Biarkan Indonesia henti hantar amah

Biarkan Indonesia henti hantar amah

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

BENARKAH kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia hanya berlaku di negara ini? Adakah negara-negara lain yang juga menggunakan khidmat amah dari republik itu berhati 'malaikat' sehingga tidak seorang pun daripada kalangan mereka mengalami penderaan secara mental mahu pun fizikal?

Persoalan itu mesti dijawab dengan ikhlas oleh pihak pemerintah di negara jiran. Saya sendiri pernah menemu ramah seorang pembantu rumah Indonesia yang pernah berkhidmat di Arab Saudi. Jalan ceritanya penuh air mata.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah di negara itu atas tuduhan cuba membunuh. Tindakannya itu didorong oleh tekanan perasaan lantaran tidak sanggup lagi didera mental dan fizikal oleh majikannya. Dia juga hampir menjadi mangsa rogol.

Menurut pembantu rumah yang kini 'bernaung' di bawah majikan di negara ini, dia tidak bersendirian melalui penderitaan itu. Banyak lagi rakannya yang didera.

Begitu juga dengan nasib pembantu rumah Indonesia yang berkhidmat di negara-negara lain. Cuma trauma dan kisah duka yang mereka alami tidak mendapat liputan media seperti di Malaysia.

Bagaimanapun keprihatinan pihak berkuasa dan media di negara ini terhadap nasib segelintir pembantu rumah Indonesia tidak mendapat tempat di hati pemerintah republik itu.

Tiada ucapan terima kasih sebaliknya mereka membalasnya dengan ugutan. Indonesia akan menghentikan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia - angkuh dan keras bunyi amaran mereka itu.

Hakikatnya, majikan di negara ini amat bertolak ansur. Pihak berkuasa di negara jiran sendiri amat arif bahawa pembantu rumah yang dihantar ke Malaysia paling rendah grednya. Mereka sekadar lulus sekolah asas. Tidak kurang yang buta huruf.

Lantas tahap kesabaran manusia berhadapan dengan amah yang perlahan pergerakannya dan lambat pemahamannya tentulah tidak setinggi majikan di Singapura, Hong Kong atau Arab Saudi yang mendapat khidmat amah kelas pertama.

Tetapi majikan di Malaysia masih bertolak ansur. Bayaran RM5,000 ke atas untuk menggaji amah yang berkebolehan kebanyakan tidak berbaloi dengan amah yang dihantar kepada mereka.

Apatah lagi jika wujud perbezaan bahasa dan agama. Tentunya akan timbul pelbagai cabaran dan ketidakserasian sehingga membawa kepada penderaan.

Tetapi adakah puncanya hanya pada majikan di negara ini? Sedangkan pembantu rumah menyatakan kesediaannya berkhidmat dengan majikan yang bukan sebangsa dan seagama.

Dan bukan semua majikan kategori itu lepas laku dengan memaksa amah mereka memakan babi atau memandikan anjing atau melarang bersolat. Ramai juga yang prihatin, cuma apabila satu kes mendapat perhatian meluas, maka semua majikan di Malaysia dibebankan dengan tuduhan yang sama.

Sebab itu dalam hal ini kerajaan kita mesti bertegas. Jika benar keinginan pemerintah Indonesia mahu menghentikan penghantaran amah ke negara ini, maka kita akurlah dengan kehendak mereka.

Lihatlah sejauh mana rakyat negara itu yang tertekan dari segi ekonominya mampu mengekang hasrat menyeberang ke negara ini. Lantaran bukan semua rakyat Indonesia berpelajaran tinggi untuk dihantar ke negara lain yang sebenarnya lebih cerewet dan pelbagai syaratnya.

Malaysia mesti menetapkan pendirian. Segala syarat baru yang ditetapkan kelak tidak boleh dipersetujui begitu sahaja. Malaysia mesti menunjukkan ketegasan. Dalam hal ini kebajikan majikan di negara ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

0 comments: