Teguran Sultan Selangor elak penyalahgunaan zakat pertahan hak umat

Teguran Sultan Selangor elak penyalahgunaan zakat pertahan hak umat

ISLAM menetapkan garis panduan yang jelas berhubung penggunaan wang kutipan zakat. Pihak yang diberi mandat menguruskannya wajib memastikan ia dipatuhi. Zakat adalah ibadat khusus yang berkait rapat dengan ekonomi dan kehidupan masyarakat serta menjadi nadi penggerak jentera pembangunan umat Islam. Hikmah zakat ialah untuk memastikan semua urusan ekonomi dan pemilikan harta tidak dibekukan atau dikuasai golongan tertentu saja. Penggunaan wang zakat diperincikan dalam al-Quran menerusi surah At-Taubah ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanya untuk golongan fakir, miskin, amil yang menguruskannya, mualaf, hamba yang hendak memerdekakan diri, orang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah dan musafir (yang keputusan bekalan) dalam perjalanan”.

Umumnya, wang zakat hanya boleh disalurkan kepada lapan kumpulan itu yang dikenali sebagai asnaf, bagi membantu umat Islam dan pembangunan ummah. Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi tujuan lain tidak harus timbul. Oleh kerana mandat mengurus dana zakat terletak di bahu kuasa pihak berkuasa agama negeri, pihak lain tidak boleh campur tangan. Jika berlaku, tindakan itu boleh mencemarkan kesucian institusi zakat dan menjejas keyakinan umat Islam. Pada masa sama, pengurusan zakat hendaklah sentiasa dibuat dengan betul tanpa sebarang penyelewengan.

Kerajaan Selangor untuk menggunakan sebahagian wang kutipan zakat untuk pembangunan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Ia terkeluar daripada garis panduan penggunaan wang zakat yang ditetapkan syarak. Penubuhan entiti pengurusan zakat yang bebas menggambarkan hasrat kerajaan mengasingkannya daripada campur tangan dan dasar itu harus dipertahankan. Penggunaan wang zakat untuk tujuan pinjaman atau pembangunan mengundang risiko besar dan boleh membangkitkan kemarahan umat Islam.

Kita tidak mahu ada pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada wang kutipan zakat untuk menampung keperluan mereka. Sebaliknya, mereka harus memikirkan cara lain untuk mendapatkan dana bagi pembangunan kerana apapun alasan yang diberi, ia tetap tidak menghalalkan dana zakat digunakan bagi tujuan lain. Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin mengukuh, kita yakin pelbagai kedah boleh digunakan bagi menjana dana melaksanakan pembangunan ekonomi. Cadangan menggunakan sebahagian daripada wang zakat untuk tujuan itu adalah amat aneh dan dibimbangi mempunyai muslihat tertentu.

Dalam hubungan ini, pegawai yang terbabit dalam pengurusan wang zakat perlu mempunyai ketegasan dan integriti yang tinggi. Mereka tidak boleh tunduk terhadap sebarang bentuk tekanan yang mungkin dikenakan serta insaf sedar bahawa amanah yang diberikan adalah amat berat. Jika tersilap langkah, keyakinan umat Islam terhadap keseluruhan institusi zakat mungkin terhakis. Sehubungan itu ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa beliau tidak akan memberi perkenan wang zakat di negeri itu digunakan bagi tujuan lain, amat dihargai. Kita berharap selepas ini tiada lagi sebarang cubaan untuk menyalahgunakan dana zakat timbul di negara ini.

0 comments: