Minda Pengarang: Tiada tolak ansur dalam usaha perangi pengganas

Minda Pengarang: Tiada tolak ansur dalam usaha perangi pengganas

PIHAK berkuasa Indonesia dilaporkan berjaya menumpaskan pengganas paling dikehendaki di Asia, Noordin Mohd Top. Meskipun, tiada pengesahan rasmi dibuat mengenai kematian Noordin, kejayaan pihak berkuasa Indonesia itu sedikit sebanyak dapat melemahkan kemampuan kumpulan serpihan Jemaah Islamiah (JI) yang dipimpin pakar bom dari Malaysia itu. Namun, ini bukan bermakna ancaman keganasan di rantau ini sudah berakhir. Kalaupun benar Noordin terbunuh dalam serbuan polis di Temanggung, Jawa Tengah, kelmarin, ia juga bukan jaminan dunia akan lebih aman selepas ini. Ini kerana ancaman kumpulan militan itu dijangka berterusan. Malah, kita bimbang konco-konconya mungkin bertindak lebih ganas kerana mahu membalas dendam ke atas kematian Noordin yang dianggap Menteri Kewangan untuk kumpulan pengganas itu. Walaupun Noordin ialah rakyat Malaysia, kita tidak pernah bertolak ansur dengan tindakannya menganggotai gerakan pengganas. Kita sentiasa komited menghapuskan pengganas sehingga ke akar umbi dan tidak pernah teragak-agak bertindak tegas. Kegiatan pengganas adalah ancaman besar kepada seluruh dunia dan ia perlu ditangani di setiap peringkat sama ada sebagai isu domestik, serantau serta sejagat. Sebab itulah kebanyakan negara di dunia mempunyai undang-undang khusus untuk menangani aktiviti pengganas dan Malaysia tidak terkecuali. Bukti kepada iltizam ini jelas kerana kita pernah mengambil langkah drastik seperti menahan mereka yang terbabit dalam kegiatan militan dan keganasan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mengambil kira ancaman itu yang dijangka berterusan, kewujudan ISA dilihat relevan, amat perlu dan bertepatan sebagai mekanisme berkesan memastikan keselamatan negara tidak diganggu gugat kumpulan pengganas.

Dalam konteks ini, kecenderungan pihak tertentu yang cuba menggunakan ISA sebagai modal meraih populariti politik, mengundang risiko besar. Ketika dunia mengakui keperluan dan keberkesanan undang-undang seumpama itu membendung anasir pengganas, ada pihak cuba mempertikaikannya. Tindakan mereka yang menjadikan ISA sebagai isu politik menggambarkan seolah-olah mereka mempertahankan pengganas. Bantahan membabi buta terhadap ISA tidak harus berlaku kerana akta itu wujud bagi melindungi keselamatan serta ketenteraman umum. Kita bimbang keghairahan pihak tertentu memberi gambaran buruk terhadap ISA menyebabkan masyarakat tidak dapat melihat kebaikan sebenar di sebalik kewujudannya. Jangan sampai sebab marahkan nyamuk, kelambu dibakar kerana ketika itu nanti segala-galanya mungkin sudah terlewat. Lebih membimbangkan ialah jika ada anasir tertentu sengaja mahu ISA dimansuhkan bagi membuka ruang pengganas bertapak di negara ini. Matlamat mereka ini akhirnya untuk mencemarkan reputasi dan nama baik Malaysia, sama seperti beberapa tindakan termasuk demonstrasi dan tohmahan yang dilakukan pihak berkenaan sebelum ini. Ketika kerajaan sudah berikrar untuk mengkaji semula ISA, semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang mahu akta itu dimansuhkan. Selama ini, undang-undang seperti ISA sudah terbukti banyak menyumbang ke arah kemakmuran dan keselamatan negara. Hari ini, ketika dunia masih diancam aktiviti pengganas, ia terbukti masih relevan dan kekal penting untuk memastikan kepentingan majoriti rakyat terus terpelihara.

0 comments: