Apabila Clinton berjumpa Kim Jong Il

Apabila Clinton berjumpa Kim Jong Il

Pembebasan dua wartawan Amerika Syarikat (AS) yang ditahan di Korea Utara memberikan satu isyarat baru dalam hubungan antara kedua-dua negara tersebut. Bekas Presiden AS, Bill Clinton dan bekas Naib Presiden Al Gore telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pyongyang untuk berbincang sekaligus menziarahi pemimpin komunis Kim Jong Il yang sedang tenat.

Euna Lee dan Laura Ling yang ditahan sejak Mac lalu adalah wartawan stesen televisyen milik Al Gore, Current TV yang berpejabat di San Francisco. Mereka ditahan di sempadan Korea - China atas tuduhan menceroboh dan boleh dihukum penjara selama 12 tahun.

Episod ngeri kedua-dua wartawan itu sudah berakhir. Mengikut perancangan, mereka sepatutnya dihantar ke kem buruh untuk menjalani hukuman kerja berat. Di sebalik episod pembebasan itu, AS dan Korea Utara mencipta satu episod baru mengenai hubungan yang sebelum ini sentiasa tegang.

Hubungan Korea Utara dengan AS tidak pernah aman. Keangkuhan Korea Utara yang terus membangunkan loji senjata nuklear mencetuskan ketegangan di rantau Asia. Malah Korea Utara juga tidak pernah memberikan kerjasama kepada Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu nuklear. Sebaliknya membuat ujian peluru berpandu termoden sebagai provokasi dan serangan psikologi kepada AS.

Kunjungan untuk membebaskan kedua-dua wartawan AS itu menjadi pencetus kepada satu perubahan geopolitik yang besar di rantau Asia khususnya dalam hubungan AS dan Korea Utara selepas ini. Tugas Clinton dan Al Gore, kedua-duanya dari parti Demokrat mendapat restu Presiden Barack Obama. Tugas yang lebih besar ketika keadaan kesihatan Kim Jong Il yang tenat ini ialah mendekati negara komunis itu yang akan mendapat pemimpin baru, Kim Jong Un iaitu anak lelaki ketiga Kim Jong Il.

Selepas era Kim Jong Il, pemimpin baru yang menggantikan tempatnya dilihat lebih toleran dengan keadaan politik global. Kedegilan dan keangkuhan Kim Jong Il dijangka berakhir dan inilah peluang untuk AS mendekati Korea Utara. Sejak diserang strok, menderita penyakit kencing manis dan masalah jantung yang teruk sejak tahun lalu, ini adalah kali pertama Kim Jong Il menerima kunjungan pemimpin Barat.

Walaupun misi Clinton dan Al Gore dianggap usaha diplomatik tidak rasmi, tetapi dari sudut lain kejayaan kunjungan itu memberi petunjuk baru dalam hubungan AS - Korea Utara. Sejak selebih setahun lalu, Kim Jong Il hilang dari media. Kemudian tercetus pelbagai spekulasi mengenai keadaannya dan tidak lama selepas itu agensi berita Korea Utara menyiarkan keadaan Kim Jong Il yang "sihat". Ini memberi mesej bahawa pemimpin itu masih berupaya dan berkuasa. Realitinya Kim Jong Il memang sudah tidak berupaya.

Sepatutnya selepas runtuh Kesatuan Soviet dan negara-negara blok komunis 18 tahun lalu, Korea Utara telah ikut runtuh. Tetapi keadaan ini tidak berlaku, AS pula kelihatan gagal memberi tekanan yang secukupnya kepada Korea Utara yang satu-satunya negara komunis yang masih berpengaruh.

Nuklear

AS telah membangkitkan isu senjata nuklear sehingga mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iraq yang didakwa membangunkan loji senjata nuklear. Tetapi Korea Utara tidak pernah tergugat. Pada era bekas Presiden George W. Bush, AS mengancam menyerang Iran atas alasan yang sama. Ironiknya ketika itu Korea Utara membuat ujian peluru berpandu sebagai membuktikan kekuatan senjata nuklear mereka.

Apakah sekarang masa terbaik untuk AS mendekati Korea Utara pada saat rakyat bakal kehilangan pemimpin agungnya? Korea Utara juga pada masa yang sama menjadi faktor bagi Rusia dan China untuk mengimbangi pengaruh AS. Korea Selatan ternyata berada di bawah pengaruh AS dan sekiranya Korea Utara juga jatuh, ini bererti kuasa AS kembali mendominasi seluruh Korea. Adakah kekuatan Korea Utara memberikan refleksi pengaruh Rusia sebagai kuasa besar ketika ini?.

Rencana The Bigger Threat? (Time 13 Januari 2003) misalnya telah memfokuskan kepada pelan pembangunan senjata nuklear Korea Utara yang dianggap sangat bahaya. Fokus yang menyelongkar kepesatan pelan senjata nuklear Korea Utara itu dibuat selepas AS dan sekutunya menyerang Iraq.

Time mengemukakan banyak fakta kenapa Korea Utara dilihat sangat berbahaya. Persoalan ini ditimbulkan setelah AS gagal menemui pusat pembangunan senjata nuklear Iraq selepas Iraq hancur dalam eksperimen perang digital "doktrin Rumsfeldisme". Tetapi pada masa yang sama AS tidak menghiraukan Korea Utara yang mencetuskan kebimbangan dan ketegangan di rantau Asia.

Korea Utara ternyata jauh lebih bahaya daripada Iran. Negara itu telah membangunkan peluru berpandu jarak dekat, sederhana dan jauh. Scud B misalnya boleh mencapai jarak hingga 300 kilometer atau sebahagian daripada Korea Selatan, Scud C sejauh 550 kilometer yang boleh sampai ke seluruh Korea Selatan dan sebahagian Jepun. Peluru berpandu Nodong pula mampu menepati sasaran sejauh 1,300 kilometer iaitu seluruh Korea Selatan dan sebahagian besar Jepun.

Peluru berpandu Taepo Dong-1 sejauh 2,000 kilometer. Sementara Taepo Dong-2 mampu mencapai 6,000 kilometer atau sampai ke Alaska dan sebahagian Hawaii. Program pembangunan senjata nuklear Korea Utara juga dalam pembikinan Taepo Dong-2 (peringkat ketiga) yang dijangka siap pada 2015. Peluru berpandu ini yang beratnya hanya 200 kilogram mampu mencapai 12,000 kilometer atau mencecah AS.

Kalau benar AS prihatin untuk membanteras negara yang menjadi paksi keganasan, sasarannya bukanlah Iran dan juga Iraq. AS perlu menghala serangan ke Korea Utara yang ternyata sangat bahaya kepada dunia. Tidak ada negara yang lebih berbahaya daripada Korea Utara apabila pelan pembangunan senjata nuklear begitu agresif.

Maka kunjungan orang penting AS kepada Kim Jong Il yang sedang tenat, sekaligus membincangkan pembebasan dua wartawan AS memberikan gambaran wujudnya diplomasi antara AS dan Korea Utara. Kunjungan Clinton terhadap Kim Jong Il mengimbaskan kembali "permainan bahaya" jarak jauh kedua-dua pemimpin ini ketika Clinton di Rumah Putih selama lapan tahun. Sikap berlembut dan penuh diplomasi oleh AS ternyata membawa kepada pembentukan geopolitik baru di rantau Asia setelah pemimpin baru memegang tampuk kuasa Korea Utara.

0 comments: