Minda Pengarang: Polemik hakim sebat pesalah perlukan penyelesaian bijaksana

Minda Pengarang: Polemik hakim sebat pesalah perlukan penyelesaian bijaksana

RAMAI pihak termasuk di kalangan pengamal undang-undang terkejut dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin, Jumaat lalu, berhubung kes seorang pemuda berusia 20 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan merompak. Pemuda itu dikenakan hukuman 10 sebatan di premis mahkamah pada 15 Julai ini dengan Zainal Abidin sendiri akan melaksanakan hukuman itu, sambil disaksikan ibu bapa pesalah. Dalam keputusan yang jarang dibuat itu, Zainal Abidin menjelaskan hukuman sebat menggunakan 10 rotan halus yang disediakan mahkamah akan dilaksanakan terhadap Muhammad Syafiq Abd Wahab, 20, seperti diperuntukkan Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah. Bagaimanapun, ada yang menyanggah dan ada pula yang memuji tindakan hakim itu. Bagi mereka yang tidak bersetuju, mereka berpendapat hakim mengadili sesuatu kes di mahkamah dan menjatuhkan hukuman, tidak wajar bertindak sebagai pelaksana hukuman itu kerana ia bercanggah dengan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, kehakiman dan legislatif. Seperti kata Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan, tindakan merotan pesalah tidak wajar dilakukan seorang hakim kerana beliau tidak boleh memainkan dua peranan sekali gus, iaitu sebagai hakim dan penghukum. Difahamkan, hukuman sedemikian pernah dijatuhkan dan dikendalikan 20 tahun lalu oleh seorang majistret, tetapi membabitkan kesalahan mengikut Akta Juvana. Memang ada peruntukan mengikut Akta Juvana yang membenarkan hakim berbuat demikian dan kes seperti itu pernah berlaku, tetapi tidak mendapat publisiti.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia pula berpendapat tindakan Hakim Mahkamah Sesyen itu sebagai pembaharuan dalam sistem kehakiman negara yang mampu menjadi teladan menghindari golongan muda terjebak dengan jenayah. Persatuan itu berpendapat tindakan berkenaan wajar kerana ia bergantung kepada budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman, selagi termaktub dalam undang-undang. Malah, ada yang berpendapat tindakan hakim itu wajar diteruskan kerana ia mampu memberi impak besar dalam menangani jenayah. Dalam hal ini, kita berharap pihak pentadbir perundangan negara, terutama Ketua Hakim Negara meneliti percanggahan pendapat berhubung isu itu dari sudut perundangan dan hak asasi supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Hakikatnya, rotan yang disediakan di penjara dan mahkamah adalah berbeza. Tambahan pula, hakim tidak dilatih untuk menyebat atau merotan pesalah kerana kita semua sedia maklum, memang ada pegawai khusus dilatih untuk melaksanakan hukuman seumpama itu. Persoalannya, adakah ada keperluan bagi hakim menjadi penghukum. Memang benar Seksyen 293(1) (c) Kanun Acara Jenayah memperuntukkan hukuman merotan dalam mahkamah, tetapi apakah wajar hakim sendiri melakukannya? Semua ini perlu diteliti kerana akan pasti ada yang bertanya apa akan jadi jika ada hakim yang mahu melaksanakan hukuman lain di mahkamah? Kita berharap pihak yang berkaitan menyelesaikan kontroversi ini dengan bijaksana dan rasional.

0 comments: