Kunta Kinte: Bukan Islam ada sektor eksklusif

Kunta Kinte: Bukan Islam ada sektor eksklusif

BARU-BARU ini Kunta Kinte ambil bahagian dalam forum 1Malaysia anjuran Institute for Advanced Islamic Studies (IAIS) di Petaling Jaya.

Salah seorang rakan panel Kunta Kinte ialah Dr Asmah Abdullah. Kunta Kinte kata dia orang Melayu cerdik dan Kunta Kinte sangat seronok jumpa orang yang lebih cerdik daripada Kunta Kinte, apatah lagi orang itu orang Melayu.

Orang cerdik boleh bagi kita ilmu dan kita jadikannya teladan. Orang yang tidak cerdik kita jadikan kawan dan sempadan. Kalau ditakdirkan kita berdaya, kita tolonglah dia.

Lebih kurang itulah falsafah hidup Kunta Kinte. Dengan itu kita boleh berkawan dengan semua orang dan belajar daripada semua orang.

Tapi, sejak zaman Hang Nadim lagi, orang Melayu yang cerdik tidaklah selalu dapat tempat. Orang Melayu yang kurang cerdik tapi pandai kipas banyak yang dapat tempat. Itulah maladi atau penyakit mental bangsa Melayu agaknya.

Dr Asmah bentangkan beberapa butir yang Kunta Kinte dapati sangat berguna. Dalam satu kajian yang dia buat mengenai nilai kehidupan harian rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa, kesimpulannya sangatlah menarik.

Bagi semua rakyat Malaysia, ciri nombor satu ialah kepercayaan kepada Tuhan. Itulah juga ciri nombor satu bagi orang Melayu dan India.

Tapi bagi orang Cina, ciri nombor satu mereka adalah pencapaian (achievement). Daripada lima ciri utama bangsa Cina, kepercayaan kepada Tuhan tidak ada. Yang ada ialah pencapaian, pelajaran, kesihatan, ketekunan dan kejayaan.

Ciri utama orang Melayu ikut keutamaan adalah kepercayaan kepada Tuhan, pelajaran, kejujuran, keikhlasan dan kejayaan manakala orang India pula cirinya adalah kepercayaan kepada Tuhan, menghormati orang tua, pelajaran, kekeluargaan dan perhubungan.

Jadi mesti ada pembaca yang kata, ha... itulah fasal orang Cina berjaya dalam ekonomi dan ramai kaya raya. Fasal orang Cina berlandaskan kehidupan mereka atas pencapaian, kejayaan dan ketekunan.

Ya dan tidak. Kalau orang Melayu yang sinonim dengan Islam betul-betul pegang kepada ajaran dan amalan agama yang sempurna, Kunta Kinte yakin mereka pun boleh berjaya.

Kunta Kinte tidak berani bercakap mengenai orang India yang majoritinya beragama Hindu. Yang Kunta Kinte dengar, pengaruh kasta masih ada di kalangan orang India yang beragama Hindu.

Kunta Kinte tak berani kata terang-terang, tapi boleh jadi juga falsafah hidup yang berbeza ini menyebabkan satu bangsa lebih maju dan lebih kaya daripada bangsa lain.

Jadi apabila seorang hadirin tanya yang mana satu lebih penting demi kelangsungan negara kita, perpaduan atau perkembangan ekonomi, Kunta Kinte jawab macam ini:

l Banyak mana pun duit yang kita buat dan macam mana tinggi pun pertumbuhan ekonomi negara kita, kesamarataan tulen susah dicapai fasal wujud falsafah dan pegangan hidup yang berbeza;

l Yang ramai miskin atau kurang berjaya adalah orang Melayu dan India. Tapi kalau orang Melayu pegang betul-betul kepada ajaran Islam, mereka tentu takut jadi orang jahil dan miskin kerana kemiskinan adalah hampir dengan kekufuran;

l Perpaduan tulen dan berkekalan susah nak diwujudkan kalau di sebelah pihak ada ramai orang yang papa kedana dan di pihak lain pula ada beberapa kerat orang yang kaya raya;

l Nak betul-betul adil dan saksama memang susah. Macam mana tak susah, orang bukan Islam diberi lesen judi, lesen arak, lesen bela babi dan macam-macam lagi lesen perniagaan yang haram kepada orang Islam;

l Jadi secara langsung orang bukan Islam ada sektor ekonomi yang khas untuk mereka iaitu perniagaan yang diharamkan ke atas orang Islam;

l Kalau nak adil dan saksama, kenalah haramkan judi, arak dan ternakan babi dan seumpamanya serta perangi habis-habisan ekonomi bawah tanah macam pelacuran, dadah dan along dan;

l Kita boleh luaskan ekonomi yang patuh syariah macam perbankan Islam, takaful dan makanan halal. Tapi perbankan Islam dan makanan halal tidak eksklusif kepada orang Islam saja. Hari ini majoriti pelanggan perbankan Islam dan pengguna simbol halal adalah orang bukan Islam.

Maka, sebab itulah Kunta Kinte selalu kata, sebuah kerajaan yang adil di Malaysia wajib amalkan dasar pembahagian kekayaan melalui konsep ‘affirmative’ macam yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru.

Kalau tidak, orang Islam akan terus terkebelakang dan ini sangatlah tidak adil dan sangat berbahaya kerana orang Islam dan Bumiputera adalah kaum majoriti di negara ini.

0 comments: