Kita belum terdesak untuk tiru cara Mexico

Kita belum terdesak untuk tiru cara Mexico

Oleh Azrul Affandi Sobry

PERLUKAH negara kita mengikut jejak Mexico yang bertindak agresif menutup semua kemudahan awam termasuk sekolah, pejabat, pusat beli-belah serta melarang penduduknya keluar rumah selama seminggu untuk membendung penularan wabak selsema babi?

Mexico adalah 'ibu' yang mengandung wabak ini kerana ia negara pencetus selesema babi hingga merebak ke seluruh dunia kecuali Kutub Utara dan Kutub Selatan. Namun, diakui langkah diambil Mexico itu nyata berkesan dengan pengurangan hampir 40 peratus penularan wabak maut itu. Sehingga awal Ogos, cuma 146 kematian dilaporkan di Mexico dan sesetengah negara lain melebihi jumlah itu.

Pelbagai desakan didengari di negara kita apabila saban hari kes kematian dicatat. Ada yang menyarankan supaya cuti sekolah dianjakkan lebih awal, menutup terus sekolah buat seketika walaupun tiada kes H1N1, memendekkan waktu pejabat dan sebagainya.

Malah ada juga saranan supaya pelajar yang menduduki peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) saja dibenar bersekolah sehingga keadaan reda.

Namun, setakat ini kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran serta Majlis Keselamatan Negara masih bertegas menyatakan bahawa keadaan masih boleh diurus, terkawal dan tidak perlu mengisytiharkan 'darurat kesihatan'.

Malah, keengganan Kementerian Pelajaran untuk menghentikan seketika operasi persekolahan turut mengundang kebimbangan banyak pihak terutama mengenangkan realiti risiko jangkitan di kalangan kanak-kanak.

Melihat kepada fakta pula, hampir setiap hari ada kes kematian di kalangan kanak-kanak dicatatkan dan ia pasti lebih buruk pada masa akan datang kerana seperti diketahui dan disedari semua pihak, kanak-kanak adalah individu yang jarang ambil kisah dan suka bercampur dalam kumpulan mereka, tak kira di mana saja.

Risiko itu juga bukan sekadar dihadapi murid kerana guru yang saban hari terpaksa berdepan dengan ratusan pelajar yang ada antaranya tak tahu menjaga kesihatan diri juga terdedah kepada jangkitan itu, apatah lagi mereka yang sedang hamil.

Sehingga semalam, 68 kematian dicatat di negara kita dan terbaru iaitu satu-satunya kes dilaporkan semalam membabitkan wanita mengandung 34 minggu, berusia 33 tahun dari Johor.

Namun, sekali lagi persoalan itu perlu dibangkitkan iaitu sama ada menuntut supaya negara ini meniru langkah Mexico atau terus mengamalkan kaedah sedia ada dengan menanam kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

Pakar Perunding Perubatan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Abdul Rahman Mohd Ali, berkata belum sampai masanya negara ini mengenakan perintah darurat atau menutup semua kemudahan yang mempunyai risiko jangkitan, tetapi perlu menga-malkan langkah pencegahan sepatutnya bagi memastikan penularan penyakit itu dapat dikurangkan.

Katanya, negara ini sebenarnya boleh mengamalkan pendekatan sama dengan Mexico, tetapi dengan kaedah berbeza tanpa perlu mengisytiharkan darurat dengan memberi tumpuan khusus kepada lokasi awam seperti sekolah, pusat beli-belah dan pejabat.

"Ia memerlukan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa, pekerja dan majikan. Siapa yang berasakan dirinya kurang sihat, anggaplah yang dia ada H1N1 dan hindari diri dari tempat awam. Jika perlu, pakai topeng muka.

"Majikan pula, perlulah beri cuti kepada pekerja yang kelihatan kurang sihat sekurang-kurangnya sehingga demamnya reda. Beri sedikit kelonggaran.

"Sediakan alat pengimbas suhu di setiap pintu masuk pejabat dan di sekolah. Pastikan pekerja dan pelajar benar-benar sihat dan lebih baik sediakan topeng muka serta pencuci tangan di pejabat," katanya.

Ruang kerja yang sesak juga menjadi salah satu punca penularan wabak itu boleh berlaku dan menyentuh mengenai itu, beliau berkata, majikan perlu memastikan pekerja tidak berada dalam ruang sangat sesak.

Beliau berkata, kelompok yang penting diberi perhatian ialah kanak-kanak kerana mereka bergaul secara aktif.



Justeru, bagi mengurangkan kadar penularan, satu langkah yang sangat relevan merehatkan seketika pelajar di luar kelas peperiksaan terutama di sekolah rendah iaitu dari peringkat tadika hingga Tahun Lima dan langkah itu dijangka dapat mengurangkan antara 20 hingga 30 peratus penularan.

Beliau turut kecewa kerana tidak semua masyarakat negara ini yang prihatin terhadap penjagaan kesihatan kerana ketika ini didapati, topeng muka lebih popular di kalangan orang sihat sedangkan realitinya ia lebih perlu digunakan oleh mereka yang sakit.

Katanya, kebimbangan mengenai penularan penyakit itu di sekolah ada kebenarannya kerana setakat ini majoriti semua sekolah terutama yang berkepadatan tinggi sudah ada kes jangkitan H1N1 dan sudah selayaknya memberi isyarat jelas kepada Kementerian Pelajaran untuk melakukan tindakan lebih proaktif.

Bagaimanapun, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata sekiranya keperluan mengkehendaki sekolah ditutup terutama apabila gelombang kedua H1N1 berlaku pada Oktober, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian.

Katanya, ketika ini, ia menunjukkan satu situasi yang belum mendesak supaya sekolah ditutup dan sebagai mewakili ibu bapa, beliau khuatir sekiranya tindakan itu diambil, ia akan memberi kesan kepada ibu bapa bekerja untuk memastikan anak mereka tinggal di rumah.

"Jika perlu tutup, tutup. Saya setuju selepas musim peperiksaan, pelajar sekolah rendah sudah boleh direhatkan lebih awal, namun ia perlu mengambil kira banyak faktor," katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, pula mahu setiap sekolah mengambil langkah progresif memeriksa suhu badan murid mereka setiap kali sebelum memulakan sesi persekolahan untuk membendung penularan wabak itu.

"Setiap guru perlu peka. Pentadbir perlu tegas dan cepat bertindak. Jika ada murid yang suhu badannya melebihi 38 darjah celcius, bawa ke klinik segera. Malah, Guru Besar dan Pengetua mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada mahu sekolah mereka direhatkan jika perlu," katanya.

0 comments: