Mas Selamat akhirnya kecundang

Mas Selamat akhirnya kecundang




Akhirnya setelah lebih setahun melarikan diri orang paling dikehendaki di Singapura, Mas Selamat berjaya ditangkap polis Malaysia lebih sebulan lalu. Dia ditangkap oleh polis Cawangan Khas Malaysia ketika sedang tidur di sebuah rumah kampung di Skudai Johor pada 1 April lalu.

Pastinya berita penangkapan ini menggembirakan kebanyakan penduduk Singapura terutamanya Perdana Menteri, Lee Hsien Loong yang mendakwa Mas Selamat sebagai musuh nombor satu di negara itu.

Berita penangkapan Mas Selamat bin Kastari ini yang juga Ketua Kumpulan Jemaah Islamiah (JI) Singapura telah menjadi tajuk berita utama bukan sahaja di Malaysia dan Singapura tetapi hampir di seluruh dunia.

Penangkapan semula Mas Selamat yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley di Singapura pada 27 Februari tahun lalu di mana dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sememangnya sesuatu yang tidak disangka-sangka.

Ini kerana setelah lebih setahun kebanyakan pihak telah membuat pelbagai andaian tentang Mas Selamat dan ada di antaranya beranggapan dia telah mati ketika sedang berenang menyeberangi Malaysia.

Namun dengan bantuan dan kecekapan polis Malaysia yang tidak pernah jemu menyiasat kes ini akhirnya penjenayah itu berjaya ditahan.

Mas Selamat dilahirkan pada 23 Januari 1961 di Kendal, Jawa Tengah dan pada awal tahun 1980 dia berpindah ke Singapura dan berkahwin di sana. Dia mempunyai lima anak hasil dari perkahwinan tersebut. Mas Selamat dipercayai menganggotai pergerakan Darul Islam satu pertubuhan di bawah JI pada tahun 1990-an. Pada 1992 dia dihantar ke Afghanistan untuk menjalani latihan selama setahun. Pada tahun 1998 dia mempelajari sistem kerajaan Taliban sebelum pulang ke Singapura dengan semangat yang kental untuk memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam.

Dia dilaporkan pernah menemui pemimpin tertinggi JI, Hambali dan membincangkan pelbagai rancangan untuk melancarkan serangan termasuklah merampas sebuah kapal terbang di Bangkok sebelum menghempaskan pesawat tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Mas Selamat berjaya melarikan diri dari Singapura pada 2001 sebelum pihak berkuasa melancarkan penangkapan besar-besaran dengan menahan 13 anggota JI pada Disember 2001.

Bagaimanapun Mas Selamat berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan beberapa peristiwa pengeboman pada 2001 dan 2002. Dia telah menukar identiti dengan menggunakan nama Edy Heriyanto.

Ketika dipenjarakan dia telah mendapat kecederaan yang mengakibatkan kakinya tempang selepas melompat dari bangunan tinggi ketika cuba melarikan diri. Dia kemudiannya dibebaskan pada 2005.

Bagaimanapun dia sekali lagi ditahan pada 20 Januari 2006 di Indonesia ketika melawat anaknya di sebuah sekolah agama. Singapura kemudiannya meminta supaya Mas Selamat diekstradisi dan dia kemudiannya diletakkan di bawah tahanan ISA.

Bagaimanapun berita penangkapan Mas Selamat ini pastinya tidak akan terhenti begitu sahaja. Seluruh dunia masih lagi ingat tentang peristiwa bagaimana dia melarikan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley yang terkenal dengan kawalan maksimum di Singapura.

Ketika kejadian itu kira-kira 4.05 petang, 27 Februari 2008, dia yang ditahan di pusat tahanan tersebut sejak Februari 2006 telah melarikan diri melalui tingkap bilik air ketika dibawa ke sebuah bilik untuk bertemu dengan ahli keluarganya yang melawatnya ketika itu.

Berenang

Adalah menghairankan Mas Selamat walaupun tempang kakinya telah dapat melarikan diri dari pusat tahanan yang terkenal dengan kawalan ketat.

Dia kemudiannya didakwa berenang dari Woodlands, Singapura dan telah pergi ke Ulu Tiram mencari Abdul Matin dan Johar Hassan yang menginap di sebuah kawasan perkampungan di Skudai yang dipercayai merupakan seorang anggota biasa JI.

Selepas berita Mas Selamat berjaya melarikan diri disedari pihak berkuasa Singapura terdiri dari Polis Singapura, Kontinjen Gurkha, Polis Unit Taktikal dan beberapa unit lagi menggerakkan usaha mencari di kawasan berhampiran pusat tahanan. Unit ini kemudiannya dibantu tentera Singapura yang bertindak mencari Mas Selamat di seluruh negara itu. Bagaimanapun operasi tersebut gagal mencari Mas Selamat yang didakwa bertindak bersendirian tanpa membawa sebarang senjata.

Menurut pihak berkuasa Singapura, kawalan keselamatan di pusat tahanan berkenaan adalah sangat ketat namun kemudiannya menyatakan kesilapan pihak keselamatan sebagai punca Mas Selamat berjaya melarikan diri.

Pusat tahanan tersebut dilengkapi dengan anggota yang berkawal lengkap bersenjata, pagar tinggi yang berduri dan unit kamera litar tertutup (CCTV).

Bagaimanapun kejadian sebegini adalah sesuatu yang sangat memalukan dan telah menjejaskan imej anggota keselamatan Republik itu. Malah lebih teruk lagi imej Singapura sebagai sebuah negara yang kawalan keselamatannya dianggap antara yang terbaik dunia terjejas teruk dan mengejutkan banyak pemerhati keselamatan Barat.

Dengan peristiwa itu, keselamatan di seluruh Singapura dipertingkatkan dan ini termasuklah di kawasan sekolah, pusat membeli belah dan kawasan perumahan. Pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia turut mengumumkan kerjasama bersama terutamanya di kawasan sempadan.

Malah amaran keselamatan segera di seluruh dunia atau amaran jingga (Orange Notice) dikeluarkan Interpol di seluruh 186 cawangannya di seluruh dunia atas permintaan Singapura. Ia bagaimanapun ditukar kepada amaran merah beberapa hari kemudian.

Poster dan gambar Mas Selamat telah diedarkan di seluruh Singapura termasuklah ditampal di stesen kereta api, bas, pusat membeli belah malah di sekolah untuk menyedarkan masyarakat tentang kehilangan Mas Selamat. Selain itu, tiga syarikat komunikasi Singapura bertindak menghantar khidmat pesanan multimedia (MMS) kepada 5.5 juta pelanggannya lengkap dengan gambar Mas Selamat.

Keadaan di Singapura ketika itu benar-benar digambarkan dalam huru-hara akibat dari terlepasnya penjenayah paling dikehendaki itu.

Pelbagai laporan dan pandangan telah dikeluarkan tentang di mana Mas Selamat berada selepas peristiwa itu. Ada yang berpandangan dia masih ada di Singapura, ada yang mengatakan dia berjaya melarikan diri ke Indonesia melalui bot laju. Namun laporan paling popular ialah dia berjaya berenang ke Malaysia dan ada yang percaya dia mati ketika sedang berenang ke Johor berikutan keadaan fizikalnya.

Berikutan rekodnya sebagai penjenayah paling merbahaya satu tawaran wang tunai sebanyak S$1 juta (RM2.39 juta) ditawarkan kepada mereka yang berjaya memberikan maklumat kepada pihak berkuasa. Tawaran wang tunai ini dipercayai diberikan oleh dua individu yang tidak mahu dikenali kepada Kementerian Dalam Negeri Singapura.

Timbalan Perdana Menteri, Wong Kan Seng tidak berapa lama kemudian mendedahkan, tingkap tandas yang tidak dipasang jeriji membolehkan Mas Selamat Kastari melepaskan diri tanpa memakai seluarnya.

Memanjat

Kan Seng ketika mengumumkan keputusan siasatan mengenai insiden memalukan itu memberitahu Parlimen, Mas Selamat mencampakkan seluarnya ke atas pintu bilik tandas sebelum melarikan diri mengikut tingkap.

Menurut beliau, Mas Selamat mungkin telah lama merancang untuk melarikan diri dan dua pengawal yang mengiringinya ke tandas telah “gagal dalam tugas mereka.”.

Namun beliau tidak pasti bagaimana Mas Selamat boleh melepasi pagar berlapis di sekeliling penjara itu tetapi berkata, lelaki itu mungkin “mengeksploitasi kelemahan” pada satu sebahagian pagar berkenaan.

Peristiwa ini turut mendapat reaksi mendalam dari bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew yang memberi amaran, Singapura perlu bersiap sedia menghadapi serangan jika Mas Selamat Kastari berjaya meninggalkan negara ini untuk menyertai semula rakan-rakannya di Indonesia.

Beliau memberi amaran, jika Mas Selamat dapat memasuki Indonesia dan menyertai semula rangkaian lamanya, “Singapura perlu berwaspada terhadap sebarang serangan merbahaya pada masa depan”.

Dalam menangani kes membabitkan orang paling merbahaya ini, pihak berkuasa mendedahkan mereka menerima pelbagai maklumat dan cadangan daripada orang ramai. Namun kebanyakan maklumat yang diterima tidak boleh digunakan dan kebanyakannya palsu kerana ada antara mereka yang mengharapkan ganjaran yang dijanjikan pihak berkuasa

Dan itulah yang berlaku kepada seorang pemandu bas Ng Hang Hai yang dihukum penjara 21 bulan kerana memberi maklumat palsu mengenai Mas Selamat. Dalam laporannya, Hang Hai memberitahu polis dia ternampak Mas Selamat menaiki basnya.

Berdasarkan dokumen pendakwaan Hang Hai memberitahu dia yakin lelaki itu adalah Mas Selamat kerana bercakap bahasa Melayu telor Indonesia di samping mempunyai parut di lengan.

Hang Hai kemudiannya mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan merayu hukuman diringankan kerana dia memberi maklumat itu dengan harapan mendapat ganjaran daripada pihak berkuasa.

Berikutan peristiwa ini yang dianggap sebagai satu peristiwa yang mencalarkan reputasi pasukan keselamatan Singapura, pihak berkuasa memecat penguasa pusat tahanan tersebut manakala timbalannya diturunkan pangkat.

Penguasa berkenaan dan timbalannya adalah dua pegawai paling kanan yang bertanggungjawab terhadap “pengurusan kawasan” di pusat yang ditadbir oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri itu.

Tindakan disiplin turut diambil terhadap seorang pegawai tugas khas, penyelia, dua pegawai lain dan ketua wadar. Dua pengawal elit Gurkha yang mengiringi Mas Selamat ke tandas juga diturunkan pangkat.

Sesungguhnya kejadian ini telah memberi tamparan hebat terhadap kewibawaan pihak berkuasa dan kerajaan Singapura sendiri telah dikritik hebat oleh rakyatnya yang nyata tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

Surat-surat kepada editor dan blog-blog Internet oleh rakyat Singapura telah menjadikan para pegawai keselamatan sebagai sasaran kemarahan mereka.

Malah laman blog menggelar peristiwa ini sebagai “Toilet Break” berdasarkan drama televisyen popular Amerika Syarikat, Prison Break.

Penulis-penulis ini menyatakan bahawa Singapura telah melakukan kesilapan bodoh dan kini menjadi bahan ketawa antarabangsa.

Menurut mereka, tiada tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan pengganas di Barat atau Guantanamo, lebih-lebih lagi membabitkan seorang ketua rangkaian pengganas yang aktif di sebuah negara jiran.

Bagaimanapun semua ini berakhir apabila kerajaan Malaysia mengumumkan kejayaan menangkap Mas Selamat pada 8 Mei lepas.

Apa pun penahanan Mas Selamat ini sekali lagi membuktikan kewibawaan pihak polis Malaysia dalam memastikan bahawa negara ini bukanlah destinasi selamat untuk mana-mana penjenayah.

0 comments: