Ubah landskap pengajian tinggi demi kualiti, inovasi, kecemerlangan

Ubah landskap pengajian tinggi demi kualiti, inovasi, kecemerlangan

Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my

KEWUJUDAN institusi pengajian tinggi (IPT) dan ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran saling melengkapi dan amat diperlukan dalam menggerakkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan di negara ini. Pada masa sama, ahli akademik menjadi peneraju kepada penerokaan idea, konsep atau teori baru sebagai tunjang ke arah perkembangan ilmu dan ciptaan yang canggih serta terkini.

Sejajar aspirasi dan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), keseimbangan peranan pensyarah dan penyelidik di IPT penting dalam memenuhi tuntutan pengembangan ilmu serta melahirkan graduan cemerlang. Di negara maju, ahli akademik mempunyai hubungan yang ketara di antara pertumbuhan kegiatan penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan.

Namun pencapaian pengkomersialan hasil penyelidikan negara ini yang diilhamkan di kalangan ahli akademik masih rendah dengan sasaran lima peratus pada 2010 dan 10 peratus menjelang 2020.

Seperti yang ditekankan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada era globalisasi dengan persaingan baru yang begitu drastik, landskap pengajian tinggi perlu diubah dalam semua aspek mencakupi kualiti, inovasi serta kecemerlangan. Tenaga akademik juga sewajarnya mampu menghadapi cabaran termasuk bagaimana untuk memobilisasi dan menggunakan secara sepenuhnya segala potensi dan kepakaran setiap ahli akademik yang ada di negara ini bagi tujuan pencapaian objektif berkenaan.

Itulah sebabnya dalam ucapan pada majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2008, baru-baru ini, beliau memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa mencari jalan menentukan semua ahli akademik mempunyai tahap motivasi yang tinggi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai 'panglima perang' dalam kebanyakan matlamat PSPTN.

Mengikut rekod Jabatan Pengajian Tinggi sehingga Jun lalu, 12,523 penyelidikan dilakukan oleh ahli akademik di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan daripada jumlah itu, 4.4 peratus atau 543 hasil penyelidikan dikomersialkan dan 313 produk lagi berpotensi.

Ada antara produk itu yang dikomersialkan itu dijual di seluruh dunia termasuk di negara Asia, Amerika Syarikat dan Asia Barat. Justeru, AAN yang turut mempunyai kategori inovasi dan pengkomersialan produk, diharap dapat menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi serta pengkomersialannya di negara ini. Bagaimanapun pemenang kategori berkenaan berjaya menghasilkan produk yang baik, malah berjaya menjana RM20 juta pendapatan daripada hasil penyelidikan.

"Pencapaian ini perlu dijadikan teladan kepada ahli akademik yang lain serta menjadi bukti bahawa ahli akademik bukan saja cemerlang dan kaya dengan ilmu, dihormati masyarakat malahan turut mendapat faedah ekonomi secara langsung hasil kecemerlangan itu," kata Mohamed Khaled.

Sehubungan itu, pihak pengurusan IPT wajar membangunkan satu kerangka komprehensif untuk mendapatkan ahli akademik yang cemerlang berkhidmat di universiti masing-masing. Ia boleh dimulakan dengan mendapatkan pelajar cemerlang untuk menyertai kerjaya akademik. Pada masa sama, usaha perlu dilakukan dalam membantu perkembangan kerjaya ahli akademik sedia ada selari dengan perkembangan institusi dan sektor pengajian tinggi.

Proses pengkayaan ilmu perlu dijalankan secara berterusan supaya sentiasa relevan dengan perkembangan ilmu semasa. Ia sejajar teras PSPTN yang menetapkan supaya semua IPTA mempunyai pelan tindakan tertentu menjelang 2010, iaitu:

# Pelan Pembudayaan dan Kesarjanaan Tenaga Akademik bagi menambah baik tanggapan umum terhadap golongan akademik sebagai pusat pembangunan budaya intelektual dan kesarjanaan;

# Pelan Pengurusan Tenaga Akademik bagi memperkasakan mereka di mana tenaga kerja perlu mempunyai standard dan kualiti yang tinggi di IPT masing-masing;

# Pelan Penghargaan dan Pengiktirafan Tenaga Akademik sebagai usaha untuk menggalakkan pembangunan profesional golongan itu; dan

# Pelan Pengukuhan Wibawa, Integriti dan Profesionalisme Tenaga Akademik dalam usaha mempertingkatkan kredibiliti.

Pada masa sama, empat jawatankuasa terdiri daripada kalangan tenaga akademik berpengalaman membantu menghasilkan kajian penyelidikan berkaitan pelan tindakan di bawah Teras Empat PSPTN itu. Peruntukan kewangan untuk jawatankuasa menghasilkan kajian penyelidikan yang dijangka siap pada akhir tahun ini. Melalui kajian ini juga Indeks Kesarjanaan akan dibangunkan untuk menentukan kriteria standard seseorang sarjana sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan awam terhadap kredibiliti akademik.

0 comments: