Jamal ohh Jamal

Jamal ohh Jamal

Penyanyi popular Jamal Abdillah yang diberi jolokan Raja Pop Malaysia melalui detik-detik jatuh bangunnya sepanjang tiga dekad menceburi bidang seni suara.

Beliau pernah berada di puncak dan pernah juga tersungkur dengan masalah peribadinya iaitu penagihan dadah. Bukan itu sahaja yang menggemparkan tentang Jamal. Tiga perkahwinannya berakhir dengan perceraian.

Kalau sebarangan artis mungkin sudah rebah dan terus lenyap. Tetapi Jamal, di sebalik sisi-sisi malap kehidupannya, masih berupaya bertahan dalam dunia seni tanah air.

Berdasarkan pengamatan Awang yang beberapa kali berbual panjang dengan beliau, Jamal percaya sentiasa ada peluang untuknya kembali memperbetulkan diri. Satu dua kesilapannya tidak harus menenggelamkan segala kebaikan dan sumbangan beliau selama ini.

Ternyata usaha terbaru beliau untuk memberi impak menerusi konsert Jamal... Seniman Kembara di Istana Budaya, membuahkan hasil.

Rasanya belum ada mana-mana artis tempatan mengadakan persembahan solo lima malam berturut-turut tetapi Jamal mampu lakukannya.

Setiap malam beliau menyanyikan 35 lagu (hampir kesemuanya bernada tinggi) secara berterusan dalam konsert selama dua setengah jam yang meliputi segmen teater muzikal dan konsert. Namun Jamal, 50, tetap bertenaga dan fokus.

Kebolehannya berlakon dalam segmen teater yang mengisahkan perjalanan hidupnya, menarik perhatian. Tetapi yang lebih hebat ialah kekuatan vokal dan persembahan nyanyiannya menyebabkan penonton merasa tidak puas dan mahu beliau menyanyikan banyak lagu lagi.

Sebahagian penonton sebak dan menangis terutama ketika Jamal menyanyikan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang dedikasi untuk arwah ayahnya. Itulah Jamal, seorang yang berperwatakan sederhana dan pemalu tetapi dinobatkan penyanyi yang hebat.

Biarpun tanpa penaja utama, Jamal membuktikan sekali lagi, beliau mampu menjayakan konsert itu. Ketika ada penyanyi popular lain terpaksa menangguhkan konsert dalam keadaan ekonomi suram sekarang, beliau sebaliknya sudah memperoleh keuntungan.

Kepada mereka yang senasib dengan Jamal dan sesiapa sahaja yang memerlukan peluang kedua, melangkahlah ke hadapan dengan penuh yakin. Barang yang lepas jangan dikenang. Kalau dikenang meracun diri...

0 comments: