Soal Jawab: Kepemimpinan ulama wajar terajui Pas

Soal Jawab: Kepemimpinan ulama wajar terajui Pas



Mohamed Daud

Usaha perkasa parti berlandaskan Islam perlu dikendalikan tokoh beriman, berilmu

SECARA umum, boleh Datuk jelaskan apa yang dimaksudkan kepemimpinan ulama dalam Pas?

Dalam Pas yang memimpin itu mesti ulama, sekurang-kurangnya presiden dan timbalannya. Kalau orang bukan ulama pegang jawatan nombor satu dan dua, ertinya bukan kepemimpinan ulama, sama seperti zaman Datuk Mohd Asri Muda dulu iaitu beliau seorang nasionalis. Kepemimpinan Pas mesti berlandaskan kepada nas ulama yang membuat syarat berdasarkan fakta sejarah. Mengikut fikah, syarat pemimpin mesti alim dan mujtahid, tetapi kalau tidak ada kedua-dua sifat itu, alim sajalah sebab ulama ini berperingkat. Zaman dulu selepas Nabi Muhammad SAW wafat, ulama mujtahid memimpin seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Othman Al-Affan, Saidina Ali Abi Talib dan Muawiyah. Di Sepanyol peringkat awalnya ulama memerintah, tetapi kemudian orang jahil naik hingga akhirnya seluruh negara hancur dan tidak ada lagi orang Islam. Begitu juga Turki, pada awalnya dipimpin ulama seperti Mohamad Al-Fateh tetapi apabila kuasa diberi kepada pemimpin jahil yang hanya memikirkan pembangunan, orang Islam tidak boleh berbuat apa-apa dan ulama dipinggirkan.

Kenapa Datuk mahu Pas kekal dengan ulama, apa yang dibimbangkan kalau Pas diterajui bukan ulama?

Saya bimbang kalau diambil alih orang yang tak reti agama, Pas akan berubah. Pas sudah mengalami pengalaman pahit pada masa Asri dulu iaitu pimpinan kebanyakannya bukan ulama walaupun sesetengahnya ada asas agama. Jadi timbul puak intelek dan bukan intelek hingga Pas hampir hancur. Selepas itu, kita dipimpin Yusof Rawa (Allahyarham), Datuk Fadzil Noor (Allahyarham) dan sekarang Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), tradisi di bawah ulama ini mesti dijaga.

Dewan Pemuda Pas Kelantan menyifatkan kenyataan Datuk kurang tepat kerana dakwa mereka konsep ulama dalam Pas bukan berkaitan individu, tetapi institusi?

Tidak... institusi ialah Majlis Syura Ulama. Orang yang memimpin itu mesti ulama, baru dia tahu halal haram. Seperti di Kelantan, kita boleh bertahan kerana Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ulama dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob pun ulama. Kepemimpinan ulama itu memang kita perlukan.

Dulu tidak berlaku percanggahan pendapat berhubung siapa yang perlu menerajui Pas sama ada ulama atau profesional, tetapi ia berlaku sekarang dan bukankah ini menunjukkan Pas kini lebih terbuka dan diterima semua golongan?

Tak mengapa, kita tak halang, kejar dan hambat dia (golongan profesional), dalam Pas kita nak presiden, timbalan presiden dan seorang daripada tiga naib presiden biar ulama. Jawatan yang lain tak apa, yang penting teraju utama Pas mesti ulama. Sama seperti Saidina Omar dulu, dia memimpin tetapi pembantunya banyak bukan ulama, tak ada masalah.

Adakah nanti Pas akan dianggap sebagai parti yang tidak demokrasi?

Kita tetap demokrasi, cuma pimpinan atas kena ulama. Jawatan lain seperti dalam Dewan Pemuda dan Muslimat nak lantik sesiapa pun tak apa. Kalau pemimpin tak reti Islam, bagaimana dia nak melaksanakan Islam pada masa akan datang? Mungkin pilihan raya akan datang Pas boleh memerintah bersama Parti Keadilan Rakyat... habis tu siapa nak teraju kalau semua jahil belaka.

Perlembagaan Pas tidak menyebut presiden dan timbalan presiden mesti ulama?

Kita boleh pinda... saya sendiri akan bawa perkara ini pada Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 10 Mei ini (hari ini), kemudian kalau dipersetujui akan dibawa pula ke Mesyuarat Jawatan kuasa Agung dan akhirnya ke Muktamar. Sama ada nak diadakan Muktamar Khas atau Muktamar Tahunan biasa terpulanglah. Kita nak pinda Perlembagaan iaitu presiden, timbalan dan seorang naib presiden mesti ulama.

Adakah Datuk sudah memaklumkan cadangan meminda perlembagaan parti kepada pemimpin Pas lain?

Setakat ini belum lagi, saya tak tahu pandangan orang lain macam mana, tetapi bagi saya nak memperkemas dan memperkasakan pimpinan Pas, mesti pinda Perlembagaan. Kalau tidak, pada masa akan datang wujud perbalahan.

Bagaimana jika bukan ulama dipilih bagi memegang jawatan nombor satu atau dua parti pada muktamar nanti?

Nak buat macam mana, kena terimalah hakikat yang berlaku. Sejarah dulu akan berulang, sebab itu Nabi Muhammad SAW ketika hendak wafat, Baginda minta Saidina Abu Bakar menjadi imam kerana dia orang alim, Baginda tak minta orang lain jadi imam.

Ada yang berpendapat golongan profesional dalam Pas dapat menarik sokongan lebih ramai golongan muda?

Belum tentu lagi, Tok Guru (Nik Abdul Aziz) orang lebih berminat pada dia. Cuma ulama perlu diberi peluang, kalau tidak orang tidak nampak kewibawaan dan kebolehan seseorang ulama. Kalau ada orang profesional dan pada masa sama dia juga seorang ulama tak apa, takut tak ada iaitu profesional tetapi dia bukan ulama.

Dalam Pas sekarang, adakah Datuk melihat ada golongan disebut sebagai profesional ulama?

Setakat ini ada sebahagian golongan profesional itu ulama, sebahagian lagi tidak. Kalau dia pakar ekonomi, dia cuma tahu hal ekonomi dan tidak pakar dalam agama. Apa yang penting, kalau kelemahan yang ada pada satu pihak, hendaklah diperkuatkan oleh pihak yang lain. Kalau ulama jadi pemimpin, di bawah banyak lagi jawatankuasa boleh membantu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyebut ada pihak dalam Pas yang mahukan jawatan selepas Pas berada dalam kedudukan yang kuat?

Itulah... dulu waktu Pas lemah dan jatuh masa Berjasa, Asri (Datuk Asri Muda) minta ulama buat kertas kerja bagaimana nak menaikkan semula Pas. Sebelum pilihan raya umum lalu, Pas memerintah Kelantan dengan kelebihan satu kerusi, itu pun dengan dua undi, Tok Guru minta ulama buat kertas kerja bagaimana nak mempertahankan Kelantan. Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya, selain saya juga tidak menafikan ada faktor lain yang membantu. Jadi apabila Pas naik, nak tolak kepemimpinan ulama tak bolehlah. Jangan apabila parti kuat, ulama diketepi dan dipinggirkan. Kita naik kerana kepercayaan orang ramai terhadap ulama, jatuh bangun Pas selama ini pun di bawah ulama. Kalau Pas diketuai oleh semua orang profesional, tak ada bezalah parti ini dengan Umno.

Ada pihak dikatakan tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Pas sekarang kerana dakwaan wujudnya 'hubungan sulit' Pas-Umno?

Benda ini tak boleh nak tuduh sebab segala keputusan besar dibawa pada Mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas, Majlis Syura Ulama dan Muktamar. Apa keputusan yang dibuat mesti melalui proses ini, jadi tak timbul isu ini. Apa pun Hadi sebut bukan keputusan dia seorang, saya sebagai ulama pun tak boleh buat keputusan seorang diri.

Ke mana hala tuju Pas sekarang, masih tetap berhasrat menubuhkan negara Islam seperti dilaungkan sebelum ini?

Kita masih berpegang kepada hasrat itu dan sebab itu saya kata dalam menuju negara Islam mesti pimpinan Pas dipercayai orang serta boleh melaksanakan Islam. Ini hanya boleh dilakukan jika dipimpin ulama. Pakistan dulu selepas kemerdekaan, ubah Perlembagaan 100 peratus kepada Islam tetapi oleh kerana pemimpinnya bukan ulama, ia tak berlaku.

Datuk sudah menyatakan hasrat tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini hanya selepas sepenggal menerajui Dewan Ulama?

Kesihatan tidak mengizinkan saya lebih cergas seperti dulu, pilihan raya umum akan datang sudah semakin dekat. Saya rasa lebih baik berundur dan beri kepada orang lain yang dipercayai dan diterima. Sebelum ini pun memang saya uzur tetapi kerana sebulat suara mahu saya memimpin, saya terpaksa terima.

Apa perancangan Datuk selepas ini?

Saya nak tumpu mengajar ilmu al-Quran dan penulisan.

Apa harapan Datuk pada muktamar nanti?

Saya dah cakap berkali-kali iaitu perwakilan kena berfikir dua kali untuk memilih pimpinan dan saya harap mereka pilih ulama.

0 comments: