Baitulmal kebangsaan perlu disegera untuk pertingkatkan ekonomi ummah

Baitulmal kebangsaan perlu disegera untuk pertingkatkan ekonomi ummah

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my

MEMPERKASA Baitulmal bukan hanya bertumpu kepada pengagihan dan penerimaan zakat semata-mata, malah mampu melindungi kepentingan dan membangunkan ekonomi umat Islam. - Gambar hiasan

Usaha penubuhan usah dipolitikkan, kesungguhan serta keikhlasan pihak terbabit diseru

WALAUPUN isu bagaimana untuk memperkasakan peranan Baitulmal sebagai institusi harta dan kewangan induk umat Islam di negara ini sudah lama diperkatakan, sama ada melalui pelbagai persidangan dan seminar, kertas kerja serta buku-buku ilmiah, ia masih lagi belum menjadi kenyataan.

Antara sebabnya ialah Baitulmal terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri atau lebih tepat lagi di bawah Majlis Agama Negeri, yang dinaungi oleh Raja atau Sultan masing-masing. Kerana itu, jelas terlihat perbezaan tahap pencapaian di antara Baitulmal yang ada di setiap negeri sekarang, bergantung kepada taraf hidup umat Islam di negeri itu, sikap majlis agama dan mutu pentadbiran negeri masing-masing.

Ada Baitulmal negeri yang dilihat cukup aktif dengan dana dan asetnya bernilai berbilion-bilion ringgit serta mampu menyaingi institusi kewangan konvensional, tetapi di kebanyakan negeri kegiatan Baitulmalnya lebih bertumpu kepada penerimaan dan pengagihan zakat semata-mata.

Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika merasmikan Konvensyen Baitulmal Kebangsaan pada Rabu lalu mencadangkan supaya diwujudkan sebuah entiti seumpamanya pada peringkat kebangsaan bagi menyelaraskan aset umat Islam, timbul harapan baru untuk melihat sebuah institusi yang benar-benar memainkan peranan itu tanpa mengenal batas sempadan negeri.

Memang konsep sebenar Baitulmal mencakupi peranan yang lebih luas jika dibandingkan dengan konsep perbendaharaan negara. Namun, skop pentadbiran dan penyelarasan Baitulmal di negara ini agak terhad kerana ia hanyalah sebuah institusi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Walaupun Majlis Agama Islam diberi kuasa untuk menguruskan Baitulmal, masih banyak faktor lain yang menjadi kekangan seperti kekurangan tenaga profesional, sumber dana dan dasar pentadbiran pada peringkat negeri. Keperluan sebuah institusi peringkat kebangsaan yang mampu menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi ummah semakin diperlukan sekarang kerana umat Islam kini menerima pelbagai cabaran sama ada dari dalam dan luar negara.

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan selama dua hari itu berakhir dengan enam resolusi, termasuk memperkasa peranan Baitulmal sebagai pemenang amanah khazanah harta umat Islam dengan lebih bersistematik menerusi penubuhan Permodalan Baitulmal Kebangsaan (PBK).

Antara resolusi lain ialah menjadikan Baitulmal sebagai dana awam yang mempunyai hak untuk bertindak bagi pihak masyarakat Islam untuk melindungi kepentingan dan membangunkan ekonomi umat Islam di negara ini; meningkatkan pelaksanaan wakaf tunai dan dijadikan sebagai sumber utama serta menerbitkan sukuk dan juga instrumen kewangan lain dalam jumlah besar bagi mengukuhkan dana PBK; melahirkan modal insan berintegriti dan profesional ke arah meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dalam pengurusan harta benda Baitulmal; membabitkan cerdik pandai di kalangan pihak swasta dan awam serta individu bagi membantu merancang dan menggerakkan aktiviti sosioekonomi ummah.

Kita cuma berharap semua resolusi itu tidak hanya tinggal resolusi seperti lumrah kepada mana-mana persidangan dan konvensyen di negara ini. Apa yang penting ialah tindakan untuk memastikan resolusi itu menjadi kenyataan. Yang diperlukan ialah kesungguhan dan keikhlasan pihak-pihak yang terbabit, terutama kerajaan negeri.

Dari segi kepakaran dan sokongan Kerajaan Pusat, ia tidak menjadi masalah jika kejayaan institusi Islam lain, khususnya Tabung Haji dijadikan ukuran. Kita cuma berharap dalam senario politik semasa negara sekarang, jangan usaha murni ini juga turut dipolitikkan.

Cukuplah umat Islam di negara ini berpecah dengan soal-soal politik dan perebutan kuasa, tetapi dalam hal yang membabitkan masa depan ekonomi ummah, kita perlu berani dan ikhlas untuk sekata. Kita tidak perlu menoleh kepada sejarah kegemilangan Islam untuk membuktikan bahawa institusi berasaskan agama mampu memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekonomi ummah.

Lawatan penulis ke Gereja Mormon di Salt Lake City, Utah beberapa tahun lalu mendapati sistem ekonomi mazhab terpencil Kristian itu, yang menyamai sistem zakat dalam Islam, berjaya menjadikan masyarakat minoriti di Amerika Syarikat itu berdikari dari segi ekonomi.

Konsep ekonomi Mormon, yang mereka dakwa berasaskan ajaran kitab suci agama itu, mengutamakan pemilikan ummah (penganut mazhab itu). Mengikut konsep itu, setiap ahli gereja (penganut Mormon) menyerahkan semua harta dan lebihan pendapatan mereka kepada gereja, yang kemudian mengagihkan semula kepada setiap sekeluarga pada kadar yang hanya cukup untuk menampung kehidupan.

Walaupun konsep itu tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya, nilai hidup bermasyarakat, kerjasama dan fungsi gereja memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi Mormon. Setiap penganut Mormon yang berkemampuan, menyerahkan 10 peratus daripada pendapatan kepada gereja dan dua peratus kepada pihak berkuasa, tetapi mereka masih memiliki harta peribadi.

Pada peringkat awal penempatan penganut mazhab itu di Utah, gereja menggunakan wang berkenaan bagi membina sistem perairan untuk pertanian dan kemudian mewujudkan industri kecil. Apabila ekonomi AS berkembang dan bertukar menjadi kuasa industri, ekonomi Utah bukan saja turut maju malah majoriti penganut Mormon menyertai sektor industri dan perdagangan walaupun pertanian terus diberi perhatian.

Hari ini, walaupun tiada siapa mengetahui kekayaan sebenar gereja Mormon, mereka menguasai sebahagian hartanah di barat dan utara AS, termasuk ribuan hektar ladang ternakan lembu tenusu, serta mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang seperti perbankan, syarikat insurans, perhotelan (rangkaian Marriot), akhbar dan stesen radio.

Malah, pakaian lusuh (bundle) yang dijual di pasar malam negara ini, dipercayai berasal daripada skim bantuan gereja itu untuk penduduk negara miskin, tetapi diseleweng oleh sindiket antarabangsa.

Kita tidak perlu mengikut konsep ekonomi Mormon untuk meningkatkan ekonomi ummah kerana sistem zakat dalam Islam sudah cukup sempurna. Yang kita perlu cemburu ialah kesungguhan mereka melaksanakan sistem itu secara berkesan sehingga manfaatnya bukan saja dinikmati oleh penganut mazhab itu, malah oleh umat Islam sendiri di negara miskin dan yang mengalami sengketa melalui skim bantuan kemanusiaan gereja itu, yang juga dakwah tersembunyi mereka ke seluruh dunia.

0 comments: