penggunaan elektrik pada kadar lima peratus atau lebih daripada kos operasi.

Beliau berkata, tarif baru elektrik itu juga mengekalkan diskaun 10 peratus untuk sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi awam, rumah kebajikan dan tempat ibadat.

Selain itu, kerajaan mengekalkan kadar tarif rendah bagi penggunaan elektrik di luar waktu puncak iaitu antara jam 10 malam hingga 8 pagi merangkumi pengguna dalam sektor komersial dan perindustrian.

Dr Lim berkata, struktur tarif berperingkat diputuskan selaras dasar kerajaan berhubung penggunaan sumber tenaga secara cekap.

“Sebagai contoh, pengguna boleh melaraskan alat penyaman udara kepada 24 darjah celsius dan bukannya 16 darjah celsius selain sektor perindustrian boleh menggunakan peralatan kelengkapan cekap tenaga,” katanya.

0 comments: