Mampukah Pakistan tiru kejayaan Sri Lanka?

Mampukah Pakistan tiru kejayaan Sri Lanka?

Oleh FAISOL KELING


KEJAYAAN kerajaan Mahinda Rajapakse menumpaskan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menerusi tindakan ketenteraan kini menjadi tumpuan dunia.

Langkah ketenteraan itu turut diguna pakai oleh Pakistan pimpinan Presiden Asif Ali Zardari ketika ini. Persoalannya adakah Pakistan mampu berjaya seperti Sri Lanka? Apakah bentuk cabaran dan strategi yang bakal diambil oleh Asif dalam menghadapi pemberontak Taliban dan puak militan di Lembah Swat?

Dalam menganalisis kejayaan Sri Lanka, kita perlu faham objektif dan pendirian Colombo dalam usaha menghapuskan LTTE. Matlamatnya sangat jelas dan tegas apabila disusuli dengan operasi ketenteraan secara besar-besaran dan berterusan.

Operasi itu membabitkan serangan ke atas ketumbukan sebenar kekuatan LTTE dengan mengekalkan momentum serangan beserta kombinasi strategi fizikal dan bukan fizikal. Sri Lanka memang sedar bahawa kejayaan operasi tentera hanyalah satu bentuk kejayaan yang hanya mengalahkan gerila LTTE di medan tempur sahaja. Paling penting, Rajapakse mahu menang dalam erti kata sebenar iaitu mendapat pengiktirafan daripada kuasa besar dan masyarakat antarabangsa.

Justeru, kejayaan operasi ketenteraan Sri Lanka ini tidak hanya melibatkan penumpuan kepada strategi ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut menggerakkan strategi psikologi ke atas penduduk Tamil, kuasa Barat dan masyarakat antarabangsa.

Strategi ini dapat dilihat apabila Colombo mempamerkan kelemahan LTTE yang menggunakan orang awam sebagai benteng. Oleh itu, operasi Rajapakse diterima walaupun ia turut menyebabkan kematian penduduk awam khususnya etnik Tamil.

Selain itu, Rajapakse berjaya meyakinkan negara luar dan mendapat 'lesen' untuk operasi ketenteraan ke atas LTTE .

India mengambil pendekatan "menghalal dan memejamkan mata" terhadap operasi itu. New Delhi berbuat demikian kerana dipengaruhi oleh faktor penglibatan LTTE dalam pembunuhan Perdana Menteri, Rajiv Ghandi pada Mei 1991. Ia juga disebabkan kebimbangan terhadap perkembangan pemberontak Tamil di selatan India.

Bagaimanapun, dalam operasi ketenteraan di Pakistan pula, objektif untuk menghapuskan Taliban dan Al-Qaeda dilihat tidak konsisten. Presiden Asif selalu berbelah bagi dalam usaha menghapuskan musuh tersebut.

Beliau dilihat lebih terikat dengan pelan yang disediakan oleh Amerika Syarikat (AS). Dalam arus politik Pakistan, isu hubungan luar merupakan satu daripada isu utama yang akan menentukan kedudukan seseorang pemimpin dalam kerajaan.

Kerajaan Asif kini berdepan dengan ancaman lebih mencabar berbanding apa yang dilalui oleh Rajapakse. Bagi Sri Lanka, entiti musuh adalah jelas kerana LTTE adalah gerakan berstruktur dan berorganisasi dan dalam kelompok masyarakat berlainan etnik.

Bagaimanapun di Pakistan, puak Taliban dan Al-Qaeda adalah entiti yang lahir dan wujud dalam masyarakat itu sendiri. Gerakan Taliban tidak berstruktur seperti LTTE. Ia lebih bebas dan berada dalam masyarakat dan budaya setempat.

Musuh Pakistan itu tidak boleh dipandang rendah kerana Taliban misalnya, pernah menumbangkan kerajaan Afghanistan dan berjaya memerangi tentera AS di sana.

Kekuatan Taliban bukanlah terletak pada kelengkapan persenjataan seperti LTTE, sebaliknya kerana entitinya diterima oleh masyarakat setempat. Inilah senario yang dihadapi oleh AS di Afghanistan.

Dalam strategi operasi ketenteraan Pakistan di Lembah Swat ini, Asif tidak memberi tumpuan kepada serangan psikologi kerana beliau bimbang pendekatan itu akan menggugat sokongan masyarakat terhadap kerajaannya.

Gerakan Taliban dan militan di Pakistan ini bukan satu sasaran yang dapat dihapuskan dengan sekelip mata. Ia masih aktif dan berakar umbi di Pakistan dan Afghanistan.

Ini bermakna operasi ketenteraan Pakistan perlu dilakukan secara lebih menyeluruh, bukan hanya di Lembah Swat sahaja. Islamabad perlu berganding bahu dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Hamid Karzai, AS dan NATO.

Risiko untuk gagal adalah tinggi. Operasi ketenteraan oleh Asif hanyalah bertindak sebagai respons kepada arahan AS.

Dalam kes ini, strategi penghapusan Taliban yang perlu diaplikasikan adalah melalui usaha bukan ketenteraan. Ia boleh dilakukan melalui penghapusan ajaran Islam yang ekstrem, meningkatkan tahap pendidikan dan kesedaran rakyat mengenai keamanan dan perundangan. Selain itu, Pakistan perlu melaksanakan undang-undang yang dapat menyekat perjuangan bersenjata oleh rakyat dan meningkatkan tahap hidup rakyat.

Masalahnya, dasar negara Pakistan selama ini lebih mengutamakan aspek ketenteraan daripada pembangunan sosial. Dasar itu diambil kerana Islamabad terlalu bimbang ancaman New Delhi. Keadaan itu menyebabkan ia terlepas pandang terhadap kemunculan ancaman di dalam negara.

Akibatnya Taliban kini menjadi ancaman terbesar Pakistan berbanding ancaman luar yang selama ini memakan bajet besar yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Pakistan.

PENULIS ialah Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.

0 comments: