Pengundi Penanti wajar hantar mesej kepada Pakatan Rakyat

Pengundi Penanti wajar hantar mesej kepada Pakatan Rakyat

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

KALAH tiga kali berturut-turut pada tiga pilihan raya umum lalu. Itulah rekod yang dipegang oleh Mansor Othman, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Mansor atau lebih dikenali sebagai 'Dr' Mansor walaupun tidak memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) mahupun perubatan, diturunkan sekali lagi untuk mencuba nasib dengan pertaruhan lebih besar – Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang jika menang.

Mampukah Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu menghilangkan 'badi' yang melekat sejak Pilihan Raya Umum 1999 selepas tewas kepada Datuk Mohd Zain Omar daripada Barisan Nasional (BN) di Parlimen Balik Pulau.

Pada Pilihan Raya Umum 2004, beliau tewas kepada Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) di DUN Seberang Jaya dan tunduk kepada Muhammad Farid Saad (BN) di DUN Pulau Betong pada Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau juga mengemukakan borang pencalonan ketika pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada Ogos tahun lalu, tetapi menarik balik selepas pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima.

Dengan rekod tidak pernah menang dalam tiga pilihan raya umum tetapi diturunkan kali ini sebagai calon yang 'tidak boleh kalah' kerana bakal mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan negeri, mampukah Mansor mencipta kejayaan?

Dengan ketiadaan cabaran sebenar berikutan keputusan BN tidak meletakkan calon apabila mengulangi apa yang dilakukan parti pemerintah pada pilihan raya kecil Parlimen Menglembu, Perak pada 1975, cabaran Mansor tampak lebih mudah.

Tetapi, benarkah Mansor akan menghadapi cabaran mudah daripada barisan calon Bebas terutama bekas Ketua Wanita PKR, Aminah Abdullah, yang dikatakan juga mengetahui politik sepak terajang parti itu kerana beliau antara individu terawal menyertai parti berkenaan.

Mungkinkah Mansor akan mengalami nasib sama seperti 1999, 2004 dan 2008 dengan tunduk kepada Aminah, ibu kepada empat anak yang berbekalkan semangat tinggi apabila menawarkan diri sebagai calon Bebas.

Di atas kertas, memang Mansor mempunyai kelebihan kerana disokong oleh jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, selain faktor Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh. Penanti adalah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Permatang Pauh – yakni kubu kuat PKR.

Meskipun kelebihan berpihak kepada Mansor, ia belum menjamin kemenangan 100 peratus kerana 15,384 pengundi Penanti boleh membuat kejutan dan tidak mustahil Aminah boleh menjadi 'giant killer'.

Aminah yang keluar PKR pada 2007 kerana tidak sehaluan dengan prinsip perjuangan parti itu selepas bersama hampir 10 tahun yang didakwanya kini memperjuangkan untuk kepentingan peribadi pihak tertentu, dilihat satu-satunya calon Bebas yang boleh memberi saingan kepada Mansor.

Jika tiada peluang untuk menang sekalipun, Aminah tidak boleh diperlekehkan kerana beliau mempunyai pengaruh di kalangan penyokong PKR kerana pernah mengetuai Wanita PKR Pulau Pinang hampir empat tahun.

Dalam keadaan BN tidak bertanding, peluang Aminah nampak lebih cerah untuk meraih sokongan pengundi di Penanti, dan sememangnya beliau amat mengharapkan BN tidak meletakkan calon.

"Saya berdoa siang dan malam supaya BN tidak meletakkan calon. Keputusan BN tidak bertanding adalah berita yang amat menggembirakan saya," kata Aminah yang sememangnya mengharapkan penyokong BN memilihnya biarpun beliau tidak ditaja oleh mana-mana pihak termasuk Umno.

Soal sama ada pengundi termasuk penyokong BN memilih calon Bebas atau Mansor atau merosakkan kertas undi atau tidak keluar mengundi langsung, sukar diramalkan. Tetapi, mereka mempunyai pilihan, dan terserah kepada mereka untuk memilih.

Apa pun, pilihan raya kecil Penanti adalah medan terbaik untuk rakyat menyampaikan mesej kepada mana-mana parti politik supaya tidak memperalatkan demokrasi semata-mata untuk memuaskan nafsu dan agenda peribadi sesetengah pihak.

Semua orang tahu pilihan raya kecil Penanti tidak perlu diadakan kerana Mohammad Fairus Khairuddin tidak sepatutnya meletak jawatan. Tetapi, demi mencapai agenda politik sesetengah pihak, Mohammad Fairus terpaksa mengosongkan kerusi DUN Penanti serta jawatan Timbalan Ketua Menteri I.

Akibatnya, pilihan raya kecil diadakan dan penduduk Penanti, sekali lagi terpaksa mengundi selepas dipaksa berbuat demikian pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.

Dalam konteks ini, pengundi Penanti yang sudah muak dengan gelagat dan permainan politik Pakatan Rakyat yang keterlaluan, perlu menggunakan kuasa mereka untuk menghantar mesej yang jelas kepada pakatan itu supaya tidak meneruskan gelombang pilihan raya kecil di seluruh negara.

Pengundi sewajarnya memprotes politik pembangkang dengan menterjemahkannya dalam bentuk undi, yakni memilih calon Bebas. Mereka tidak perlu memulau pilihan raya kecil, sebaliknya keluar beramai-ramai dan memilih calon Bebas sebagai tanda protes terhadap tindakan Pakatan Rakyat.

Dengan ketiadaan calon BN, inilah saluran terbaik untuk pengundi Penanti memberi pengajaran kepada PKR supaya tidak terus mengulanginya lagi pada masa depan.

Pengundi tidak seharusnya kecewa jika parti mereka tidak bertanding, sebaliknya menggunakan peluang itu untuk mengundi calon Bebas. Begitu juga dengan pengundi atas pagar yang dianggarkan 15 peratus atau 2,300 orang, usah lagi layan permainan politik Pakatan Rakyat.

Bagi Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, pengundi yang muak dengan tindakan Pakatan Rakyat wajar bertindak sedemikian.

Beliau menjelaskan tindakan itu lebih wajar kerana tidak bertentangan, malah menyuburkan amalan demokrasi daripada memulau terus pilihan raya kerana mesej yang ingin disampaikan lebih jelas.

"Protes terhadap tindakan PKR boleh dilakukan dengan menterjemahkannya dalam bentuk undi iaitu memilih calon Bebas. Ini sebagai pengajaran supaya amalan demokrasi tidak disalahgunakan," katanya.

Jika pengundi sedar dan 'buka mata' mengenai tindakan PKR dan sekutunya, gunakan pilihan raya kecil Penanti sebagai permulaan untuk menamatkan permainan politik pakatan yang tidak menguntungkan rakyat.

Pucuk pimpinan BN sudah memulakan gerakan untuk menamatkan permainan politik Pakatan Rakyat dengan membuat keputusan tidak meletakkan calon walaupun keputusan itu mungkin pahit dan dilakukan dengan berat hati. Kini, giliran akar umbi untuk melaksana dan terjemahkan keputusan itu.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Pulau Pinang

0 comments: